collections khutbah Ramadan Yang Selamat dan Bermakna
Ramadan Yang Selamat dan Bermakna

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

2 April 2021 / 19 Syaaban 1442H

Ramadan Yang Selamat dan Bermakna

 

 Saudaraku yang dirahmati Allah,

Bersyukur adalah sejenis peribadatan yang begitu tinggi. Seruan untuk bertakwa setiap Jumaat juga adalah seruan untuk kita sentiasa bersyukur, kerana ia tanda orang yang bertakwa. Marilah sama-sama kita bertakwa dengan sentiasa bersyukur. Semoga Allah (s.w.t.) memberkati kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Saudaraku,

Bulan Ramadan yang dinanti-nantikan akan tiba hanya beberapa minggu lagi. Marilah kita jadikan Ramadan ini Ramadan yang selamat dan bermakna, tanda syukur kita kepada Allah. Bila kita bersyukur, Allah akan tambahkan kebaikan-kebaikan.

Kita telah bersama mengharungi Ramadan yang unik pada tahun yang lalu. Tahun yang lalu, kita tidak dapat berkumpul di masjid-masjid, tidak dapat berjemaah, menunaikan Jumaat, terawih, qiyam, berbuka bersama, dan berbagai lagi keterbatasan kerana ujian pandemik. Namun, kita sabar dan cekal. Segalanya kita tunaikan, demi memelihara kemaslahatan umum. Kita tidak mengizinkan keadaan itu menjejas teruk kerohanian dan peribadatan kita.

Ramadan pada tahun yang lalu telah meninggalkan kesan yang menakjubkan kepada kita, walaupun tidak dapat ke masjid. Ikatan keluarga kita bertambah erat. Sebagai satu masyarakat, kita telah melalui segala ujian ini bersama, dengan cekal, tabah dan sabar.

Alhamdulillah, keadaan bertambah baik di Singapura, walaupun risikonya belum berakhir. Secara berperingkat kita membuka masjid dan aktiviti-aktiviti ibadah, dakwah dan pendidikan Islam. Kini lebih banyak aktiviti-aktiviti ini boleh dilakukan.

Marilah sama-sama kita menzahirkan kesyukuran ini. Pada waktu yang sama kita semuanya akur akan keadaan yang belum pulih sepenuhnya. Dari itu, kita perlu terus berwaspada dan memelihara keselamatan bersama. Inilah tanda syukur kita.

Saudaraku,

Saya menyeru kepada masyarakat Islam Singapura agar terus memelihara keadaan yang bertambah baik ini, dengan menjadikan Ramadan ini Ramadan yang selamat dan bermakna. Bagaimana boleh kita lakukan ini?

Yang pertama. Marilah sama-sama kita menjaga dan mengikut langkah-langkah keselamatan, ini termasuk mengambil vaksinasi. Jika kita perlu mengambilnya di bulan Ramadan sekalipun, maka lakukanlah. Kerana ia tidak membatalkan puasa kita.

Alhamdulillah, sepertimana yang telah dimaklumkan juga, pada Ramadan kali ini kita dibolehkan untuk ke masjid untuk menunaikan solat terawih dan qiyam, walaupun dengan keterbatasan tertentu. Maka jagalah langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan tatkala kita beribadah di masjid. Ini kerana langkah ini adalah penting demi memelihara kita dan masyarakat. Kita telah tabah bersama pada tahun lalu. Maka saya yakin kita tetap boleh lakukannya kali ini, inshaAllah.

Meskipun itu saudara, jika kita tidak berpeluang ke masjid, janganlah kita berasa kerugian. Bahkan sebaliknya. Kita bersyukur orang lain dapat peluang untuk ke masjid. Dan jika kita yang berpeluang, kita berdoa agar orang lain juga diberi peluang.

Kerana kita beriman, bahawa di mana sekalipun kita melaksanakan ibadah, Allah Maha Mendengar dan sedia menerima. Kerohanian kita tidak dibataskan oleh tempat dan bangunan tertentu, tetapi hubungan hati kita dengan Allah sentiasa terpaut. Kita teruskan amalan baik kita bersama keluarga di rumah.

Yang kedua. Teruskan meraih ilmu sebagai persiapan untuk Ramadan ini, dan sepanjang bulan Ramadan. Jika kita tidak berpeluang meraih ilmu ini secara fizikal di masjid atau pusat-pusat pendidikan, teruskan menghadiri program-program yang disediakan secara online. Alhamdulillah semakin banyak program-program pendidikan Islam yang tersedia secara online.

Tambahan itu, kita juga perlu mengambil peluang dan kesempatan sebelum bulan Ramadan ini, untuk mempertingkatkan mahupun menyemak semula akan cara-cara pelaksanaan solat terawih serta solat qiyamullail.

Kerana walaupun ruang-ruang solat di masjid agak terbatas, namun ia tidak seharusnya menyekatkan diri kita dalam melaksanakan amal ibadah pada bulan yang mulia nanti.

Hidupkanlah rumah-rumah kita bersama keluarga dengan pelaksanaan amal ibadah seperti solat terawih, membaca Al-Quran dan sebagainya.

Yang ketiga. Membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dan sokongan. Tawarkan tenaga sukarela kita. Biar sedikit yang kita sumbangkan, tetapi ikhlas dan berterusan. Allah tidak melihat banyak ataupun sedikit amalan kita, tetapi keikhlasan kita. Allah berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 97 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, sama ada lelaki atau wanita, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Saudaraku,

Kesemua langkah tadi adalah amalan-amalan soleh. Bila dilakukan dengan ikhlas, terbaik dan berterusan, inshaAllah akan menghasilkan kehidupan yang baik dan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang kita lakukan. Inilah cara kita menjadikan Ramadan ini Ramadan yang selamat dan bermakna. Marilah sama-sama kita bersatu melakukan ini sebagai satu masyarakat. Semoga Allah (s.w.t.) menerima segala usaha baik kita ini, serta mengurniakan kita tempat di syurga-Nya kelak. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.