collections khutbah Mencari Kemenangan yang Berkekalan
Mencari Kemenangan yang Berkekalan

Muis Logo Small

Khutbah Aidilfitri

Majlis Ugama Islam Singapura

3 Mei 2022 / 1 Syawal 1443H

Mencari Kemenangan yang Berkekalan

اللهُ أَكْبَرُ x  9 كالي

اللهُ أَكْبَرُ كَلَّمَا صَلَّى المُصَلِّي وَ كَبَّرَ 

اللهُ أَكْبَرُ كُلَّمَا صَامَ الصَّائِمُ وَ أَفْطَرَ

اللهُ أَكْبَرُ كُلَّمَا أنْعَمَ عَلَى المُنْعَمِ فَشَكَرَ

اللهُ أَكْبَرُ كُلَّمَا ابْتَلَى المُبْتَلَى فَصَبَرَ

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ 

اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

الحَمْدُ للهِ الَّذِي تَفَضَّلَ عَلَيْنَا بِكَرَمِهِ وَإِحْسَانِهِ، وَرَزَقَنَا الصَّبْرَ والاحْتِسَابَ بِقَدَرِهِ وَقَضَاءِهِ، وَحَفِظَنَا مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ وَسُوءِ قَضَاءِهِ، وَحَبَّبَ إِلَيْنَا الإِحْسَانَ إِلَى خَلْقِهِ وَعِيَالِهِ، فَلِلَّهِ الحَمْدُ رَبِّ السَّمَوَاتِ وَرَبِّ الأَرْضِ رَبِّ العَالَمِينَ وَلهُ الكِبْرِيَاءُ فِي السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ العَزِيزُ الحَكْيمُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إلَّا اللهُ ذُو الْعَرْشِ الْكَرِيمِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَحِيمٌ، وَصَلَوَاتُ اللهُ وَسَلَامُهُ عَلَيْكَ يَا سَيِّدِي يَا رَسُولَ اللهِ، نَشْهدُ أَنَّكَ أَدَّيْتَ الأَمَانَةَ وَبَلَّغْتَ الرِّسَالَةَ وَنَصَحْتَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدْتَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِكَ حَتَّى أَتَاكَ اليَقِينُ، أمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْن

Segala pujian dan kesyukuran kita panjatkan kepada Allah (s.w.t.) di atas nikmat dan anugerah-Nya yang tidak terhingga, di atas rahmat dan keihsanan-Nya yang tidak terputus, di atas kasih sayang-Nya yang tiada penghujung.

Saudara saudari sekalian,


Pagi Syawal ini, kita dapat berkumpul dengan penuh kesyukuran dan keinsafan - setelah kekhuatiran satu ketika dahulu diganti hari ini dengan ketenangan, kesunyian diganti dengan kemeriahan, perpisahan dan kerenggangan diganti dengan keeratan dan kesatuan.

Maka bagi Allah jualah segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan bumi, Tuhan sekalian alam. Dan bagi-Nyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Al-Jathiyah: 36-37]

Oleh itu, lahirkanlah rasa kesyukuran yang ikhlas dengan memperkukuh ketakwaan kita. Teruskanlah segala amal kebaikan, patuhilah perintah Allah (s.w.t.), dan jauhilah segala larangan-Nya. Ingatlah saudara saudari sekalian, Allah (s.w.t.) adalah Tuhan Maha Pencipta, yang Maha Pemerhati, yang Maha Pengampun, di dalam Ramadan mahupun di luarnya.

 

Saudara saudari sekalian,

Apakah kesan yang telah ditinggalkan Ramadan terhadap kita?

Ramadan telah membentuk hati kita untuk lebih bertakwa. Hati yang lebih bertakwa seharusnya tidak lagi ingin mendekati apa pun bentuk kekejian.

Ramadan telah membentuk jiwa kita untuk lebih berihsan. Jiwa yang lebih berihsan tidak lagi rela untuk melihat apa pun bentuk kesengsaraan mahu pun kesakitan.

Ia telah menjadikan jasad kita lebih sihat. Jasad yang lebih sihat tidak lagi mahukan sebarang kemudaratan.

Ia telah membentuk rohani yang dipenuhi dengan rahmah. Rohani sedemikian sama sekali tidak rela melihat apa pun bentuk kezaliman dan kekejaman.

Maka beruntunglah mereka yang kembali kepada fitrah (kesucian) pada pagi ini. Kesucian yang harus terus kita pelihara dari dikotori dengan dosa, dari dicemari dengan kezaliman, dari dilemahkan dengan kemudaratan, dan dari dirosakkan dengan sikap hanya mementingkan diri sendiri.

Muslimin muslimat sekalian,

Begitulah kehidupan beragama kita yang sentiasa memelihara kesucian hati dan peribadi, yang membangun individu dan masyarakat menuju mercu kejayaan di dunia dan di akhirat. Kejayaan dicapai apabila kita sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkat diri dan rohani kita, apabila kita belajar dari segala ujian dan cabaran, apabila kita mengelakkan diri kita daripada kesilapan lama.

Masih segar dalam ingatan kita semua bagaimana kita telah menyambut Ramadan yang luar biasa pada tahun-tahun yang sebelum ini. Pahit manis yang kita lalui. Ketika itu, kita rindukan masjid-masjid dan jemaah serta teman-teman untuk beribadat bersama. Tetapi pada masa yang sama, kita eratkan hubungan kekeluargaan, dan cepat serta cermat mencari dan membuka pintu-pintu ruang kebaikan yang lain, apabila satu pintu kebaikan tertutup.

Sikap dan semangat yang kental dan tidak kenal erti lemah atau mengalah menjadi identiti keagamaan kita. Kini, keadaan semakin bertambah pulih. Kita dapat merayakan Syawal dengan lebih meriah. Ini tidak bermakna ujian kini telah selesai, atau kita telah berjaya. Sehingga dengan mudah kita lupa segala pengajaran serta kembali kepada keadaan lama.

Perhatikanlah firman Allah (s.w.t.):

 

Yang bermaksud: “Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” [al-Ankabut: 2-3].

Orang-orang yang benar (as-sadiqin), dan jujur di dalam keimanan dan keihsanan mereka, akan terus berjalan di atas landasan kebaikan, tidak mudah goyah dan lupa, dan matanya tidak mudah dikaburi dengan kenikmatan atau kesenangan.

Ingatlah bahawa ujian Allah (s.w.t.) datang di dalam pelbagai bentuknya.

Janganlah apabila keperitan dan kesempitan diganti dengan kesenangan, kita lupa pengajaran dan hikmah dari pengalaman yang lalu.


Rugilah kita, jika kita kembali lemah dan alpa setelah dahulunya kita berazam untuk terus bersyukur di atas segala nikmat Tuhan. Allah (s.w.t.) mengingatkan dalam surah Yunus, ayat 12:

Yang bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.”

Muslimin muslimat sekalian,

Di saat kita diuji sepanjang penularan wabak, kita pelajari betapa pentingnya sifat empati dan rahmah. Kita juga melihat dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, pegawai dan sukarelawan yang memelihara keselamatan institusi masyarakat dan agama, seperti masjid-masjid kita. Kita bergotong-royong dan berganding bahu memberi kerjasama, dengan membuat penyesuaian yang wajar dan berdisplin tinggi. Pada setiap ketika, kita memikirkan maslahat dan kepentingan bersama, bukan keinginan peribadi kita.

Bukankah ini satu sikap yang sangat baik yang harus kita kekalkan bersama? Sikap yang akan diuji tatkala keadaan menjadi baik. Amat rugilah kita jika disiplin diganti dengan sikap leka dan cuai, kebersihan serta penyusunan rapi dan indah di masjid diganti dengan berselerak dan berkecah, keprihatinan terhadap pegawai dan sukarelawan diganti dengan sikap hanya mementingkan diri sendiri. Kemenangan yang kita capai bersama hasil dari ujian yang lalu harus kita kekalkan, bahkan dikuatkan, agar tidak sia-sia segala pengorbanan kita.

Begitu juga di peringkat global, kita menyaksikan dunia yang baru semalam tenang dan sunyi akibat pandemik, hari ini diganti pula dengan pergolakan dan kekecohan.

Baru satu ketika dahulu manusia menyayangi dan memelihara saudara dan teman, hari ini diganti dengan permusuhan dan persengketaan.

Setiap nyawa yang sebelum ini dianggap berharga dan perlu dipelihara, hari ini tiba-tiba kita menyaksikan konflik yang mengorbankan nyawa.

Ingatlah, agama mendidik kita untuk berpegang teguh pada prinsip, menegakkan keadilan dalam segala urusan, menghapuskan segala bentuk kezaliman dan kesakitan, dan berihsan dalam bermua’malah sesama manusia.

Mukmin yang sebenar akan sentiasa mengutamakan kebaikan, memperjuangkan kebaikan, mempertahankan kebaikan, tidak kira kepada sesiapa pun, dan bagi sesiapa pun.

 

Saudara saudari sekalian,

Oleh itu berpegang teguhlah pada prinsip dan nilai kebaikan ini, tidak kira apa keadaan dan situasi kita. Tidak kira jika seluruh umat manusia hilang arah tujunya. Inilah pesanan Rasulullah (s.a.w.).

Sabda Nabi (s.a.w.):

لاَ تَكُونُوا إِمَّعَةً تَقُولُونَ: إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلاَ تَظْلِمُوا‏

Yang bermaksud: "Janganlah kalian menjadi orang yang imma’ah (tidak punya pendirian) yang hanya berkata, ”Saya ikut orang lain. Jika mereka baik, maka saya juga baik. Demikian pula, jika mereka zalim, maka saya juga zalim.” Akan tetapi teguhkan pendirianmu, jika manusia berbuat baik, maka berbuat baiklah. Dan jika manusia melakukan keburukan, maka tinggalkanlah keburukan mereka.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmizi]

Dengan pendirian sebegini, kita akan dapat terus membentuk keperibadian yang menitikberatkan kesatuan dan perpaduan, yang bertawakal kepada Tuhan, di samping berusaha untuk mencari huraian bagi segala permasalahan dengan bermuzakarah dan bermusyawarah dengan adab serta  tatasusila yang baik.


Banyak cabaran dalam kehidupan yang akan menjadi semakin meruncing pada masa hadapan. Sikap kita hari ini akan membentuk pendirian yang boleh membantu kita mengatasinya, atau menyebabkan kita tewas. Oleh itu, kita perlu istiqamah dan tabah, serta kekal bersatu di dalam memelihara kesejahteraan semua.

Saudara saudari sekalian,

Dalam suasana meriah beraya, marilah kita terus menjaga keselamatan diri serta masyarakat. Jangan sampai kita mengambil sikap asal boleh sahaja, lalu dengan sambil lewa membiarkan diri dijangkiti virus kerana berpandangan bahawa  ini adalah sesuatu yang lumrah. Setiap kita masih mempunyai tanggungjawab untuk terus mengelakkan kemudaratan sebaik mungkin. Kita telah lihat peningkatan jumlah kes jangkitan di sebahagian negara dimana langkah keselamatan tidak dijaga.

Semoga Allah (s.w.t.) terus mengurniakan kepada kita kesejahteraan dalam kehidupan, serta memelihara negara serta masyarakat yang kita kasihi ini daripada segala ancaman dan kemudaratan insyallah. Amin. Ya Rabbal ’Alamin.

Ya Allah,

Hanya kepada-Mu kami bersyukur. Hanya kepada-Mu kami merendahkan diri. Kekalkanlah iman di hati kami. Teguhkanlah ketakwaan yang Engkau kurniakan kepada kami.  Terimalah segala amal ibadah yang telah kami lakukan sepanjang Ramadan yang baru berlalu pergi.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim,

Kurniakanlah rahmat dan pengampunan-Mu kepada kami. Terimalah segala amal ibadah kami. Sekiranya terdapat kekurangan pada segala amalan kami, Engkau ampunkanlah Ya Rahman. Kurniakanlah kepada kami ketenangan dan kesejahteraan.

Ya Allah, Ya Latif,

Ditangan-Mu segala huraian dan penyelesaian. Hanya kepada-Mu kami berharap dan bertawakal. Kurniakanlah ya Allah kesembuhan kepada sesiapa yang sakit diantara kami. Sesiapa yang diuji dengan kesempitan rezeki, Engkau murahkanlah rezekinya. Ubahlah keadaan kami, daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada kesukaran kepada kesenangan, daripada ketakutan kepada keamanan, daripada kekejaman kepada keihsanan, daripada kehinaan kepada kemuliaan, daripada berputus asa kepada berwawasan, daripada perpecahan kepada kesatuan, daripada kesesatan kepada petunjuk dan daripada langkah yang tergelincir kepada istiqamah.

Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

 

 كاليXاللهُ أَكبَر 7  

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.