collections khutbah Menyumbang ke arah Kebaikan - Teladan dari Kisah Saidina Uthman r.a.
Menyumbang ke arah Kebaikan - Teladan dari Kisah Saidina Uthman r.a.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

7 Februari 2020 /13 Jamadilakhir 1441H

Menyumbang ke arah Kebaikan - Teladan dari

Kisah Saidina Uthman r.a.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Pada hari yang penuh dengan keberkatan ini sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan sumbangan kebaikan ke arah mencapai ketakwaan kepada Allah s.w.t. Semoga segala amalan soleh bakal mendekatkan diri kita dengan Tuhan serta diterimaNya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

 

Saudaraku,

Diriwayatkan pernah satu ketika di zaman Rasulullah s.a.w., kota Madinah mengalami musim kemarau sehinggakan sukar bagi masyarakat Madinah untuk mendapatkan air bersih. Mereka terpaksa membayar sejumlah harga yang tinggi kepada pemilik perigi untuk mendapatkan air bersih. Prihatin dengan keadaan masyarakat, Rasulullah s.a.w. menanyakan sekiranya terdapat sesiapa yang dapat membeli telaga tersebut untuk dimanfaatkan bagi kaum Muslimin. Nabi s.a.w. bersabda:

 

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang membeli perigi (yang bernama) “Rūmah”, Allah akan mengampuninya.” (Hadis riwayat Imam Al-Nasa’i).

 

Apabila berita ini sampai kepada Saidina Uthman r.a., beliau terus bergegas bertemu dengan pemilik telaga tersebut lalu membelinya. Setelah itu beliau mewakafkan perigi tersebut untuk digunakan bagi seluruh penduduk kota Madinah.

 

Saudaraku,

Kisah ini menunjukkan kepada kita bagaimana para sahabat radiyallahu anhum sentiasa berusaha untuk menyumbang ke arah kesejahteraan umum masyarakat. Mereka menyumbang bakti, pagi petang, siang dan malam. Demi meraih keredaan Tuhan semata-mata. Bahkan sebahagian daripada hasil sumbangan mereka masih lagi kekal sehingga ke hari ini. Kita masih lagi boleh menyaksikan kesan-kesan sumbangan para sahabat di kota suci Makkah dan Madinah. Seperti wakaf Saidina Abu Bakar dan wakaf Saidina Umar radiyallahu anhum. Amalan mereka bertepatan dengan firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t. bersama-sama dengan orang-orang yang bertakwa dan mereka yang berbuat kebaikan.” (Surah Al-Nahl ayat 128).

 

Saudaraku,

Terdapat dua pengajaran yang ingin saya kongsikan di sebalik kisah ini. Yang pertama: Ia mendorong kita untuk terus berusaha untuk menyumbang dan meninggalkan kesan yang positif di dalam kehidupan. Seorang mukmin akan sentiasa berusaha. Tanpa penat dan lelah. Tanpa mengira. Kerana antara adab orang yang beramal soleh adalah untuk tidak berkira dengan Tuhan, tatkala melaksanakan kebaikan. Nabi s.a.w. bersabda:

 

Yang bermaksud: “Dan jangan kamu mengira [ketika memberi], kerana nanti Tuhan akan mengira ke atas kamu.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

 

Lihat sahaja peribadi sahabat mulia yang saya kongsikan di awal khutbah ini, Saidina Uthman ibn Affan r.a. yang terkenal dengan sifat dermawan. Bahkan sumbangannya tidak hanya tertumpu kepada sumbangan harta semata-mata, beliau juga merupakan seorang sahabat yang banyak menyumbang buah fikiran dan idea, serta menyokong usaha Nabi s.a.w.

 

Maka fikirkanlah, apakah sumbangan yang mampu kita lakukan. Sama ada dengan menyumbang harta benda, tenaga seperti kerja-kerja sukarela bagi mempermudahkan kesulitan orang lain, mahupun kata-kata yang baik. Sifat diam juga adalah sumbangan, jika perbualan kita hanya membawa keburukan dan perpecahan.

 

Saudaraku,

Adapun pengajaran yang kedua: Adalah untuk kita mengambil inisiatif dan langkah permulaan dalam melaksanakan kebaikan, bukan hanya menanti timbul suatu permasalahan, ataupun dilakukan hanya sekadar ikut-ikutan. Kita diajar agama ini untuk bersikap pro-aktif dan melaksanakan usaha demi kemaslahatan umum. Untuk mengambil langkah permulaan dan mengorak langkah terlebih dahulu. Dari itu, mereka yang memulakan langkah, serta terlebih dahulu melaksanakan suatu amalan kebaikan, telah dijanjikan ganjaran yang luar biasa.

 

Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang memulakan suatu kebiasaan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala sesiapa yang mengikutinya [melaksanakan] amalan tersebut setelahnya, tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun. (Hadith riwayat Imam Muslim).

 

Ayuh! sama-sama kita memulakan langkah terlebih dahulu dalam melakukan kebaikan. Tanamkan keikhlasan di sebalik segala kebaikan yang dihulurkan. Perhatikan niat di hati saudaraku. Kerana yang dilihat Tuhan bukanlah jumlah sesuatu amalan, akan tetapi mutu serta tahap keikhlasan, juga tahap pengorbanan padaNya.

 

Saudaraku,

Khutbah telah menyentuh akan kepentingan berbuat baik pada setiap masa. Pada hari ini, terdapat banyak peluang untuk kita menyumbang dan melakukan kebaikan. Lebih-lebih lagi sedang kita menghadapi cabaran situasi virus korona. Terlebih dahulu, jagalah diri kita, keluarga kita dan orang lain di sekeliling kita. Perhatikan bahawa kita mengamalkan serta memupuk gaya hidup yang baik, dengan mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi. Marilah kita bersama-sama mengharungi saat-saat ini dengan penuh perpaduan dan mengambil berat antara satu sama lain. Bukan dengan menimbulkan suasana ketakutan, kekeliruan, kebencian dan kegelisahan antara anggota masyarakat. Kita berkeyakinan bahawa segala ujian telah ditentukan Tuhan, dan hanya Allah mengetahui hikmahNya. Kita telah menyaksikan pelbagai kesukaran dan saat yang getir, antaranya adalah seperti jangkitan penyakit ini yang tidak membezakan antara individu ataupun masyarakat.

 

Saya mengajak anda semua untuk tampil ke hadapan dan menghulurkan bantuan semampu mungkin. Paparkan keprihatinan kita terhadap mereka yang terjejas, terutamanya golongan yang memerlukan bantuan. Marilah kita bersabar dalam mengatasi cabaran dengan penuh keyakinan kepadaNya, tambahan daripada usaha kita untuk melakukan kebaikan bagi kemaslahatan semua.

 

Marilah saudara, kita sama-sama mengangkat tangan, merendahkan hati dan bermohon kepada Allah s.w.t. Ya Allah Tuhan yang Maha Penyayang dan Maha Pemelihara, ringankan ujian wabak yang sedang melanda kami dan dunia ini. Kekalkanlah kami dalam kesihatan dan keafiatan dari sebarang wabak dan penyakit yang membahayakan. Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui hikmah di sebalik ujian ini, maka bantulah kami untuk mengatasinya. Kami kembali insaf kepadaMu kerana tiada Tuhan yang berkuasa selainMu. Kami memohon perlindunganMu untuk keluarga, masyarakat dan negara kami daripada sebarang anasir keburukan di dunia mahupun akhirat. Perkenankanlah permintaan kami Ya Allah. Dengarilah permohonan kami Ya Syafi, Kabulkanlah hajat kami Ya Adzhim. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.