collections khutbah Adab bergembira dalam Islam
Adab bergembira dalam Islam

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3 April 2026 / 14 Syawal 1447H

Adab Bergembira Dalam Islam

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Cerminkan ketakwaan melalui perbuatan serta akhlak kita.

Dengan berbekalkan akhlak mulia, semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kehidupan yang baik serta pengakhiran yang lebih baik di sisi-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita kini berada di pertengahan bulan Syawal. Bulan yang sinonim dengan kemenangan, kesyukuran dan kegembiraan. Telah menjadi satu tradisi masyarakat kita, bulan Syawal ini dimanfaatkan untuk memperbaiki dan memperkukuhkan hubungan serta menyebarkan kegembiraan dan ihsan. Amalan mulia ini boleh dilihat sebagai kesinambungan ajaran sunnah Rasulullah s.a.w. untuk menzahirkan kegembiraan pada hari perayaan.

Benar saudara, bergembira adalah fitrah dan satu sunnah, terutama sekali bagi seorang Mukmin apabila dia menerima anugerah Allah. Atas dasar ini, Allah memerintahkan kita untuk bergembira. Firman-Nya dalam Surah Yunus, ayat 58 yang dibacakan pada awal khutbah tadi bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. (Kurnia Allah dan rahmat-Nya) itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan (kekayaan dan isi dunia).’”

Saudara sekalian,

Begitu indah panduan Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Kita dianjurkan untuk bergembira pada masa yang sesuai. Dalam suasana bergembira, terdapat juga adab-adabnya. Menurut para ulama, kegembiraan insan terbahagi kepada tiga jenis: Kegembiraan yang terpuji, kegembiraan yang dibenarkan dan kegembiraan yang tercela.

Kegembiraan yang terpuji adalah rasa syukur seorang mukmin atas nikmat iman dan hidayah daripada Allah, serta peluang untuk melakukan ketaatan, menyempurnakan ibadah dan amal kebaikan. Kegembiraan yang mendekatkan dirinya kepada keredaan Allah – itulah kegembiraan yang terpuji.

Manakala kegembiraan yang dibenarkan adalah kegembiraan dan rasa senang apabila menerima sesuatu nikmat dan kelebihan. Contohnya, seperti sekarang ini, kita bergembira kerana diberikan usia dan kesihatan saling ziarah menziarahi sanak-saudara. Jika diiringi sifat syukur, ia juga menjadi suatu bentuk kegembiraan yang terpuji.

Seterusnya, kegembiraan yang dikeji pula adalah kegembiraan yang menjurus kepada kelalaian. Ia berlaku apabila seseorang terlalu berlebih-lebihan dengan nikmat dan keseronokan dunia, sehingga perilakunya terpesong jauh daripada keredaan Tuhan. Ini temasuk bergembira dengan cara yang melampaui batas agama, terutama dalam bulan-bulan kebesaran Islam seperti Ramadan dan Syawal.

Saudara yang saya kasihi,

Dengan penjelasan ini, ayuh kita renungkan – bagaimana reaksi kita apabila memperoleh nikmat dan kelebihan? Adakah kita terus mempamerkan adab yang mulia, atau kita mudah terbawa-bawa dengan suasana kegembiraan yang melalaikan?

Di sini, mimbar ingin berkongsi tiga panduan agama dalam melayari suasana gembira di bulan Syawal.

Pertama: Nilai kesederhanaan dalam bergembira

Apabila kita rasa gembira, gandingkanlah ia dengan kesederhanaan sebagai tanda kesyukuran. Elak berbelanja lebih daripada kemampuan, sama ada dari sudut makanan, pakaian dan perhiasan. Allah s.w.t. telah berpesan dalam Surah Al-A’raf, ayat ke-31:

Yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebihan; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Begitu pula dengan hiburan. Islam mengharuskan kita berhibur, namun ada panduan serta adabnya bagi mereka yang beriman.

Saudaraku, elakkanlah daripada membiasakan diri dan ahli keluarga kita berhibur dengan cara yang tidak selari dengan panduan agama. Dewasa ini pula, pelbagai jenis hiburan lahir di wadah maya atau dalam talian. Ada yang baik sebagai hiburan, namun tidak kurang juga yang ketandusan nilai adab dan kesopanan, bercanggah dengan syarak, serta tidak sesuai dengan bulan-bulan mulia seperti Ramadan dan Syawal.

Ingatlah, walaupun ada yang mungkin bertanggapan bahawa Aidilfitri adalah perayaan yang dibentuk oleh budaya setempat, ia pada hakikatnya adalah perayaan yang disyariatkan Islam.

Oleh itu, usahlah kita membelakangkan panduan serta bimbingan agama dalam perayaan kita.

Ini membawa kepada perkara yang kedua:

Menjaga akhlak dan adab kita

Ini merangkumi pertuturan, kelakuan dan pakaian kita. Ketika saling menziarahi, tuturkanlah hal-hal yang baik dan hindari perbualan yang boleh mengguris hati. Saling hormat menghormati antara yang tua dan yang muda. Berpakaianlah secara sopan dan jagalah pandangan. Inilah cara kita menjaga nilai maruah dan kehormatan diri sendiri serta saudara kita.

Ketiga: Kesedaran rohani yang berterusan

Saudara, dalam kita bergembira pada musim perayaan, usahlah kita lupa bahawa Syawal juga merupakan peluang untuk meneruskan ketaatan. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan kita berpuasa enam hari di bulan ini. Semangat meneruskan amalan ini harus diluaskan pada amalan lain, seperti berzikir dan membaca Al-Quran, bersedekah serta menjaga solat pada waktunya walaupun kita disibukkan dengan aktiviti Hari Raya.

Saudara yang dirahmati Allah,

Teruskanlah menghidupkan nilai-nilai serta akhlak yang baik yang telah kita pupuk sepanjang bulan puasa. Ramadan mungkin telah berakhir, namun pintu rahmat Allah masih terbuka luas, manakala malaikat terus mencatat setiap kebaikan dan keburukan yang kita lakukan.

Oleh itu, marilah kita jadikan bulan Syawal ini medan melebarkan ihsan dan memperbanyakkan pahala, berbekalkan adab dan akhlak yang diajarkan agama. Semoga Allah s.w.t. merahmati diri kita, ahli keluarga serta masyarakat kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua