collections khutbah Islam dan Kehidupan: Agama dan Pertimbangan Realiti Kehidupan
Islam dan Kehidupan: Agama dan Pertimbangan Realiti Kehidupan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Mac 2021 / 21 Rejab 1442H

Islam dan Kehidupan: Agama dan Pertimbangan Realiti Kehidupan

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala yang diperintah-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Saudaraku,

Setiap Mukmin sedar akan kepentingan pemahaman agama buat diri serta keluarganya. Kita sedia maklum tuntutan syarak untuk menuruti Al-Quran dan Sunnah Nabi (s.a.w.). Ia merupakan sebahagian daripada proses untuk memahami serta mematuhi agama ini. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: Katakanlah! Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan sekiranya kamu berpaling, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang engkar. (Ali Imran: 32).

Namun demikian saudaraku, jangan sekali-kali kita ini terlupa bahawa sebahagian daripada proses mengikuti Al-Quran dan Sunnah itu adalah melalui pemahaman yang betul mengenai kedua-duanya. Adalah merupakan amanah bagi seorang Mukmin, untuk tidak mengambil ringan terhadap urusan agamanya. Maka dalam memahami dua sumber utama agama ini, tidak cukup sekiranya seseorang itu sekadar mencari maklumat agama hanya melalui wadah media sosial. Akan tetapi, dalam menimba dan memahami ilmu agama, seharusnya setiap individu melalui proses yang menyeluruh. Iaitu dengan menuntut ilmu daripada sumber yang sahih dan berwibawa, melalui asatizah yang bertauliah.

Saudaraku,

Pemahaman agama yang tepat, tidak akan sekali-kali terpisah daripada realiti kehidupan kita seharian. Itulah hakikatnya. Pemahaman inilah yang diterapkan oleh para ulama ketika mereka menulis lembaran-lembaran kitab-kitab mereka. Mereka tidak hanya merakamkan ilmu, tetapi juga berusaha untuk membentangkan huraian bagi permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat pada zaman mereka. Khazanah ilmu mereka sentiasa meraikan konteks dan realiti tertentu.

Kerana faktanya adalah, agama ini tidak pernah terpisah daripada mengambilkira realiti yang dilalui masyarakat. Lihat sahaja prinsip-prinsip agama seperti, (i) Raf’ul Haraj: iaitu mengangkat kesusahan; (ii) menolak kemudaratan (iii) serta mendatangkan dengan penyesuaian hukum ketika berada pada situasi darurat. Segalanya membuktikan bahawa agama ini tidak pernah terpisah daripada realiti kehidupan.

Sebagai contoh, Nabi (s.a.w.) pernah menjelaskan di dalam hadis bahawa bagi mereka yang sakit, terdapat beberapa keringanan. Tata ibadah yang dikerjakan mungkin berbeza, kerana terdapat rukhsah yang diberikan. Ia adalah contoh bagaimana agama ini mengambilkira perbezaan situasi individu, dan berusaha untuk menjaga kemaslahatan berdasarkan konteks yang berbeza.

Hal ini penting untuk saya tegaskan. Kerana apabila seseorang itu gagal menghubungkaitkan antara tuntutan agama dengan realiti kehidupan; ia hanya akan menghasilkan kekeliruan. Akhirnya penghayatan agama tidak dapat terlaksana dengan tepat, apabila sesuatu hukum diterapkan tanpa memahami keadaan manusia serta realiti kehidupan. Ia hanya akan membawa kepada kerosakan dan kesesatan, kerana itu bukan jalan yang ditonton oleh para ‘Anbiya dan bukan daripada sifat Syariat kita.

Saudaraku

Situasi penularan wabak yang masih lagi berterusan, telah mendorong kita untuk membuat beberapa penyesuaian, sama ada pada kehidupan kita seharian, mahupun pada kehidupan keagamaan kita. Lihat sahaja cara kita berdiri sekarang di dalam saf-saf solat jamaah kita, serta jarak selamat yang masih kita laksanakan di masjid-masjid dan sebagainya. Segalanya membuktikan bahawa penyesuaian masih diperlukan. Bahkan, penyesuaian yang dilakukan didasari oleh tradisi keilmuan Islam, dengan merujuk kepada prinsip-prinsip umum agama dan menjadikan hasil kajian para ulama terdahulu sebagai sandaran dan perbendaharaan panduan.

Selagi kita belum bebas sepenuhnya daripada penularan wabak ini, kita akan terus mengutamakan dan memelihara keselamatan dan kesejahteraan individu dan masyarakat.

Kita bersyukur dan berbesar hati kerana tiada di antara masyarakat kita yang berkata: Apakah kamu takut Allah, atau takut virus?

Kita sama sekali tidak boleh menerima pemikiran sebegini, kerana iman kita kepada Allah mengajar kita untuk menjadi insan yang bertanggungjawab. Perasaan takut kita kepada Allah mendorong kita untuk tidak bersikap melulu untuk meletakkan sesiapa pun dalam keadaan bahaya, kerana kita amat yakin bahawa itulah yang diperintahkan oleh Tuhan terhadap kita.

Semoga Allah (s.w.t.) terus memelihara diri kita sekeluarga. Serta mengurniakan keselamatan kepada negara yang kita cintai ini. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.