collections khutbah Nilai Hidup Berjiran: Pengajaran dari Kisah Imam Ali Zainal Abidin
Nilai Hidup Berjiran: Pengajaran dari Kisah Imam Ali Zainal Abidin

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Februari 2020 /20 Jamadilakhir 1441H

Nilai Hidup Berjiran: Pengajaran dari

Kisah Imam Ali Zainal Abidin

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan, demi meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Tambahan dari itu, peliharalah diri dari melakukan sebarang bentuk keburukan yang dapat merosakkan amalan kita.

 

Saudaraku,

Dalam kitab Siyar A’lam An-Nubala’ telah terakam kisah yang mencerminkan keperibadian luhur seorang cicit Nabi s.a.w. Insan yang dimaksudkan disini ialah Ali bin Al-Husain bin Saidina Ali ibn Abi Talib r.a.. Beliau juga dikenali dengan gelaran Imam Ali Zainal Abidin. Beliau mendapat gelaran “Zainal Abidin” yang membawa maksud hiasan ahli ibadah, disebabkan beliau terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah.

 

Walaupun sedemikian, sepanjang kehidupannya beliau telah berusaha untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mengambil berat akan kebajikan mereka yang berada di sekelilingnya. Beliau sering menghulurkan sumbangan, serta memberi pinjaman kepada mereka yang memerlukan.

 

Beliau juga sering mengelilingi kota Madinah dengan memikul bungkusan makanan pada setiap malam, lalu meletakkan bungkusan makanan tersebut di hadapan rumah mereka yang memerlukan. Tiada sesiapa pun ketika itu yang mengetahui siapakah yang sering kali menyumbang makanan kepada mereka. Setelah beliau wafat, masyarakat mula menyedari bahawa sumbangan yang mereka terima selama ini datang dari cicit Nabi s.a.w., Ali Zainal Abidin, kerana mereka tidak lagi menerima sebarang bungkusan makanan setelah kewafatannya.

 

SubhanAllah! Renungkanlah saudaraku akan keperibadian mulia Ali Zainal Abidin. Individu yang sentiasa prihatin akan keperluan jiran-jiran yang ada di sekitarnya. Usahanya itu bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 271:

 

Yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu, maka yang demikian adalah baik. Dan kalau kamu menyembunyikannya serta memberikannya kepada fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan segala kesalahan kamu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”

 

Saudaraku,

Kisah sebentar tadi mengajar kepada kita tentang kepentingan untuk mengambil berat akan kebajikan mereka yang ada di sekeliling kita, termasuk jiran tetangga. Imam Al-Ghazali turut mengingatkan bahawa setiap Muslim bertanggungjawab untuk menghormati jirannya, kerana seorang jiran seperti saudara kita sendiri. Apabila hubungan kita sesama jiran didokong dengan keakraban, kemesraan dan kepedulian, ia sekaligus mewujudkan kehidupan yang positif, melahirkan semangat kekitaan, dan menghidupkan sikap saling bantu-membantu sesama kita. Sejajar dengan kisah yang disampaikan sebentar, saya ingin mengongsikan beberapa panduan ringkas yang dapat kita terapkan dalam menjalani kehidupan berjiran.

 

Panduan Pertama: Mengukuhkan hubungan baik sesama jiran.

Setiap dari kita menginginkan kehidupan yang aman, makmur dan sejahtera. Kita mempunyai peranan untuk mengekalkannya. Kerana keadaan yang aman itu tidak datang bergolek. Perhatikan pesanan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang secara mafhum menegaskan bahawa tiada kebaikan pada diri seseorang yang sentiasa menyakiti jirannya, walaupun dia ini terdiri daripada ahli ibadat. Pada hadith yang lain pula Nabi s.a.w. menegaskan bahawa sesiapa yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya, ia petanda kekurangan imannya. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

 

Maka sebagai individu Mukmin, kita seharusnya mengambil langkah-langkah kecil untuk menjaga dan memupuk hubungan yang baik dengan jiran kita. Walaupun kadangkala terdapat cabaran dalam berhubungan antara anggota masyarakat serta jiran tetangga. Dengan pelbagai kerumitan ataupun salah faham yang boleh menimbulkan rasa marah, serta tidak puas hati. Rambut mungkin sama hitam, hati masing-masing, Tuhan saja yang tahu. Namun apa jua masalah yang dihadapi, hubungan ini perlu dijaga dengan sebaik mungkin agar kehidupan berjiran itu menjadi lebih baik. Tingkatkanlah tahap toleransi dan kesabaran. Latihlah diri untuk mengawal emosi dengan baik.

 

Panduan Kedua: Kita perlu peka dengan keadaan sekitar kita.

Kisah yang saya kongsikan di awal tadi, mengambarkan kepada kita maksud ibadah yang sebenar. Walaupun Ali Zainal Abidin merupakan seorang ahli ibadah, sumbangannya membuktikan kepada kita bahawa beribadah itu sebenarnya mencetuskan sikap peduli terhadap orang disekliling. Serta peka dan sensitif terhadap keperluan orang lain. Beliau telah menghidupkan sunnah Nabi s.a.w., yang bermaksud: “Tidak tergolong daripada orang yang beriman, siapa yang kenyang, sedangkan jirannya berada dalam keadaan lapar.” (Hadis riwayat Imam At-Thabrani).

 

Maka begitulah saudaraku, roh syariat yang dibawa oleh Nabi s.a.w., mengandungi nilai-nilai yang selalu mementingkan bukan sahaja maslahat diri kita, akan tetapi maslahat jiran tetangga, masyarakat kita dan kebaikan keseluruhan individu. Pada setiap ketika, ia memelihara masyarakat daripada terdedah kepada bahaya dan keburukan.

 

Pada hari ini, kita masih lagi berhadapan dengan wabak yang masih menular. Apakah tanggungjawab kita saudaraku? Adakah kita mengatakan saya tidak perlu kepada apa-apa langkah berjaga-jaga. Kerana cukup bagi saya “bertawakal” sahaja? Bukankah Nabi s.a.w. mendidik para sahabat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan berusaha. Dan baru setelah itu, kita bertawakal kepada Allah. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kamu hendaklah mengikat [unta tersebut], kemudian setelah itu kamu bertawakal.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi). Maka mengikat binatang ternak, serta memastikan agar ia tidak terlepas, ia merupakan sebahagian daripada maksud bertawakal kepada Tuhan.

 

Sebagai contoh, mungkin pada saat ini kita perlu untuk mengambil beberapa langkah berjaga-jaga, untuk memastikan bahawa penularan ini terkawal. Bukankah ini juga merupakan satu kewajipan dalam agama kita? Bagi memastikan kemaslahatan individu dan masyarakat itu kekal terpelihara. Ia merupakan cara yang di bawa Nabi s.a.w. dan para sahabatnya. Serta diikuti oleh cicit Baginda, Ali Zainal Abidin, sepanjang kehidupannya.

 

Saudaraku,

Marilah kita menjalani hari-hari yang mencabar ini dengan penuh kesabaran. Dengan penuh kecekalan hati. Laksanakan segala usaha yang diperlukan. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita semua ketabahan dalam menghadapi masa-masa yang sukar ini. Semoga Allah s.w.t. melindungi kita, keluarga, jiran, masyarakat dan negara kita dari sebarang keburukan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.