

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
3 Julai 2026 / 17 Muharram 1448H
Belia Bertakwa, Amanah Bersama

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga lembaran bulan Muharram ini terus memacu kita ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudaraku,
Pernahkah kita terfikir: apakah pandangan Islam terhadap golongan muda dan belia?
Untuk menjawab soalan ini, ayuh kita hayati satu gambaran tentang belia yang diutarakan oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w., iaitu Abu Sa’id Al-Khudri r.a., di mana beliau sendiri telah merupakan seorang pemuda ketika memeluk Islam.
Diriwayatkan bahawa Abu Sa’id Al-Khudri r.a. apabila melihat para pemuda dan belia datang untuk menuntut ilmu, beliau akan berkata, “Selamat datang kepada para wasiat Rasulullah s.a.w.”
Wasiat Rasulullah s.a.w., yakni yang sering dipesankan dan diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. Inilah gambaran yang diberikan oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w. ke atas golongan belia, terutama mereka yang gigih menuntut ilmu lalu menyebarkannya demi kemanfaatan umat manusia.
Saudara sekalian,
Kita sedia maklum bahawa gambaran belia terhadap kehidupan dipengaruhi persekitaran yang dibentuk oleh golongan dewasa.
Maka, menjadi amanah di atas pundak setiap orang dewasa, terutama sekali dari kalangan kaum mukmin, memainkan peranan membimbing golongan belia mengikut panduan Ilahi.
Dalam hal ini, Al-Quran sarat dengan kisah tauladan, pesanan dan doa yang amat sesuai dijadikan pedoman dalam mendidik anak muda. Ini termasuk pesanan-pesanan seorang lelaki soleh kepada anaknya dalam Surah Luqman, ayat ke-17:

Yang bermaksud: “Wahai anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah kemungkaran, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang perlu diambil berat.”
Melalui sirah Rasulullah s.a.w. pula, kita mempelajari pendekatan terbaik dalam membentuk dan memperkasa keperibadian golongan belia. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w. berurusan dengan seorang sahabat yang bernama Zaid bin Thabit r.a.
Zaid r.a. juga telah merupakan seorang anak muda. Dan disebabkan usianya itu, Rasulullah s.a.w. tidak mengizinkan beliau menyertai kaum Muslimin dalam peperangan Badar. Namun demikian, Rasulullah tidak meremehkan semangatnya atau menyisihkannya serta merta. Tetapi Baginda s.a.w. mengetahui dan menghargai kebolehannya dalam bidang membaca dan menghafal, lalu Baginda s.a.w. mengesyorkan perjuangan alternatif kepada Zaid, iaitu mempelajari dan menguasai bahasa Ibrani, yakni bahasa lama bangsa Yahudi. Setelah menjalankan nasihat Rasulullah s.a.w., Zaid bin Thabit r.a. kemudiannya menjadi jurutulis dan penterjemah rasmi kepada Baginda s.a.w., walaupun beliau masih berusia muda.
Begitulah acuan Rasulullah s.a.w. yang dengan penuh kasih sayang dan berpandangan jauh, memperkasa dan memanfaatkan potensi golongan belia di sekelilingnya.
Akhirnya, Zaid r.a. menjadi tokoh ilmuwan yang memainkan peranan utama dalam proses pengumpulan mushaf setelah kewafatan Rasulullah s.a.w.
Saudara yang dikasihi sekalian,
Contoh-contoh yang dibentangkan tadi mengundang kita untuk bermuhasabah dan bertanya kepada diri kita sendiri: Apakah peranan kita dalam membimbing para belia dan anak muda? Bilakah kali terakhir kita menjadi pembakar semangat yang membentuk peribadi generasi mukmin akan datang?
Di sini, izinkan khutbah mengusulkan empat perkara yang boleh kita lakukan:
Pertama: Menjadi contoh yang baik
Golongan belia adalah pemerhati yang tajam. Kadangkala, mereka lebih terkesan dengan kelakuan berbanding perkataan. Sekadar mengarahkan mereka menjadi insan yang baik, menjaga solat, menjauhi maksiat, adalah tidak memadai sekiranya mereka tidak melihat perkara yang sama dilakukan oleh kita. Oleh itu, ayuh berusaha agar diri kita terlebih dahulu menjadi cermin keperibadian mukmin yang ingin kita lihat pada diri mereka.
Kedua: Membimbing dengan hikmah
Inilah pendekatan sebenar Rasulullah s.a.w. Baginda tidak mendidik jiwa belia dengan herdikan, cemuhan atau leteran. Sebaliknya, dengan mencungkil potensi yang dimiliki oleh setiap belia dengan kelembutan dan penuh kasih sayang. Setiap kesilapan perlu diperbetulkan, namun ambillah pendekatan yang membina dan melihat kesilapan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
Ketiga: Meletakkan kepercayaan kepada mereka
Usahlah kita memandang rendah keupayaan anak muda. Sirah merakamkan bagaimana Rasulullah s.a.w. bersedia meletakkan tanggungjawab yang besar di atas bahu Zaid bin Thabit r.a., seperti yang dikisahkan tadi. Sekiranya kita mendapati anak-anak muda masih kurang kemahiran, bimbinglah mereka untuk menggilap kebolehan tersebut. Berikan mereka ruang untuk menyumbang, berdasarkan minat dan kemahiran mereka, agar mereka merasa dihargai. Kelak, mereka pula yang akan memikul amanah agama dan harapan bangsa.
Keempat: Mendoakan golongan belia
Rasulullah s.a.w. tidak lekang daripada mendoakan kesejahteraan anak muda di sekelilingnya. Selain mengeratkan hubungan dan memberikan semangat, kata-kata yang diuntaikan melalui doa juga merupakan bukti kebergantungan dan keyakinan kita, bahawa Allah s.w.t. mampu menitipkan apa sahaja kebaikan buat kita semua.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Usaha membentuk generasi masa hadapan yang bertakwa adalah tangggungjawab kita semua. Yang lebih dewasa perlu memainkan peranan, yang muda juga harus terbuka menerima bimbingan. Ia bukanlah hubungan satu hala. Sebaliknya, ia adalah satu jalinan yang saling melengkapi dan menguatkan.
Semoga Allah s.w.t. menautkan kasih sayang antara kita, menuntun setiap langkah kita dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas kita semua. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

