collections khutbah Ketenangan Jiwa: Kurniaan Tuhan  
Ketenangan Jiwa: Kurniaan Tuhan  

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

8 Januari 2021 / 24 Jamadilawal 1442H

Ketenangan Jiwa: Kurniaan Tuhan  

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan takwa, kita dapat terus mengharungi cabaran hidup dengan tabah dan sabar.

Saudaraku,

Sebagai kesinambungan bagi tema khutbah bulan ini yang memberi penumpuan kepada pengajaran di sebalik beberapa hadis qudsi, khutbah pada hari ini ingin mengajak kita untuk menghayati hadis qudsi yang bermaksud: “Nabi (s.a.w.) bersabda, Allah (s.w.t.) telah berfirman: ‘Wahai anak Adam, sekiranya kamu bersabar dan mengharapkan ganjaran pada saat pertama diuji, Aku tidak akan memberikan apa-apa ganjaran untuk kamu melainkan syurga.’” (Riwayat Ibn Majah).

Saudaraku,

Hadis ini memberi satu pengajaran yang begitu berharga. Ia mengajar kita akan hakikat kehidupan yang penuh dengan ujian. Ia merupakan sunnah alam yang Allah telah tentukan.

Maka ketika seorang yang beriman diuji dengan cabaran, dia akan kekal tenang, dengan penuh kesabaran dan keyakinan kepada Tuhan. Kerana setiap ujian adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, serta meraih kejayaan di akhirat kelak. Dia tidak akan merungut atau mengeluh apabila diuji. Dia sama sekali tidak akan menyalahkan ketentuan Tuhan ke atas dirinya.

Bahkan, seorang Mukmin akan berusaha untuk mencari inspirasi daripada kisah-kisah para Nabi dan Rasul. Bagaimana mereka kekal teguh tatkala diuji.

Sebagai contoh, kita mengambil pengajaran melalui kisah Nabi Ibrahim (a.s.). Bagaimana Baginda menempuhi segala ujian dalam menyampaikan ajarannya. Bukan sahaja kaumnya tidak menerimanya, malahan raja ketika itu turut memerintahkan agar Nabi Ibrahim dihukum. Begitu juga ujian yang dilalui Baginda Nabi Muhammad (s.a.w.) sepanjang perjalanan kehidupannya. Dengan permusuhan terhadap Baginda, ujian kekurangan rezeki dan sumber, dan sebagainya. Segalanya tidak menjadi penghalang bagi Baginda untuk meningkatkan amal ibadah, serta merancang demi mencari huraian bagi segala ujian yang mendatang.

Kita mengambil iktibar daripada kehidupan para anbiya’. Mereka merupakan golongan manusia yang paling hebat diuji oleh Allah. Kisah-kisah mereka yang diulang-ulang di dalam al-Quran sebagai pengajaran untuk kita. Bacalah dan renungilah ayat-ayat yang membawa kisah-kisah mereka. Ia sebenarnya memaparkan pelbagai ujian Allah kepada manusia, dan cara penyelesaiannya.

Saudaraku,

Segala kisah-kisah tersebut mengajarkan kita kepentingan untuk berfikiran positif berhadapan dengan ujian kehidupan. Ujian kehidupan tidak seharusnya melemahkan insan. Bahkan ia memberi kekuatan untuk berusaha secara berterusan, kerana Allah menjanjikan ganjaran buat mereka yang berusaha serta bersabar. Sama-samalah kita hayati firman Allah (s.w.t.) yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman. Bertakwalah kepada Tuhanmu.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah akan dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar, ayat 10).

Ayat ini mengajak kita supaya bergerak memperbaiki dan merubah keadaan. Bergerak untuk mencari huraian. Ia menunjukkan bahawa seorang Muslim bersikap proaktif di samping berusaha untuk mencapai kecemerlangan dengan petunjuk Allah. Seorang Muslim bukanlah seorang yang pasif, yang diam saja menerima kenyataan yang tidak baik, apalagi apabila hal itu dilakukan dengan dalih bertawakkal.

Hayatilah doa yang diajarkan Nabi (s.a.w.) untuk kita merasa tenang dalam menghadapi ujian. Doanya berbunyi:

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu jiwa yang tenang terhadap-Mu, beriman dengan pertemuan-Mu, redha dengan ketetapan-Mu dan merasa cukup dengan pemberian-Mu.” (Riwayat Imam at-Tabrani).

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan ketenangan buat diri kita. Mudah-mudahan kita sentiasa kekal sabar dan tabah dalam mengharungi segala ujian kehidupan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.