collections khutbah Perancangan Awal: Menjamin Kemaslahatan Individu
Perancangan Awal: Menjamin Kemaslahatan Individu

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

2 Disember 2022 / 7 Jamadilawal 1444H

  
Perancangan Awal: Menjamin Kemaslahatan Individu

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan menuruti segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan usaha kita ini, kita akan tergolong di antara hamba-hamba-Nya yang diredai Allah (s.w.t). Amin.
 

Saudara dan saudari,

Islam adalah agama yang menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan diri insan secara menyeluruh. Sebagai seorang muslim, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa perkara ini diperhatikan. Dari itu, kita mendapati bagaimana Islam memerhatikan penjagaan nyawa serta harta insan. Sebagai contoh, di dalam Al-Quran, Allah (s.w.t) berfirman berkaitan kepentingan penjagaan harta:

Yang bermaksud: Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya, dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” [An-Nisa: 5]

Saudara dan saudari,

Ayat tersebut memberi panduan kepada kita untuk berhati-hati apabila menguruskan kewangan. Kita bukan hanya perlu berwaspada daripada penipuan yang kian berleluasa sahaja, akan tetapi, kita perlu perihatin dengan cara kita menguruskan kewangan kita. Siapa yang kita berikan amanah untuk menjaga harta kita dan sebagainya.

Lihat kembali ayat tadi, Allah (s.w.t) melarang kita daripada memberikan kepercayaan untuk menguruskan harta kita kepada mereka yang ‘safah’, iaitu boros, atau yang tidak mampu untuk membuat perancangan harta dengan baik. Kerana, harta yang diberikan kepada kita oleh Allah (s.w.t) adalah sebagai asas pembangunan hidup kita. Oleh itu, sudah semestinya kita harus membuat perancangan harta dengan sifat bertanggungjawab.

Saudaraku,

Selari dengan prinsip syariat yang mewajibkan seorang wali untuk menjaga kemaslahatan individu yang berada di bawah jagaan mereka, pada kesempatan ini, ingin saya memberi perhatian kepada perancangan yang perlu dilakukan setiap individu, berhadap dengan umur senja. Ia bukan sahaja merupakan perancangan kewangan, sama ada melalui nominasi CPF, melakarkan wasiat dan sebagainya, akan tetapi termasuk juga perancangan penjagaan diri kita, sekiranya kita kehilangan keupayaan untuk melakukannya sendiri.

Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Maka setiap individu mukmin berusaha untuk mengenalpasti siapakah antara ahli keluarga, waris kita dan sebagainya, yang kita yakin dapat memantau dan juga mengambil alih tanggungjawab serta penjagaan, pada waktu yang sama membuat keputusan bagi pihak kita sekiranya kita hilang kemampuan disebabkan faktor kesihatan.

Sama ada ia disebabkan oleh penyakit mental ataupun kemalangan yang membuatkan seseorang itu hilang keupayaan mental untuk membuat keputusan. Islam tetap memberi kita alternatif untuk menjaga kemaslahatan diri dan harta kita.

Saudara dan saudari,

Sebagai contoh, saya rasa semua hadirin pernah mendengar berkaitan Surat Kuasa Berkekalan, Lasting Power of Attorney (LPA).  Ia merupakan satu inisiatif yang murni dalam usaha kita untuk menjaga soal kebajikan peribadi dan urusan kewangan kita. Melaluinya kita akan melantik seseorang penerima kuasa yang dipercayai serta amanah untuk menguruskan perkara-perkara rasmi secara sah, sekiranya seseorang itu hilang keupayaan mental.

Ia merupakan satu bentuk perancangan yang dibenarkan dan selari dengan objektifnya (Maqāṣid al-Sharī’ah). Ia juga selari dengan prinsip agama yang menganjurkan agar seorang Muslim itu membuat perancangan dan persediaan bagi menghadapi cabaran masa depan. 

Cara-cara perlantikan penerima kuasa atau sebarang maklumat lanjut tentang Surat Kuasa Berkekalan ini boleh didapati di lelaman MSF.

Semoga dengan kita menjaga diri kita, amanah kita dan agama kita, Allah (s.w.t) akan reda dengan kehidupan kita dan menempatkan kita di syurga-Nya kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudara saudari yang dirahmati Allah,

Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF) masih sedang mengadakan kutipan derma untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan bagi gempa bumi yang melanda Indonesia baru-baru ini.

Gempa bumi itu telah mengakibatkan lebih 250 jiwa terkorban, lebih 1,000 orang cedera dan 150 dilaporkan hilang. Lebih 58,000 orang juga terpaksa dipindahkan sementara 22,000 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan.

Sumbangan anda akan menyokong bantuan bencana yang dijalankan dan keperluan segera mereka yang terjejas.

Anda boleh menderma melalui tabung-tabung di masjid ini yang menunjukkan kutipan bagi gempa bumi di Indonesia.

Maklumat lanjut juga boleh didapati di lelaman web Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF).

Mudah-mudahan Allah (s.w.t.) meringankan beban yang dihadapi mereka, dan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka dalam menghadapi ujian ini. Amin.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.