collections khutbah Sifat Memudahkan: Ciri Utama Syari’at Islam
Sifat Memudahkan: Ciri Utama Syari’at Islam

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Februari 2023 / 3 Syaaban 1444H


Sifat Memudahkan: Ciri Utama Syari’at Islam

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya.

Saudara dan saudari,

Nabi Muhammad (s.a.w) diutuskan sebagai seorang Rasul kepada umatnya sebagai Uswah iaitu contoh ikutan buat sekalian alam. Risalah yang dibawa bersamanya adalah satu rahmat buat kita semua. Risalah Baginda (s.a.w) termasuk segala amalan ibadah dan hukum hakam yang disyariatkan dalam Islam. Allah (s.w.t) berfirman di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107:

Yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Khutbah pada minggu ini ingin mengajak para Jemaah sekalian untuk perhatikan lafaz “Alamin” yang disebutkan dalam ayat yang dibacakan sebentar tadi. Lafaz “Alamin” membawa maksud sekalian alam. Ayat ini menunjukkan bahawa risalah Baginda Nabi (s.a.w) adalah untuk seluruh manusia. Ia mengambil kira pelbagai latarbelakang dan aspek individu dari setiap lapisan masyarakat dari termasuk mereka yang kurang berkemampuan, lemah serta mereka yang berhajat. 

Ini bermakna syariat dan risalah Baginda (s.a.w) mudah diamalkan bagi setiap individu dalam apa situasi pun. Atas dasar itu, risalah yang dibawa Nabi (s.a.w) mengajar kita untuk memudahkan, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis ketika mana Nabi (s.a.w) bersabda “Permudahkanlah jangan mempersulitkan, sebarkanlah kebahagiaan dan bukan ketakutan.”

Saudara dan saudari,

Keterlaluan dan kekerasan dalam pengamalan agama bukanlah daripada agama Islam. Jalan untuk mencapai keredaan Allah (s.w.t) bukanlah terletak pada kekerasan. Malangnya, ada sebahagian yang masih bertanggapan sedemikin. Sebaliknya, Baginda Nabi (s.a.w) menekankan bahawa pengamalan ibadah hendaklah dimudahkan supaya setiap individu dapat turut mengamalkan ajaran Islam.

Diriwayatkan dalam sebuah Hadis, seorang sahabat yang bernama Mu’az bin Jabal (r.a.) mengimamkan kaumnya lalu beliau membaca Surah al-Baqarah dalam solat tersebut. Pembacaan Surah al-Baqarah yang hampir pada 300 ayat, membuat sebahagian sahabat mengadu kepada Baginda Nabi (s.a.w).

Setelah mendengar aduan tersebut, apakah nasihat Baginda (s.a.w) kepada Sayyiduna Mu’az (r.a)? Adakah Nabi (s.a.w) menyokong perbuatan beliau?

Baginda (s.a.w) bersabda:

يَا مُعَاذُ أَفَتَّانٌ أَنْتَ فَلَوْلاَ صَلَّيْتَ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ، وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا، وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى، فَإِنَّهُ يُصَلِّي وَرَاءَكَ الْكَبِيرُ وَالضَّعِيفُ وَذُو الْحَاجَةِ

Yang bermaksud: “Apakah engkau hendak menjadi penyebab fitnah, wahai Mu’az?”  Mengapa kamu tidak membaca saja (surah) al-A’la, dan surah al-Syams atau surah (al-Lail)? Sesungguhnya yang mengikutmu dalam solat mungkin ada orang yang lanjut usia, orang yang lemah, atau orang yang punya keperluan.”

Perhatikan hadis yang dibacakan sebentar tadi. Hatta dalam pengamalan Ibadah Solat, Nabi (s.a.w) mengajar kita supaya meringankan amalan tersebut. Prinsip ini juga boleh diamalkan dalam perlaksanaan solat Jumaat seperti memendekkan khutbah Jumaat.

Ini adalah kerana Syari’at mengambil kira keadaan individu, termasuk golongan yang lemah mahupun yang tua. Ataupun golongan yang mempunyai hajat. 

Oleh itu, kita mendapati Syari’at memberikan kelonggaran bagi golongan-golongan yang memerlukan. Kelonggaran ini bukanlah suatu yang ganjil ataupun terkeluar dari syari’at. Bahkan ia merupakan sebahagian daripada Syari’at seperti yang diajar oleh Baginda (s.a.w) kepada Mu’az ibn Jabal (r.a).

Saudara dan saudari,

Tujuan hukum-hakam di dalam Syari’at tidak lain adalah untuk memelihara kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat. Setiap pengamalan agama yang bertentangan dan tidak mencapai kemaslahatan manusia, ketahuilah bahawa ia bukan daripada Syari’at Islam.

Sebagai contoh, dalam konteks ibadah haji, Jawatankuasa Fatwa Singapura telah membuat keputusan awal tidak menghantar Jemaah Singapura melaksanakan ibadah haji pada tahun 2020. 

Sejumlah besar jemaah Singapura yang telah berdaftar untuk menunaikan ibadah haji pada tahun tersebut terdiri dari mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Mereka terdiri daripada golongan warga emas yang berisiko tinggi, serta mengalami penyakit yang lebih kritikal jika dijangkiti virus COVID-19.  Keputusan ini diambil demi menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan daripada mereka serta memudahkan perlaksanaan Ibadah haji. Ia merupakan manifestasi aspek rahmat dalam pengamalan agama.

Satu lagi contoh yang boleh saya ketengahkan bagi menegaskan kepentingan aspek rahmat dalam beragama. Kerana sekarang ini, terdapat sebahagian individu yang terkesan dengan dengan panggilan golongan ekstremis kepada keganasan. Ia bukanlah daripada ajaran Islam. Walaupun mereka berhujjah dengan teks agama. Lebih teruk lagi, sebahagian menggunakan teks-teks agama sebagai alasan untuk membolehkan keganasan. Penyelewangan ini berpunca daripada kejahilan dalam memahami teks agama. 

Semoga Allah (s.w.t) mengurniakan kita kefahaman agama Islam yang benar dan memudahkan setiap urusan agama kita. Amin Ya Rabbal Alamin