collections khutbah Berkhidmat Kepada Insan, Peroleh Bantuan Tuhan
Berkhidmat Kepada Insan, Peroleh Bantuan Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

15 Ogos 2025 / 21 Safar 1447H

Berkhidmat Kepada Insan, Peroleh Bantuan Tuhan

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. yang telah menciptakan kita. Dirikan segala perintah-Nya, dan jauhi segala larangan-Nya. Laksanakan setiap tuntuntan agama dengan sempurna. Semoga rahmat dan bantuan Allah sentiasa bersama kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Sidang jemaah sekalian, 

Memang benar, manusia boleh mendekatkan diri kepada Allah menerusi ibadah seperti solat, mengaji dan berpuasa. Tetapi,  selain ibadah yang disebutkan tadi, adakah cara lain untuk kita capai tujuan yang sama? Untuk menjawab soalan ini, ayuh kita renungkan isi kandungan Surah Al-Ma’un. 

 

Dalam surah ini, terdapat celaan bagi golongan yang mendirikan solat. Ibadah yang mereka lakukan seakan-akan tidak berguna bagi mereka. Ini kerana, selain lalai dalam urusan solat serta bersikap riyak, mereka juga melakukan satu kesalahan yang dipandang berat oleh agama – mereka tidak membantugolongan yang layak dibantu

Allah s.w.t. berfirman dalam ayat ke-7:

 

Yang bermaksud: “Dan mereka tidak memberi sedikit pun bantuan (kepada orang yang berhak mendapatkannya).” 

 

Saudaraku, 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia adalah tuntutan agama. Keduaduanya perlu ada. Seorang Muslim tidak hanya menumpukan perhatian kepada ibadah ritual, lalu menepis peluang untuk berkhidmat dan membantu orang lain. Sebaliknya, dia yakin bahawa dengan menghulurkan bantuan kepada manusia, dia juga mendekatkan diri kepada kurniaan rahmat dan pertolongan Allah s.w.t. 

 

Soalan seterusnya: Bagaimanakah kita dapat membantu saudara kita? Dalam hal ini, ayuh kita pertimbangkan 3 wadah bantuan yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w., yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: 

 

Pertama: Bantuan emosi 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang meringankan kesusahan seorang Muslim di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada Hari Kiamat.” 

Kita dituntut supaya bersikap prihatin terhadap saudara yang berdepan kesedihan, kegusaran, ataupun tekanan emosi. Sama ada ia orang dewasa yang bertugas, ataupun kanak-kanak yang bersekolah. Bagaimana pula dengan golongan warga emas yang tinggal bersendirian? Meniti hari dalam kesunyian? Dekatilah  mereka, santunilah mereka, agar kita dapat berkongsi secebis keceriaan.

 

Kedua: Bantuan material 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang dalam kesempitan di dunia, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” 

Ini merujuk kepada keperluan fizikal, termasuk soal kewangan. Kita harus bersedia membantu sekiranya mendapat maklumat bahawa seseorang telah jatuh sakit, hilang pendapatan, atau perlukan sokongan kewangan untuk membayar bil rumah, yuran sekolah, dan keperluan harian. Sekiranya kita tidak mengenali sesiapa secara khusus, hari ini, terdapat beberapa masjid yang mengadakan usaha “pantri (dapur) masyarakat”, di mana kita dapat berkhidmat menghulurkan sumbangan. Kita juga boleh membantu melalui tenaga yang dikurniakan, seperti dengan menawarkan tempat duduk di dalam bas atau MRT, atau memberi laluan menaiki lif, kepada golongan yang lebih memerlukan. 

 

Ketiga: Memelihara harga diri 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menutup aib seorang Muslim di dunia, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” 

 

Ini amat penting, terutama dengan perkembangan saluran maklumat dan media sosial pada hari ini. Ia tidak bermaksud kita harus membiarkan kesalahan terus berlaku. Sebaliknya, kita berperanan menasihati dan membetulkan dengan cara yang baik, bukan dengan menularkan kesilapan dan kepalsuan. 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Bersamalah kita membentuk masyarakat Islam yang kukuh dalam urusan ibadah dan agamanya, serta teguh dalam budaya berbakti dan berkhidmat kepada umat manusia. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan bantuan-Nya kepada kita di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

    

Khutbah Kedua