collections khutbah Madrasah Ramadan
Madrasah Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

29 Apr 2022 / 27 Ramadan 1443H


Madrasah Ramadan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk beramal di bulan yang mulia ini, dan meminta keampunan dari Allah (s.w.t.) serta meraih keredaan-Nya. Marilah sama-sama kita mengambil peluang hari-hari yang berbaki ini untuk meningkatkan amal ibadah kita dan bertekad untuk istiqamah melakukannya.

Saudara dan saudari,

Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman, serta mengharapkan keredaan-Nya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Dari hadis ini, dapat kita fahami bahawasanya antara yang diharapkan untuk kita perolehi dan raih pada bulan Ramadan adalah untuk mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita yang telah lepas. Perkara ini juga dapat kita lihat pada doa yang dianjurkan oleh Rasulullah (s.a.w.) sendiri untuk kita baca pada 10 malam terakhir bulan Ramadan iaitu:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

Yang bermaksud: “Ya Allah, Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai orang yang meminta keampunan, maka ampunilah aku.

Saudara dan saudari,


Pintu taubat Allah (s.w.t.) selalu terbuka untuk hamba-hamba-Nya. Terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah (s.a.w.) yang menekankan betapa Allah (s.w.t.) mengajak hamba-hamba-Nya untuk bertaubat dan meminta keampunan dari-Nya. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar: 53)

Saudara dan saudari,

Diantara tanda-tanda taubat seseorang itu diterima adalah beliau terus beristiqamah dalam melakukan ibadah dan meninggalkan larangan Allah (s.w.t.) di luar Ramadan.

Bulan Ramadan seperti sebuah medan latihan dan peluang untuk kita melihat potensi kita dalam beribadah, maka bawalah potensi yang kita lihat dan raih dalam bulan ini ke dalam kehidupan seharian kita. Jika kita tidak dapat melakukan semua, jangan pula kita tinggalkan semua.

Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Saudara dan saudari,

Sepertimana kita menyambut ketibaan Ramadan dengan meriahnya serta penuh dengan ketakwaan dan niat-niat yang murni, sebegitu juga layaknya ketika  kita mengucapkan selamat tinggal kepada bulan yang penuh berkat ini.

Jika pada awal Ramadan kita belum sempat beribadah dan melakukan kebaikan yang sepatutnya, maka jangan jadikan perkara ini alasan untuk kita tidak berusaha pada hari-hari terakhir yang berbaki ini. Sepatutnya, perkara itu harus dijadikan pemacu semangat untuk kita mengakhiri Ramadan dengan sebaik-baiknya seperti sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan-amalan seorang hamba itu bergantung kepada amalan-amalan penutupnya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Semoga hari-hari yang akan datang menyaksikan kita sebagai hamba-hamba-Nya yang lebih bertakwa dari sebelumnya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.