collections khutbah Zakat Menghakis Kebakhilan
Zakat Menghakis Kebakhilan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 Mac 2022 / 9 Ramadan 1444H


Zakat Menghakis Kebakhilan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di antara hamba-hamba yang mendapat pengampunan Allah (s.w.t) pada bulan Ramadan yang mulia ini. 

Saudaraku,

Islam mengajar kita untuk mengutamakan diri orang lain atas diri kita. Untuk menjaga hak sesama insan. Dan untuk membantu mereka yang memerlukan. Apatah lagi bagi mereka yang berkemampuan. Maka sudah semestinya ia menjadi kewajipan ke atas mereka untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.


Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah At-Taubah, 103. 

Yang bermaksud, “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka serta menyucikan; dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Ayat yang baru sahaja disampaikan tadi. Ia menyentuh tentang salah satu ­daripada rukun-rukun islam iaitu rukun zakat. Zakat merupakan pengeluaran harta apabila ia sudah menepati beberapa syarat-syarat yang telah ditetapkan agama. 

Kita boleh memahami bahawa maksud daripada perkataan zakat adalah menyucikan. Sepertimana yang disebutkan di dalam ayat yang dibacakan sebelum ini.  Ia memberi erti bahawa pengeluaran zakat ini dapat membersihkan dan menyucikan diri kita daripada sifat-sifat terkeji seperti sifat bakhil. 

Saudaraku,

Ibadah zakat yang pada zahirnya merupakan amalan untuk membantu beberapa golongan yang memerlukan. Akan tetapi pada hakikatnya ia sebenarnya merupakan pengajaran buat diri kita. Melalui ibadah tersebut. Ia mengajar diri kita untuk bersifat empati akan mereka yang kurang bernasib baik. Ia mengajar kita untuk lebih prihatin akan mereka yang memerlukan. Dan yang paling utama, ia menghakis sifat bakhil daripada diri kita sendiri. Di dalam makna sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, Rasulullah (s.a.w) bersabda: 

“Orang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan syurga, dekat dengan manusia, dan jauh dari neraka. Sedangkan orang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia, dan dekat dengan neraka." 

Begitulah bahayanya sifat bakhil ini. Kebakhilan boleh membawa diri kita dekat kepada kemurkaan Allah serta jauh daripada syurga Allah (s.w.t) dan rahmat-Nya.

Akan tetapi tuan-tuan yang dirahmati Allah sekalian, di sini terdapat keperluan untuk kita memahami bilakah seseorang itu dianggap sebagai bakhil. Kerana lawannya sifat bakhil itu bukanlah untuk kita belanjakan harta kita tanpa had atau dengan tidak bertanggungjawab. Akan tetapi, kebakhilan itu adalah apabila seseorang itu diberikan rezeki dan kemampuan yang lebih. Namun dia tidak menunaikan tanggungjawab dan kewajipannya.

Saudaraku,

Jika kita mengimbas kembali kebaikan yang telah kita kejarkan bersama pada waktu Covid-19 sedang berada dikemuncaknya. Setiap daripada hati-hati kita semua tersentuh mengenangkan nasib mereka yang diuji terlalu berat dek wabak tersebut. 

Dan Alhamdulillah kita menghulurkan bantuan sesuai dengan kemampuan kita. Kita tetap memberi sumbangan tanpa mengabaikan tanggungjawab kita. Dan itulah pengajaran yang seharusnya kita terapkan dalam diri kita.  Terus tanamkan sifat prihatin dan ambil peduli akan keadaan saudara-saudara kita. 

Dan antara cara-cara untuk kita terus melakukan sedemikian, adalah dengan menunaikan dan menyempurnakan ibadah zakat. 

Maka marilah kita menunaikan kewajipan membayar zakat. Sama ada zakat fitrah; begitu juga zakat harta, apabila sudah mencukupi haul serta nisabnya. Kerana zakat ini menjaga kebajikan masyarakat Islam.

Dan banyak kemajuan yang tercapai melalui agihannya. Ingatlah bahawa setiap nikmat yang diberikan kepada kita akan dipertanggungjawabkan suatu hari nanti. Begitu juga nikmat harta yang diberikan kepada kita oleh Allah (s.w.t). Ia terikat dengan tanggungjawab serta kewajipan untuk diagihkan. Baik menerusi kewajipan zakat, mahupun bersedekah. 

Akhir sekali, ingin saya kongsikan satu doa yang diamalkan dan diajarkan kepada kita oleh Baginda Nabi Muhammad (s.a.w) 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ 

Ertinya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kegundahan dan kesedihan dan aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu dari terlilit hutang dan pemaksaan dari orang lain.

Semoga Allah (s.w.t) menerima segala amal ibadah kita pada bulan yang mulia ini dan semoga segala apa yang kita belanjakan di jalan Allah (s.w.t) menjadi asbab kita meraih keredaan-Nya. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.