collections khutbah Kekuatan Peribadi Orang yang Beriman
Kekuatan Peribadi Orang yang Beriman

Majlis Ugama Islam Singapura Khutbah Jumaat

10 Januari 2020 / 14 Jamadilawal 1441H

Kekuatan Peribadi Orang yang Beriman

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang ditegah. Semoga dengan hadirnya kita di masjid pada hari ini, iman kita akan semakin bertambah, lantas meningkatkan lagi nilai takwa dalam hati kita kepada segala ketentuan Allah s.w.t. Amin.

 

Saudaraku,

Suatu hari, isteri Nabi s.a.w. yang bernama Ummu Salamah r.a. ditanya oleh seseorang mengenai doa yang sering dibaca oleh Nabi s.a.w. di rumahnya. Ummu Salamah menjawab, “Nabi s.a.w sering membaca doa:

 

Yang bermaksud: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu.” (Hadith riwayat At-Tirmizi).

Seorang lagi sahabat bernama Anas bin Malik r.a. juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. sering menyebut doa ini. Lalu Baginda bersabda: “…Dia (yakni Tuhan) membolak-balikkan (hati manusia) menurut kehendakNya.” (Hadith riwayat At-Tirmizi).

 

Dua hadith yang baru dibacakan sebentar tadi menunjukkan kepada kita bahawa hati seorang insan itu mudah berubah. Ia berubah mengikut keadaan diri kita dan pengaruh di sekeliling kita. Kadangkala ia berubah disebabkan menuruti pergolakan yang berlaku dalam perjalanan hidup. Dari keadaan tenang menjadi gelisah, dari gembira menjadi duka.

 

Itulah hakikat kehidupan. Ada susah senang serta suka duka yang manusia perlu hadapi. Apa pun yang dihadapi insan dalam hidupnya, ia adalah ketentuan dan ujian Allah s.w.t. ke atas dirinya. Kehidupan ini bertujuan untuk menilai siapakah yang bersyukur dan siapakah yang engkar terhadap Tuhan. Pastinya kita sebagai umat yang beriman kepada Allah tidak mahu menjadi hamba yang tidak mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada kita. Namun persoalannya, bagaimana kita dapat memelihara diri sehingga sentiasa bersyukur kepada Allah? Bagaimana caranya kita menjadikan hati kita agar kuat imannya, sentiasa sihat dan kekal baik dalam menguruskan kehidupan kita?

 

Saudaraku sekalian,

Hati yang dihiasi dengan keimanan yang utuh dapat membantu seseorang untuk sering bersyukur kepada Tuhan. Hati yang penuh dengan kesyukuran kepada Allah juga akan memelihara diri seseorang dari berburuk sangka terhadap Allah.

Nah ini penting para jemaah sekalian. Ada waktunya apabila kita diuji dengan kesusahan dan kesulitan, rata-rata hati kita mula berbicara dan bertanya, “apa salah aku? Kenapa aku diuji sebegini?” Dan seterusnya.

 

Ketika itu saudaraku sekalian, ingatlah, apa sahaja yang Allah takdirkan untuk hamba-hambaNya, pasti akan berlegar di dalam ruangan rahmatNya. Sabda Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Aku bersama dengan sangkaan hambaKu terhadapKu.” (Muttafaq ‘Alaih).

 

Apabila kita bersangka baik dengan ketentuan Allah s.w.t., ia sebenarnya tercetus dari hati yang kaya dengan kesyukuran dan redha dengan segala ketentuan Allah s.w.t. Itulah pentingnya mempunyai hati yang bersyukur. Ia akan membawa manusia kepada rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Sabda Nabi s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya besar pahala bagi seseorang adalah menurut besarnya ujian ke atasnya. Dan sesungguhnya Allah apabila menyayangi sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha (dengan ujian itu) maka dia akan mendapat redha Allah, dan barangsiapa yang marah (dengan ujian itu) maka dia akan mendapat kemurkaan Allah.” (Hadith riwayat At-Tirmizi).

 

Saudaraku,

Dalam usaha kita untuk memperkukuhkan iman, menyucikan hati dan serta memupuk dalam diri ini rasa bersyukur kepada Tuhan pada setiap saat dan ketika, terdapat beberapa panduan yang perlu kita terapkan dalam diri kita.

 

Langkah pertama yang utama adalah dengan berdoa. Amalkan doa Nabi s.a.w. yang dibacakan tadi agar hati kita kekal tetap di atas keimanan. Allah s.w.t. memuji golongan hamba-hambaNya yang berdoa agar ditetapkan hati dan terus dikurniakan hidayah buatnya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 7-8:

 

Yang bermaksud: “Dan mereka yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran melainkan mereka yang berfikir. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat di sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

 

Saudaraku, dari ayat yang baru saya bacakan sebentar tadi, kita akan dapati bahawa seorang insan yang sering mempertingkatkan ilmunya merupakan mereka yang berdoa untuk diperkukuhkan imannya. Sepertimana anjuran khutbah pada minggu lalu menggalakkan kita untuk terus mempertingkatkan ilmu. Ilmu yang mantap dapat menghasilkan iman yang kukuh dan sekaligus mencapai kecemerlangan sebagai seorang Mukmin.

 

Langkah Kedua: Terus beristiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Allah menurut kemampuan diri masing-masing. Elakkan diri dari melakukan perkara yang tidak dimampui. Seperti meniru amalan orang lain dan memaksa diri untuk melakukan perkara yang serupa, hingga akhirnya memudaratkan diri. Nabi s.a.w. pernah mengingatkan para sahabat agar melakukan ibadah dan kebaikan secara berterusan menurut kemampuan masing-masing.

 

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Nabi s.a.w memberi pesanan kepada Abdullah bin Amr bin al-‘Ash radiyallahu anhuma dengan sabdnya yang bermaksud: “Wahai Abdullah, janganlah kamu menjadi seperti fulan itu. Dia dahulu bangun malam untuk qiyamullail tetapi kemudian dia tinggalkan terus qiyamullail.” Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa hadith ini memberi galakan kepada manusia agar beramal secara berterusan tetapi tidak melampaui batas kemampuan diri.

 

Ketiga: Sentiasa memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri kita berbanding melihat atau mencari kelemahan orang lain. Usahlah hanya melihat kekurangan atau keaiban pada diri orang lain, sehinggakan kita kabur dengan kelemahan dan kekurangan yang ada dalam diri kita sendiri. Janganlah sampai diri kita ini menjadi sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitabnya Adab al-Mufrad, Abu Hurairah r.a. pernah berpesan: “Salah seorang dari kamu dapat melihat kotoran di mata saudaranya, dan melupakan sesuatu yang besar di matanya sendiri.

 

Semoga hati kita cekal dalam menghadapi fasa-fasa kehidupan yang tidak menentu dengan penuh harapan kepada Allah s.w.t.  Semoga amalan-amalan yang kita lakukan membuatkan hati-hati kita kekal dalam keimanan menjurus kepada kebaikan, dan tidak terpesong ke arah kesesatan dan penyelewengan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.