collections khutbah Mendekatkan Diri Dengan Al-Quran Di Bulan Ramadan
Mendekatkan Diri Dengan Al-Quran Di Bulan Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

22 Apr 2022 / 20 Ramadan 1443H


Mendekatkan Diri Dengan Al-Quran Di Bulan Ramadan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Marilah sama-sama kita terus mempertingkatkan amal ibadah kita di bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan tilawah dan tadabbur Al-Quran yang menjadi panduan hidup kita.

Saudara dan saudari,


Bulan Ramadan dan Al-Quran adalah umpama satu ikatan yang tersimpul mati. Bulan dimana turunnya Al-Quran. Allah (s.w.t.) berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 185:

Yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Saudara dan saudari,

Daripada ayat ini jelas kita difahami bahawa Al-Quran adalah petunjuk bagi kehidupan manusia. Maka amatlah rugi sekiranya di bulan Ramadan ini kita tidak cuba mengukuhkan hubungan kita dengan Al-Quran. Justeru ingin saya kongsikan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengukuhkan hubungan kita dengan Al-Quran.

Yang Pertama: Memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Antara ibadah yang diperbanyakkan Nabi (s.a.w.) adalah membaca Al-Quran. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas yang bermaksud: “Rasulullah (s.a.w.) adalah seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril (a.s.) bertemu dengannya. Dan Jibril (a.s.) bertemu dengan Rasulullah (s.a.w.) pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulangkaji Al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah (s.a.w.) lebih pemurah daripada hembusan angin.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Sudah pasti ramai yang cuba mengkhatamkan Al-Quran kerana itu adalah antara amalan yang dianjurkan. Tetapi jika kita tidak mampu melakukannya tidak mengapa. Kerana apa yang lebih penting adalah kita berusaha sedaya mampu untuk membacanya melebihi daripada bulan-bulan lain.

Bagi mereka yang tidak boleh membaca dengan baik jangan berputus asa, teruskanlah mempelajarinya dari guru-guru yang bertauliah. Ingatlah pesanan Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Saudara dan saudari,

Yang kedua: Mempelajari makna ayat-ayat Al-Quran. Biarpun membaca Al-Quran itu sahaja sudah mempunyai ganjaran pahala yang tersendiri, tetapi janganlah kita berhenti di situ sahaja. Antara kewajipan orang Mukmin terhadap Al-Quran adalah dengan menghayati dan mengambil pengajaran darinya. Allah
(s.w.t.) berfirman dalam surah Al-Qamar, ayat 32:

Yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Ambillah peluang Ramadan ini untuk kita mengikuti program-program yang dikendalikan oleh masjid-masjid di serata Singapura untuk mempertingkatkan ilmu agama kita, baik kelas-kelas secara fizikal ataupun dalam talian. Lebih-lebih lagi ilmu berkaitan Al-Quran seperti bertadarus beramai-ramai, siri ceramah tadabbur Al-Quran dan sebagainya.

Semoga Ramadan kali kita lebih dekat dengan Al-Quran sekaligus mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.