collections khutbah Istiqamah: Kunci Kejayaan Dalam Kehidupan
Istiqamah: Kunci Kejayaan Dalam Kehidupan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 Januari 2021 / 2 Jamadilakhir 1442H

Istiqamah: Kunci Kejayaan Dalam Kehidupan

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga ia dapat meningkatkan keyakinan kita kepada Allah serta meraih rahmat dan kasih sayang-Nya.

Saudaraku,

Khutbah pada beberapa minggu lalu telah menekankan akan dua prinsip yang penting bagi kehidupan seorang Mukmin. Ia adalah i) kepentingan pengharapan kepada Tuhan dan ii) mempunyai ketenangan jiwa dengan terus yakin kepada Tuhan tatkala berhadapan dengan ujian. Kedua prinsip ini sangat penting dan perlu disemai dalam kehidupan seharian kita.

Dengan itu, hadis qudsi yang akan saya kongsikan hari ini, memberi satu lagi pengajaran berhadapan dengan ujian kehidupan. Hadisnya bermaksud: “Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Sesungguhnya Allah (s.w.t.) berfirman, ‘Aku selalu bersama hamba-Ku selagimana dia mengingati-Ku dan menggerakkan bibirnya kerana-Ku.’” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Saudaraku,

Hadis yang baru saya bacakan tadi mengajar kita akan kepentingan bagi seorang Mukmin untuk beristiqamah dalam mengingati Tuhan. Istiqamah bermaksud: melaksanakan sesuatu perkara secara berterusan.

Pentingnya sikap istiqamah itu saudaraku, sehinggakan Nabi Muhammad (s.a.w.)  pernah mengatakan bahawa amalan yang dilakukan dengan berterusan (secara istiqamah), walaupun kecil, merupakan amalan yang lebih disukai Allah.

Istiqamah dalam melaksanakan amalan merupakan tahap pertama yang dilalui setiap individu Mukmin. Biarpun sedikit amalannya, asalkan berterusan. Sekiranya sudah menjadi kebiasaan untuk bersedekah di masjid, maka jadikan ia amalan yang berterusan. Sekiranya anda tidak pernah meninggalkan solat sunnah, tidak pernah terlupa menziarahi ibu dan ayah, membantu mereka yang memerlukan. Pastikan anda melaksanakannya secara berterusan.

Meskipun itu saudara, seorang Mukmin tidak akan berhenti di situ sahaja serta merasakan bahawa amalannya itu cukup. Malah, dia akan terus berusaha untuk mencari jalan dan peluang untuk memastikan adanya peningkatan dalam amalan dan ibadahnya. Sebagai contoh, dia akan berusaha untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah bersama keluarga berbandingkan solat bersendirian, menambah serta mengamalkan sunnah Nabi Muhammad (s.a.w.) yang lain dalam kehidupan seharian, dan sebagainya.

Segala usaha ini adalah dengan harapan bahawa keimanan kita terus dimantapkan dan diperkukuhkan. Dengan itu, Allah akan menjaga kita daripada sebarang keburukan serta dugaan dunia ini. Perhatikan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Ahqaf ayat 13 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.”

Saudaraku,

Di dalam era serba digital hari ini, begitu mudah bagi kita untuk mendapatkan sesuatu dengan cepat dan pintas. Seperti khidmat pesanan makanan, mendapatkan maklumat terkini, berhubungan bersama keluarga yang berjauhan, dan sebagainya.

Kadang-kadang kerana sudah terbiasa dengan cepatnya tertunai hajat dan hasrat, kita mengharapkan yang sama pada hubungan kita dengan Tuhan.

Namun, ia bukan sedemikian rupa dalam permintaan seorang hamba kepada Tuhan. Tiada jalan pintas dalam mendapatkan kurniaan Tuhan. Adakalanya Tuhan mengabulkan permintaan kita dengan segara. Namun, ada masanya juga Allah menahan kurniaan-Nya buat seorang hamba, dan memberikannya di akhirat kelak nanti. Inilah tanda cinta Tuhan buat hamba-Nya. Dia tidak pernah mengecewakan kita dan hanya inginkan yang terbaik buat kita.

Kerana Dia Maha Mengetahui apa yang baik, serta waktu yang terbaik untuk kita diberikan kurniaan-Nya. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: “…Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Janganlah berputus asa dengan Allah. Kenanglah segala kurniaan-Nya buat kita. Bersyukurlah di atas nikmat-nikmat yang telah Allah berikan. Teruskanlah beramal dan dekatkan diri kepada-Nya agar kita tidak berasa bersendirian. Ingatlah bahawa istiqamah adalah kunci kejayaan dalam kehidupan.

Semoga Allah (s.w.t.) menjadikan kita hamba-hamba yang bersyukur. Dan semoga Dia terus menjaga kita daripada sebarang keburukan. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.