collections khutbah Ramadan dan Sifat Bertakwa
Ramadan dan Sifat Bertakwa

TextDescription automatically generated with medium confidence

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

1 April 2022 / 29 Syaaban 1443H


Ramadan dan Sifat Bertakwa

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan segala amal kebaikan yang kita kerjakan beroleh ganjaran di sisi Allah (s.w.t.).

Saudara dan saudari,

Kita bakal berhadapan dengan bulan yang mulia, bulan Ramadan. Bulan yang didambakan oleh setiap Mukmin agar diberi kesempatan untuk bertemu dengannya. Agar dapat melaksanakan ibadah puasa, serta menambahkan amalan soleh padanya.


Bulan yang penuh rahmah dan pengampunan Tuhan. Seribu satu peluang dikurniakan Tuhan, untuk insan meningkatkan ketaqwaan padanya. Bermula dengan amalan berpuasa yang bertujuan untuk membina rasa takwa kepada Allah (s.w.t.). Allah (s.w.t.) berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 183:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Saudara dan saudari,

Dalam menyemai takwa dalam diri, mimbar ingin berkongsi dua pengajaran utama:  

Yang pertama: Ramadan melatih kita untuk menyemai rasa ikhlas di sebalik segala amalan.

Kita diajar agama ini, ketika beramal, untuk melaksanakan yang terbaik. Ketika memberi, untuk memberi dengan seikhlas mungkin. Ketika berbicara, untuk bertutur perkataan yang paling baik serta mulia. Ia merupakan satu sikap yang dipupuk agama ini, pada setiap amalan yang kita lakukan. Begitu juga ketika kita melaksanakan segala jenis ibadah, seperti solat dan berpuasa.

Bagaimana kita seharusnya berusaha agar amalan yang kita persembahkan ke hadrat illahi itu merupakan amalan yang terbaik mutunya. Bagaimana agaknya, sekiranya solat yang bakal kita laksanakan sebentar nanti, ia merupakan solat kita yang terakhir? Bagaimana indah ibadah solat yang bakal kita laksanakan ketika itu.

Bagaimana pula, sekiranya ibadah puasa yang bakal kita laksanakan ini, ia merupakan ibadah puasa kita yang terakhir? Terawih yang terakhir? Lailatul Qadar yang terakhir? Maka pastikan kita bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan ibadah puasa kita, pada Ramadan kali ini.

Kedua: Ramadan melatih kita untuk memupuk rasa rahmat.

Seorang mukmin yang mengharapkan rahmat dan kasih sayang illahi, pastinya hatinya juga mekar dan subur dengan perasaan rahmat terhadap segala ciptaan Tuhan.

Maka ketika kita berpuasa, ia melatih diri kita untuk menahan dari melakukan perbuatan yang keji dan sia-sia, seperti mengucapkan kata-kata kesat, mengumpat, dan sebagainya. Begitu juga apabila berinteraksi di media sosial, pastikan kita menjaga adab dan tatasusila yang elok. Elakkan dari memberi komen yang berunsur fitnah atau mencetuskan tengkarah sesama insan. Ambillah peluang yang disediakan di bulan ini untuk menyebarkan kebaikan dan rahmah kepada sesama insan. Kerana dengan sifat rahmat sesama insan, akan membawa kepada rahmat di sisi Allah. Sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud, “Kasihilah mereka yang berada di bumi, nescaya kamu dikasihi oleh Yang berada di langit.” (Hadith riwayat Imam al-Tirmizi).

Semoga Ramadan kali ini meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dan digolongkan bersama mereka yang dicintai Allah (s.w.t.). Ameen Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.