collections khutbah Berkhidmat Kepada Mereka Yang Kurang Upaya
Berkhidmat Kepada Mereka Yang Kurang Upaya

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 Mei 2022 / 25 Syawal 1443H


Berkhidmat Kepada Mereka Yang Kurang Upaya

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah seorang Rasul dan contoh seorang pemimpin yang terpuji. Tidak ada tokoh mahupun pemimpin yang dapat menandingi keunggulan keperibadian Rasulullah (s.a.w.) sebagai seorang ketua.

Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula mengingati Allah dengan banyak.” [Al-Ahzab:21]

Sejarah telah banyak memaparkan sifat dan akhlak Nabi Muhammad (s.a.w) yang unggul dalam menjalani kehidupan kemasyarakatan.

Rasulullah (s.a.w.) sendiri adalah seorang pemimpin yang berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat. Baginda (s.a.w.) selalu peka dan prihatin terhadap semua, mendengar dan meneliti dengan adil dan saksama suara-suara orang di sekelilingnya; yang miskin mahupun yang kaya, yang kecil mahupun yang dewasa, yang lelaki mahupun yang perempuan, yang kuat mahupun yang lemah dan kurang upaya.

Baginda (s.a.w.) memberi contoh buat para sahabatnya, cara yang terbaik berhadapan dengan berbagai lapisan masyarakat. Baginda (s.a.w.) menggalakkan para sahabatnya untuk bersikap ihsan, bersikap empati dan peduli dengan semua orang, pada batasan pergaulan mereka. Dalam sebuah hadis, Baginda (s.a.w.) bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia mencintai buat saudaranya sebagaimana dia mencintai buat dirinya sendiri.” [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]

Hadis ini mengajar kita untuk bermuamalah, berkelakuan serta berinteraksi dengan orang lain sebagaimana diri kita ini ingin diperlakukan. Pastinya hati dan jiwa nurani manusia menginginkan kebaikan dan keindahan buat diri sendiri. Dari itu, Baginda (s.a.w.) mengingatkan kita untuk menginginkan kebaikan buat orang lain juga.   

Saudara dan saudari,

Di antara kita, ada sebahagian individu yang mungkin dianggap sebagai golongan kurang upaya. Walaupun mereka ini dilihat sebagai kurang upaya, namun ia bukan bererti mereka ini adalah golongan yang lemah.

Dalam kita saling membantu antara satu sama lain, jangan sampai kita meminggirkan mereka, hanya disebabkan oleh keadaan fizikal mereka. Fahamilah bahawa mereka juga mampu untuk memberi khidmat, jika diberikan kesempatan. Yang perlu dilihat adalah khidmat yang mampu diberi, bukan orangnya.

Seperti Rasulullah (s.a.w.) memberi peluang kepada seorang sahabat yang bernama Abdullah Bin Ummi Maktum (r.a.), yang walaupun buta, akan tetapi menjadi seorang muazzin, serta ditugaskan sebagai imam dan ketua sementara di Madinah apabila Rasulullah (s.a.w.) bermusafir.

Daripada semangat ini, kita menyaksikan pelbagai nama-nama tokoh serta ulama terdahulu, yang walaupun memiliki kekurangan dari segi fizikal, akan tetapi mereka menyumbang kepada khazanah ilmu pengetahuan Islam. Seperti Qalun, yang merupakan pakar dalam ilmu Qiraat walaupun telah hilang pendengaran beliau. Begitu juga dengan al-‘A’mash yang merupakan seorang ahli Hadis yang telah meriwayatkan tiga ratus ribu hadis walaupun penglihatannya kabur, dan ramai lagi.

Di sini kita pelajari bagaimana setiap individu itu perlu diberi peluang dan ruang untuk menyumbang. Kerana orang yang mungkin kita anggap kurang berupaya, akan tetapi bernilai di sisi Tuhan. Serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara serta agama.

Semoga kita dapat mencontohi akhlak mulia Baginda (s.a.w.) dan gigih dalam mempelajari serta melaksanakan ajaran Baginda (s.a.w.). Semoga kita menjadi umat yang selalu prihatin, peduli dan membantu antara satu sama lain, menuju kebaikan, menuju keredaan Allah (s.w.t.). Amin Ya Rabbal ‘Alamin   

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.