collections khutbah Memanfaatkan Nikmat Masa
Memanfaatkan Nikmat Masa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 Disember 2019 / 30 Rabiul Akhir 1441H

Memanfaatkan Nikmat Masa

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara sekalian, agar bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangannya. Marilah kita berusaha untuk jadi orang mukmin yang menerapkan gaya hidup Islam dalam kehidupan kita. Kita ikuti nasihat dan panduan dari Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.

 

 

Saudara-saudara yang dikasihi,

Antara panduan dari Allah s.w.t untuk kita terapkan dalam kehidupan kita ialah menjaga masa. Sesungguhnya masa adalah sesuatu anugerah Allah s.w.t. yang berterusan untuk semua makhlukNya, tidak kira jenis, bangsa dan agama. Semua makhluk dianugerahkan dengan nikmat masa. Apabila seorang hamba itu memanfaatkan masanya, Allah s.w.t. menjanjikan ganjaran buatnya dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah s.w.t. dalam sebuah hadith qudsi:

 

Yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Lapangkanlah untuk beribadah kepadaKu, nescaya Aku penuhi hatimu dengan rasa cukup dan Aku memenuhi kekuranganmu. Dan Jika kamu tidak lakukan, nescaya Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan tidak Aku penuhi kekuranganmu.” [Hadith riwayat Al-Tirmizi, Ibn Majah dan Imam Ahmad].

 

Hadith yang baru saya bacakan sebentar tadi memberi pengajaran kepada kita, akan janji Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya yang memanfaatkan masanya. Adalah penting baginya untuk memanfaatkan nikmat masa itu untuk semua amalan yang diredhaiNya. Namun, sekiranya beliau mensia-siakan anugerah masa ini, beliau akan disibukkan dengan urusannya, sehinggakan beliau tidak akan pernah merasa cukup dengan masa yang ada.

 

Alangkah ruginya! Alangkah malangnya! Apabila seseorang itu berdiri di hadapan Allah s.w.t. di akhirat kelak, tiada bersamanya sebarang bekalan melainkan pahala yang sedikit, dan dosa yang menggunung.

 

Saudara-saudara sekalian,

Persoalannya sekarang adalah bagaimana kita dapat mengelakkan perkara sedemikian berlaku? Bagaimana kita dapat memanfaatkan masa kita yang terhad di dunia ini agar kita beruntung di akhirat nanti? Jawapannya sudah tentu kita perlu memanfaatkan masa kita di dunia ini dengan sebaik mungkin. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-‘Asr, ayat 1-3:

 

Yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

 

Surah yang sangat ringkas, tetapi sangat padat dengan panduan dan sangat luas dengan makna. Padanya terkandung empat pengajaran utama yang perlu kita beri perhatian agar kita tidak menjadi orang-orang yang rugi di dunia dan akhirat.

 

Yang pertama: Kita perlu menerapkan dalam diri kita keimanan yang jitu. Apakah itu keimanan yang jitu? Iaitu beriman sepenuhnya dengan qada’ dan qadar Allah s.w.t. Kita tidak tahu apakah qada’ dan qadar Allah. Ia adalah rahsia Allah s.w.t. Maka kita perlu berusaha sepenuhnya dan tidak bermalas-malasan dalam kehidupan kita ini. Kita perlu merancang kehidupan kita dengan teliti, dan bukan dengan menghanyutkan kehidupan kita pada arus kehidupan, bak kapal yang tidak dikemudikan dengan baik. Perancangan adalah kunci kejayaan. Orang yang gagal merancang, bermakna dia rancang untuk gagal.

 

Yang kedua: Berkaitan penerimaan. Keimanan kepada qada’ dan qadar juga menjadikan kita untuk menerima keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t walaupun kita merancang sebaliknya. Kita tidak akan rasa dukacita dan putus asa atas kegagalan. Sebaliknya, kita akan menjadikan kegagalan itu pemacu kepada kejayaan. Kita belajar daripada kesilapan. Begitu juga, kita tidak akan terlalu gembira dengan kejayaan yang telah Allah berikan. Sebaliknya, kita belajar apakah faktor-faktor yang mendorong kejayaan tersebut. Inilah resepi kegemilangan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Natijah daripada keimanan yang jitu.

 

Yang ketiga: Penumpuan kepada amal soleh. Selain dari memperkukuhkan keimanan kita, kita juga perlu memberikan tumpuan kepada amal soleh kita. Tiada gunanya kita berjaya dalam kehidupan ini, dengan harta yang banyak, pangkat kedudukan yang tinggi, dihormati dan disanjungi manusia. Tetapi apabila berdiri di hadapan Allah, kita berdiri dengan amalan yang sedikit, mengundang kemurkaan Allah s.w.t., dipandang hina oleh semua manusia di Padang Mahsyar. Oleh itu, pentingnya kita isikan masa kita dengan amal-amal soleh. Agar kita tidak rugi di akhirat nanti.

 

Yang keempat: Saling nasihat menasihati. Ia merupakan antara amalan soleh yang perlu kita usahakan. Ini yang dimaksudkan dalam surah Al-Asr tadi, iaitu berpesan-pesan kepada kebenaran. Pastikan nasihat dan ajakan kita kepada kebenaran dihiasai dengan penuh hikmah dan akhlak yang mulia. Usahlah kita memaksakan sesuatu pandangan dan pemahaman kita ke atas orang lain. Sungguhpun niat kita itu untuk membimbing orang ke jalan yang benar, tetapi sekiranya usaha kita itu dicemari dengan paksaan, ditakuti kita akan menyebabkan seseorang itu akan jauh dari kebenaran. Ingatlah akan sabda Nabi s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas.” [Hadith riwayat Imam Bukhari].

 

Selain itu juga, antara amal soleh yang boleh kita laksanakan adalah menasihati orang yang ditimpa musibah, sedang kecewa, atau sedang marah untuk bersabar. Setiap sesuatu yang berlaku pastinya terdapat hikmah dan pengajaran disebaliknya. Kita perlu laluinya dengan ketenangan dalam usaha mencapai kejayaan pada masa hadapan. Inilah empat perkara yang perlu kita berikan penumpuan dalam kehidupan ini agar kita dapat memanfaatkan masa kita dengan sebaik yang mungkin.

 

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Surah Al-‘Asr yang pendek tetapi mendalam maknanya itu merupakan satu surah yang kerap dibaca oleh para sahabat radiyallahu anhum sebagai penutup bagi setiap pertemuan. Kenapa saudaraku? Kerana surah ini mengajar kita untuk menghargai masa dan untuk memanfaatkan masa yang ada.

 

Semoga dengan kita menerapkan empat pengajaran yang saya nyatakan tadi dalam kehidupan ini, kita akan dapat memanfaatkan masa kita yang singkat di dunia ini. Dan semoga Allah s.w.t. tidak memasukkan kita dalam golongan mereka yang rugi. Masa yang dikurniakan Tuhan dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Dengan meninggalkan kesan dan bakti. Serta menyumbang budi buat kesejahteraan ramai insyallah Amin Ya Rabbal ‘Alamin.