collections khutbah Bermuhasabah Diri: Kunci Meraih Ketakwaan Allah (s.w.t)
Bermuhasabah Diri: Kunci Meraih Ketakwaan Allah (s.w.t)

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 Januari 2023 / 5 Rejab 1444H     
Bermuhasabah Diri: Kunci Meraih Ketakwaan Allah (s.w.t)

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Beriman kepada hari akhirat dan hari hisab membentuk sebahagian daripada rukun iman. Ia begitu penting dalam kehidupan seorang Mukmin kerana ia akan mencorak watak seorang individu serta mendorong mereka untuk melakukan amal soleh atau meninggalkan larangan Allah (s.w.t).

Kerana seseorang yang sedar bahawa setiap pergerakan serta tingkah lakunya akan dihisab dan dipersoalkan di hari Akhirat, pasti beliau akan berhati-hati dalam segala keputusan serta tindak tanduknya.


Oleh itu, saya ingin mengajak para hadirin untuk sesama menghayati firman Allah (s.w.t) yang mengajar kita untuk bermuhasabah pada setiap masa. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dipersiapkannya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan [Al-Hasyr:18]

Saudara dan Saudari,

Jika kita perhatikan ayat di atas, Allah (s.w.t) menyebut perkataan “hendaklah kamu memerhatikan diri”. Ayat itu diselitkan di antara dua perkataan takwa sebelum dan selepasnya. Ini mengisyaratkan bahawa takwa itu perlu dicapai melalui proses pemerhatian dan pemeriksaan terhadap apa yang kita kerjakan, iaitu dengan bermuhasabah diri. Muhasabah ialah proses mengaudit dan memeriksa diri sendiri sama ada seseorang itu telah menjalankan setiap tuntutan agama sama ada tuntutan untuk melakukan amal ibadah ataupun meninggalkan segala larangan Allah (s.w.t.). Bahkan, setiap nikmat kurniaan Tuhan bakal diperhitungkan. Bayangkan saudaraku, Allah kurniakan kepada kita nikmat oleh Allah (s.w.t.) dengan nikmat yang begitu banyak sekali.  Rezeki adalah nikmat. Keamanan negara, adalah nikmat. Nyawa yang ada dalam tubuh ini, semuanya merupakan nikmat kurniaan Allah.

Segala nikmat tersebut merupakan amanah yang dipinjamkan dan kelak akan dipertanggungjawabkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah (s.a.w) menyebutkan 4 nikmat utama yang patut diberikan perhatian oleh setiap Mukmin. Rasulullah (s.a.w) bersabda:

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ

Yang bermaksud: “Kaki seorang hamba tidak akan bergerak pada Hari Kiamat sehinggalah dia ditanya (1) tentang umurnya, bagaimana dia habiskan; (2) tentang ilmunya, bagaimana dia amalkan, (3) tentang hartanya, dari mana dia peroleh dan untuk apa dia belanjakan dan (4) tentang tubuhnya bagaimana dia manfaatkan”. [Hadis riwayat Al-Tirmizi]

Renungkanlah hadis yang dibacakan sebentar tadi. Setiap manusia akan dipersoalkan pada hari Akhirat tentang nikmat yang dikurniakan Allah (s.w.t). Tidak kira golongan yang kaya mahupun yang kurang berkemampuan. Yang mempunyai kedudukan di sisi manusia ataupun tidak. Kerana, selagi nyawa dikandung jasad, selagi itu pasti terdapat nikmat Tuhan yang kita sedang mengecapi nikmat Tuhan.

Sebuah nikmat akan menjadi hujjah ke atas mereka jika ia menggunakan nikmat tersebut pada jalan yang tidak diredai Allah (s.w.t). Sebaliknya, jika nikmat tersebut digunakan pada jalan yang diredai Allah (s.w.t), maka ia akan menjadi sebab bagi beliau mendapatkan syurga Allah (s.w.t).

Saudara dan Saudari,

Nikmat usia dan kesihatan yang Allah berikan ialah untuk kita memanfaatnya dengan perintah Allah dan menghindar larangannya. Mendirikan ibadah, menuntut ilmu, berbuat kebaikan, serta menjauhi zina, mengumpat, menganiaya dan sebagainya. Kerana semua anggota kita adalah milik Allah yang boleh menjadi hujjah kita kelak.

Begitu juga dengan amanah harta. Adakah kita telah memastikan bahawa harta yang diperoleh dan dibelanjakan kepada keluarga kita ialah harta yang berkat, dari sumber yang halal, bersih, tidak bercampur syubhah. Lantas, bagaimana kita membelanjakan pendapatan tersebut? Adakah kita telah memenuhi hak saudara dan ahli keluarga kita? Membayar hutang, memberi nafkah dan bersedekah pada fakir miskin? Atau kita lebih mengutamakan kemewahan dan berlebih-lebihan serta pembaziran dalam berbelanja?

Demikianlah pentingnya untuk kita mempersiapkan diri dan bermuhasabah pada setiap masa sebelum bertemu Allah (s.w.t). Semoga dengan sering bermuhasabah, Allah bakal mengurniakan kita ketakwaan serta keikhlasan insyaAllah.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.