collections khutbah Sedekah: Amalan Yang Disukai Allah
Sedekah: Amalan Yang Disukai Allah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 Apr 2022 / 13 Ramadan 1443H


Sedekah: Amalan Yang Disukai Allah

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Di antara amalan yang dianjurkan di bulan Ramadan adalah dengan memperbanyakkan bersedekah. Ia merupakan amalan Nabi (s.a.w.) sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Nabi (s.a.w.) adalah seorang yang paling pemurah dan dia lebih pemurah di bulan Ramadan..” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda:

Yang bermaksud: "Dan Sedekah itu bukti." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Maksud sedekah itu bukti adalah apabila seorang hamba yakin akan janji-janji Allah kepadanya di alam Akhirat, dia sanggup untuk melepaskan harta yang telah diperolehi dengan penat lelah, semata-mata kerana mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah (s.w.t.).

Ganjaran dan kelebihan sedekah adalah sangat banyak dan besar sekali sehingga Allah (s.w.t.) menggambarkan akan keinginan sebahagian insan yang meminta agar dilewatkan ajal mereka semata-mata agar dia dapat berpeluang untuk bersedekah. Allah (s.w.t.) berfirman dalam Surah Al-Munafiqun ayat 10:

 

Yang bermaksud: “Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum datang kepada seseorang dari kamu ajal maut, maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” 

Saudara dan saudari,

Sedekah yang baik adalah sedekah yang disembunyikan dari penglihatan serta pengetahuan manusia. Kerana di sebaliknya terdapat dua kebaikan.

Yang pertama: Perbuatan ini dapat membantu menjaga keikhlasan Si Pemberi sedekah kerana pemberiannya adalah kerana Allah dan bukan untuk tujuan lain.

Yang kedua: Ia merupakan satu amalan yang bakal menjadi sebab seseorang itu mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar kelak.

Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda: “Tujuh golongan yang akan dilindungi di bawah teduhan Allah pada hari yang mana tiada teduhan melainkan teduhan Allah: Lelaki yang menderma dengan tangan kanannya, tetapi tidak diketahui oleh tangan kirinya.”  (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Saudara dan saudari,

Di bulan Ramadan yang mulia ini, kita diwajibkan untuk membayar Zakat Fitrah serta zakat harta kita.

Walaupun kadar Zakat Fitrah ini adalah kecil, begitu juga zakat harta, berbandingkan harta yang Allah kurniakan, akan tetapi ganjaran yang akan diperolehi adalah sangat besar. Kerana menunaikan zakat adalah amalan yang telah diwajibkan kepada kita. Dan setiap amalan yang wajib, sangat disukai oleh Allah (s.w.t.) dan akan menerima ganjaran yang besar di sisi-Nya. Maka bersegeralah dalam melaksanakan tuntutan ini. Tambahan daripada kita menunaikan kewajipan agama, ia juga bakal membantu keperluan asnaf yang memerlukan.

Saudara dan saudari,

Rebutlah peluang yang ada pada bulan yang penuh barakah dan rahmat ini. Berilah sekadar mampu kepada golongan yang memerlukan. Jangan biarkan bulan ini berlalu tanpa kita menghulurkan sumbangan.

Semoga Allah terima segala amalan-amalan yang kita curahkan pada bulan ini. Dan kumpulkan kita di kalangan hamba-Nya yang dirahmati. Aamin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي ولَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudaraku,

Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF) sedang mengutip derma sehingga 25 April ini untuk menyediakan barang-barang keperluan kepada ribuan keluarga dan individu yang kurang bernasib baik, tidak kira bangsa, agama dan latar belakang mereka.

Sumbangan anda akan membantu membawa keceriaan dan menyebarkan keberkatan bulan Ramadan kepada mereka yang memerlukan. Maklumat mengenai cara menderma boleh didapati di lelaman web Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF). Marilah kita sama-sama hulurkan bantuan dan sedekah semampu yang mungkin dengan seikhlasnya.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.