collections khutbah Kalimah Syahadah: Membentuk Identiti Muslim Sejati
Kalimah Syahadah: Membentuk Identiti Muslim Sejati

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 Mac 2023 / 17 Syaaban 1444H


Kalimah Syahadah: Membentuk Identiti
Muslim Sejati

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan iaitu dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan juga menjauhi segala larangan-Nya.

Saudara dan saudari,

Kita sering ungkapkan pengakuan dan penyaksian kita sebagai seorang muslim,“Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah (s.w.t), dan aku bersaksi Nabi Muhammad (s.a.w) pesuruh Allah”. Itulah maksud lafaz pengakuan kita. 

Imam Al-Mawardi menjelaskan bahawa dua kalimah syahadah itu bermaksud perkhabaran tentang membenarkan dengan hati. Dan apabila kita berbicara tentang soal hati. Sudah pastinya ia tidak cukup dengan sekadar lidah yang berkata. Bahkan ia memerlukan lidah, tingkahlaku dan cara pemikiran kita untuk berkerjasama dan menterjemahkannya dari hati kita ke amalan ibadah kita. 

Lafaz dua kalimah syahadah itu membentuk kehidupan kita. Ia boleh menjadi penentuan sama ada kita akan perolehi kejayaan di dunia dan akhirat kelak nanti, ataupun sebaliknya. Wal’iyazhubillah.

Saudara dan saudari,
Di dalam surah Al-Bayyinah ayat ke 5, Allah (s.w.t) berfirman: 

Yang bermaksud “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

Kalimat syahadah pertama, iaitu penyaksian tiada tuhan yang layak disembah selain Allah (s.w.t) boleh difahami dari pelbagai aspek. Yang pertama, adalah ia merupakan lafaz tauhid. Apabila kita berikrar tentang keesaan Allah (s.w.t), kita mengakui bahawa hanya Allah (s.w.t) yang layak disembah, dan tiada sekutu bagi-Nya. Aspek yang kedua pula, kita mengakui bahawa ia menjadi kewajipan bagi kita untuk memanifestasikan ikrar kita dengan mengikhlaskan diri dalam melalukan ibadah untuk menyembah-Nya. Ketahuilah bahawa kita melakukannya hanya untuk memperolehi keredaan dan rahmat Allah (s.w.t).

Kalimat syahadah yang kedua pula, merupakan penyaksian bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) adalah utusan Allah (s.w.t). Bagindalah yang dipilih oleh Allah (s.w.t) untuk menyampaikan kepada kita tentang syariat Islam. Maka kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan bahawa kita beriman kepada Allah (s.w.t) dan pada masa yang sama kita mengetepikan ajaran Rasulullah. Kerana segala apa yang dibawa oleh baginda Muhammad (s.a.w) bukanlah daripada hawa nafsunya akan tetapi ia berpandukan ajaran serta wahyu daripada yang Esa. Maka setiap amalan ibadah kita semestinya berpandukan ajaran yang disampaikan kepada kita daripada Nabi Muhammad (s.a.w). 

Saudara saudari

Sebagai manusia, kita sedar kehidupan kita bukanlah diisi dengan ritual ibadah sepanjang hari. Akan tetapi setiap tingkah laku kita, setiap gerak geri kita dan setiap apa yang kita lakukan boleh menjadi ibadah. Selagimana kita berniat untuk melakukannya kerana ingin mencari keredaan Allah (s.w.t) dan mengikut sesuai contoh yang dicerminkan oleh Rasulullah (s.a.w).

Kerana Rasulullah (s.a.w) diutuskan kepada kita sebagai penyempurna kebaikan akhlak. Di dalam sebuah hadith yang disampaikan oleh Abu Hurairah, Baginda bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاقِ‏.‏

Yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Maka kita sebagai pengikut Rasulullah (s.a.w) harus meletakkan baginda sebagai contoh di dalam kehidupan kita. Bukan sahaja dari aspek amal ibadah kita. Akan tetapi maksud ‘kebaikan akhlak’ itu luas. Ia merangkumi cara kita berinteraksi sesama insan, cara kita mensyukuri nikmat-nikmat Allah (s.w.t) dan  bagaimana kita memanfaatkannya juga. 

Rasulullah (s.a.w) merupakan seorang yang berjimat dan berhemat. Beliau tidak berlebih-lebihan dan tidak juga suka kepada pembaziran. Lihat bagaimana adab baginda (s.a.w) dalam berurusan dengan air sebagai contoh. Hatta dalam urusan berwudhu di sungai yang mengalir juga Nabi melarang kita daripada melakukan pembaziran.

Contoh yang lain pula, Baginda Rasulullah (s.a.w) juga ada mengajar kita tentang cara bermuamalah sesama insan. Beliau menitikberatkan kepentingan menjaga perhubungan sesama makhluk. Baginda menekankan kepentingan menjaga hak-hak manusia. Walaupun di dalam urusan ibadah. Maka dengan itu kita sepatutnya mencerminkan akhlak baginda. Menghormati yang tua, mengasihi yang muda, jujur dalam berkata-kata dan menjaga kemaslahatan semua. 

Jangan kerana beralasankan kita melakukan ibadah, kita leka dalam menjaga hak insani. Kerana itu bukan ajaran baginda (s.a.w).

Semoga kita menjadi manusia yang menghayati dan menghidupkan lafaz syahadah kita. Yang dapat mencerminkan akhlak-akhlak mulia dan pada akhirnya dapat perolehi ganjaran syurga-Nya kelak. Amin. 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم