collections khutbah Kejayaan Seorang Mukmin dalam Menghadapi Cabaran
Kejayaan Seorang Mukmin dalam Menghadapi Cabaran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 Januari 2020 / 6 Jamadilakhir 1441H

Kejayaan Seorang Mukmin dalam Menghadapi Cabaran

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sepanjang bulan ini, kita telah diingatkan akan kepentingan berusaha menjadi masyarakat bertakwa yang berjaya di dunia dan akhirat. Dalam kita mengejar kejayaan dalam kehidupan ini, pastinya kita akan berdepan ujian dan cabaran. Setiap cabaran dan ujian, saudara, sebenarnya berperanan untuk mengingatkan kita akan perlunya kita berusaha mengatasinya dengan usaha dan bantuan Allah s.w.t. Dia mengingatkan kita dalam firmanNya:

 

Yang bermaksud: “Maka apabila manusia ditimpa sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami. Berkatalah dia: “Sesungguhnya aku diberikan nikmat ini hanya kerana kebijaksanaanku.” Sebenarnya ia adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 49).

 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap baik dan buruk itu merupakan ujian dari Tuhan. Kelebihan yang dikurniakan Allah s.w.t. buat kita, tidak seharusnya melalaikan kita daripada Allah Azza wa Jalla. Ini kerana pada hakikatnya, kita sentiasa bergantung harap padaNya dan kepadaNya sahaja kita memohon pertolongan.

 

Saudaraku,

Ujian adalah salah satu cara Allah menggilap permata di kalangan ciptaanNya. Lihat sahaja bagaimana berlian sebelum menjadi permata bersinar yang berharga, ia perlu melalui proses gilapan dan potongan yang amat dahsyat. Begitulah manusia dengan setiap tekanan, ujian dan kesulitan yang beliau harungi dan atasi, ia sedang dalam perjalanan menjadi permata yang berharga di sisi Tuhannya. Oleh kerana itulah Nabi s.a.w. telah memberitakan bahawa manusia yang paling dahsyat dugaannya adalah para anbiya’, kemudian orang-orang soleh yang menuruti jejak mereka, kemudian yang berikutnya dan berikutnya. Jika imannya kuat maka ujiannya juga semakin mencabar. Bila imannya tipis maka ia diuji sesuai dengan kadar keimanannya. Seorang Muslim akan terus diuji sehinggalah ia berjalan di atas muka bumi tanpa ada sebarang noda padanya [Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim].

 

Saudaraku,

Ujian itu merupakan peluang yang Allah sajikan untuk kita menghampirkan diri padaNya. Ia peluang untuk kita buktikan keyakinan kita pada kuasaNya serta keredhaan kita pada ketentuanNya. Semestinya ia bukan sesuatu yang mudah. Dan kerana Allah Maha Adillah, maka ganjaran untuk ketabahan kita melalui sesuatu ujian itu merupakan pembersihan daripada noda dan dosa saudara.

 

Ingatlah saudara, bahawa Allah tidak akan menimpakan sesuatu ujian ke atas kita kecuali Dia tahu kita mampu mengharungi dan mengatasinya. Terpulang kepada kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran serta kebijaksanaan mencari huraian dan memohon bimbinganNya.

 

Saudaraku,

Sebagai panduan kita bersama, ingin saya meringkaskan beberapa panduan ketika berhadapan dengan ujian kehidupan.

 

Yang pertama: Pilihlah untuk melihat sesuatu ujian itu dari sudut positif serta kebaikan yang boleh timbul daripadanya.

Ketika diuji, adalah lebih mudah untuk melihat keburukan yang ada pada ujian itu daripada kebaikannya. Namun dengan memilih mencari dan memandang sudut kebaikan ujian itulah kita akan dapat meraih lebih manfaat daripadanya. Sebagai contoh, ketika diuji dengan masalah rumahtangga, kita mempunyai pilihan sama ada hanya melihat keburukannya, dan memilih untuk memutuskan ikatan tersebut. Atau kita boleh memilih melihat bagaimana masalah itu memberi peluang untuk kita menyedari kelemahan kita sebagai pasangan, kemudian memperbaiki diri sekaligus memperbaiki hubungan antara pasangan. Bahkan kita dapat merasa lebih bahagia lagi bersama. Di saat kita bingung dilanda ujian, kembalilah kepada Tuhan agar kita dapat menemukan harapan. Nabi s.a.w. bersabda: “Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu, jagalah Allah nescaya Allah akan berada di sisi mu, dan jika engkau memohon maka mohonlah kepadaNya, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan dariNya.” [Hadis riwayat Imam at-Tirmizi].

 

Pengajaran kedua: Berusahalah menemukan huraian.

Mencari penyelesaian kepada sesuatu kesempitan adalah tanda keyakinan kita pada janji Allah s.w.t. dalam FirmanNya:

 

Yang bermaksud: “Dan sesunggunya sesudah kesulitan itu ada kesenangan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.” (Surah al-Inshirah, ayat 5-6).

 

Sebagai contoh, kita kini sedia maklum akan penularan wabak virus korona. Bahkan terdapat juga beberapa kes yang sudah disahkan di negara kita. Ini merupakan satu ujian daripada Allah s.w.t. Virus ini menimbulkan kekhuatiran kerana ia dapat berjangkit dari seseorang kepada seorang yang lain. Sebahagian dari mereka yang dijangkiti pula tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda awal terjangkitnya virus ini. Ia mengancam kesihatan setiap individu. Dengarkanlah nasihat dan panduan pakar kesihatan dan mereka yang berpengalaman di dalam mengekang penularan penyakit seperti ini. Ini tanggungjawab kita bersama.  

 

Dalam keadaan demikian, suka saya ingatkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tiada penyakit (melainkan dengan ketentuan Tuhan)...Jangan dicampur yang sakit dengan yang sihat.” [Hadis riwayat Imam Muslim].

 

Maka demi meraikan sunnah ini, sebagai langkah berjaga-jaga, saya menasihati diri saya dan para jemaah sekalian seandainya ada di antara kita yang sedang mengalami tanda-tanda kurang sihat seperti demam, batuk-batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak atau hidung berair, segeralah dapatkan rawatan. Elakkan dari berhubungan dengan orang ramai, atau berada di tempat-tempat awam kerana ditakuti akan memburukkan lagi kesihatan kita atau menjangkiti orang lain.  Begitu juga dalam pelaksanaan solat Jumaat. Pernah dirakamkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya Bidayah wa An-Nihayah, bahawa pada satu masa dahulu berlakunya penularan penyakit Ta’uun. Maka, para jemaah diberi keringanan untuk tidak menghadiri solat Jumaat bagi memastikan keselamatan masyarakat awam terjaga.

 

Jagalah kesihatan kita dan teruskan gaya hidup yang sihat. Pada masa yang sama teruskan memantau perkembangan terkini menerusi media massa dan sumber yang sahih untuk memperoleh maklumat yang tepat berkaitannya. Jangan pula kita menyebarkan berita-berita yang belum dipastikan kesahihannya, sehingga memburukkan lagi keadaan.

 

Pada saat-saat yang getir ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah s.w.t. melindungi diri kita, keluarga dan masyarakat kita dari sebarang bahaya. Nabi s.a.w. pernah mengajarkan kita sepotong doa yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Dengan nama Allah yang mana dengan namaNya [yang mulia] tiada bahaya di bumi mahupun di langit [yang akan menimpa] dan Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Hadis riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi].

 

Semoga Allah s.w.t. memelihara petugas-petugas kesihatan kita dalam menjalankan khidmat mereka. Mudah-mudahan Allah s.w.t. melindungi diri, keluarga,  masyarakat dan negara kita dari sebarang ancaman, bahaya dan keburukan. Serta memperkukuhkan lagi iman kita dalam menghadapi saat-saat mencabar ini. Amin ya Rabbal ’Alamin.