collections khutbah Pelaburan Masa Hadapan
Pelaburan Masa Hadapan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 Disember 2019 / 23 Rabiul Akhir 1441H

Pelaburan Masa Hadapan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga dengan itu, Allah s.w.t. akan menerima segala amalan baik kita dan mengampunkan segala kekurangan kita. Amin.

 

Saudaraku,

Fitrah dalam diri manusia ingin mengecapi kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Kita akan berusaha untuk mencari kesenangan dan kekayaan di dunia ini. Namun begitu, keinginan dan usahanya itu tidak seharusnya membuat kita lupa dengan tujuan utama kehidupan kita di muka bumi ini.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu memanfaatkan setiap saat dan masa sebaik yang mungkin agar kita tidak kerugian. Sama-samalah kita merenung akan pesanan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar r.a. berkata:

Yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w. memegang bahuku, lalu berkata: “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara.” Lalu Ibn Umar berkata: “Jika engkau di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi dan jika engkau di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu waktu petang dan pergunakanlah waktu sihatmu sebelum kamu sakit dan waktu hidupmu sebelum kamu mati.” [Hadith riwayat Al-Bukhari].

 

Pada hadith yang saya bacakan tadi, Rasulullah menggambarkan kehidupan seorang beriman. Baginda menyifatkannya  seperti “orang asing” atau seorang “pengembara”. Mengapakah Baginda mengatakan sedemikian? Imam Al-Nawawi menjelaskan bahawa hadith tersebut merupakan peringatan agar insan itu sentiasa mengimbangi antara kehidupan dunianya dengan keperluan akhirat. Sebaliknya, kita perlu menjalani kehidupan ini seperti seorang pengembara yang bakal pulang ke negaranya dan keluarga dengan membawa bekal.

 

Saudaraku,

Pesanan Rasulullah s.a.w. ini merupakan suatu isyarat buat kita, kita perlu menjadikan dunia ini tempat bagi kita mempersiapkan bekalan – dalam bentuk amal kebaikan – untuk dibawa menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Ibn ‘Umar r.a. turut  menambah dengan mengingatkan kita akan peluang untuk meraih kejayaan itu terbentang luas bagi sesiapa yang berusaha untuk mencapainya.

 

Justeru itu, adalah penting untuk kita mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Sekiranya saya boleh memberi perumpamaan. Bagi kita yang baru sahaja kembali daripada bercuti di hujung tahun ini. Pastinya, sekiranya perjalanan kita itu ke negara yang jauh, serta memiliki cuaca yang berlainan dari negara kita. Pastinya kita akan dengan teliti memastikan bahawa segala persiapan kita itu lengkap. Dengan baju-baju, keperluan seharian, ubat-ubatan dan sebagainya. Kerana ditakuti apabila kita gagal dalam mempersiapkan diri, perjalanan kita juga nanti akan gagal. Sebaliknya saudaraku, kalau negara yang bakal kita kunjungi itu dekat, bahkan hanya mengambil masa yang singkat, begitulah juga persiapan kita bagi perjalanan tersebut.

 

Ia merupakan perumpamaan bagi persiapan seorang mukmin berhadapan dengan perjalanan ke negara akhirat. Perjalanannya jauh. Bahkan pergi tidak kembali. Maka seharusnya, persiapannya juga hebat dan mencukupi.

 

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Qasas, ayat ke 77:

 

Yang bermaksud: “Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

Saudaraku,

Kehidupan kita di dunia ini merupakan peluang untuk kita memperbanyakan amalan soleh kita. Amalan kita dapat mendorong kita untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. Dalam usaha kita untuk mencapai kejayaan tersebut, izinkan saya untuk mengongsikan beberapa panduan ringkas sebagai bekalan buat kita semua.

 

Yang pertama: Berlaku ihsan kepada orang lain.

Sifat ihsan ini saudaraku, sekiranya terpahat di hati seseorang, ia tidak akan menghasilkan melainkan kebaikan. Kerana  dengan sifat tersebut, kita akan terdorong untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan kita.

Dengan adanya sifat ihsan di dalam diri seorang Muslim, dia akan sentiasa ingat akan kelebihan yang telah Allah berikan kepada dirinya. Beliau akan berusaha untuk menyalurkan kelebihan yang ada pada dirinya kepada orang yang memerlukannya.

 

Sifat ihsan ini akan membuat kita lebih peka tentang keadaan orang-orang di sekeliling kita. Lantas kita akan melakukan kebaikan terhadap setiap orang, serta menambahkan lagi usaha dan amalan.

 

Kedua: Gunakan nikmat yang kita perolehi untuk tujuan kebaikan.

Rezeki yang Allah kurniakan kepada kita boleh dilihat dari beberapa sudut, seperti sudut kewangan, kesihatan, kebijaksanaan dan lain-lain lagi.

 

Sebagai orang yang beriman, sudah tentu kita yakin bahawa setiap rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita merupakan suatu amanah buat kita. Oleh itu, segala kelebihan yang kita raih hendaklah disalurkan ke jalan kebaikan. Kongsikanlah sebahagian dari kelebihan kita itu kepada keperluan masyarakat awam.

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini masyarakat kita terkenal dengan sikap pemurahnya. Namun, terdapat banyak lagi bantuan dan sokongan yang memerlukan sokongan kita seperti sokongan pendidikan, tenaga, moral dan bimbingan agama. Bantuan-bantuan sebegini adalah penting, kerana ia dapat mengorak langkah buat kejayaan masyarakat kita. Apabila orang yang kita bantu turut berjaya, mudah-mudahan mereka juga akan turut terdorong untuk membantu orang lain pada masa hadapan.

 

Ketiga: Peliharalah diri dari melakukan sesuatu yang merosakkan amalan kita.

Kita hendaklah memperhatikan perbuatan dan tingkahlaku kita dari melakukan sebarang perkara yang dapat menyumbang kepada kerosakan. Semakin kita beramal, ia seharusnya mendorong kita untuk melakukan kebaikan dan bukan sebaliknya. Sumbangan kita kepada kebaikan mengajarnya untuk lebih merendah diri dan menyedari bahawa masih banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki.

 

Apabila kita menghulurkan suatu sumbangan atau bantuan kepada mereka yang memerlukan, peliharalah diri kita daripada sikap mengungkit-ungkit yang dapat menjejaskan pahala sumbangan kita. Kerana di antara tanda seseorang yang menginginkan akhirat, adalah dia akan menjaga amalan yang telah dilaksanakan. Ia merupakan satu lagi aspek ihsan. Iaitu ihsan kepada Tuhan. Dengan sentiasa ingat kepada Tuhan pada setiap gerak geri dan tingkah laku kita.

 

Saudaraku,

Dengan  usaha kita dalam menyebarkan kebaikan, mudah-mudahan kita dapat meninggalkan kesan dalam kehidupan manusia lain di dunia ini. Semarakkan amal kebajikan dalam kehidupan kita di dunia ini sebagai bekalan kita untuk kehidupan di akhirat kelak. Ingatlah, segala usaha kita di dunia ini merupakan peluang bagi kita untuk memperolehi balasan kebaikan di Akhirat. Usahakanlah untuk menjadikan kehidupan di dunia ini satu legasi yang baik bukan sahaja di sisi manusia sekeliling kita, bahkan yang lebih penting lagi di sisi Allah s.w.t. Ingatlah akan firman Allah dalam Surah Taha, ayat ke-15:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya hari kiamat akan datang yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya supaya setiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan taufik dan ‘inayahNya kepada kita semua. Mudah-mudahan Allah s.w.t. meredhai segala amalan kita dan memberi ganjaran kepada kita semua, Amin ya Rabbal ‘Alamin.