Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
25 April 2025 / 26 Syawal 1446H
,Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Taati segala perintah-Nya, dan jauhi segala larangan-Nya. Carilah rahmat serta kasih sayang Allah, dan awasilah kemurkaan-Nya. Dengan ini, semoga kita menjadi insan yang terus bersemangat merebut keredaan Allah, dan tidak pernah berputus asa daripada rahmat-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sila renungi firman Allah di dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 98:
Yang bermaksud: “Ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Berat seksaan-Nya, dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Mungkin ada di kalangan manusia mempersoalkan: Bagaimanakah Allah boleh menjadi Tuhan yang Maha Pengampun sekaligus yang Maha Berat seksaan-Nya? Bukankah pengampunan dan penyeksaan adalah dua perkara yang saling bercanggah?
Saudara, ketahuilah, ayat-ayat yang menyebutkan keampunan dan azab Allah s.w.t. ini sebenarnya membuktikan kesempurnaan asma’ (nama-nama Allah) dan sifat-Nya. Dengan menggunakan pendekatan tadabbur yakni penghayatan, kita menyaksikan pertarbiahan jiwa insan melalui pendekatan yang seimbang, antara galakan (yang dirujuk sebagai targhib), dan amaran (atau dirujuk juga sebagai tarhib).
Al-Quran mengandungi pelbagai galakan untuk kita terus mengejar rahmat Allah s.w.t. Kita diingatkan tentang keluasan rahmat dan kasih sayang Allah yang tidak bertepi, sekaligus menyuntik motivasi untuk terus melakukan ketaatan.
Pada masa yang sama, Al-Quran juga mengandungi pelbagai amaran tentang seksaan yang menanti mereka yang bersengaja melakukan dosa tanpa sebarang penyesalan. Pendekatan ini seharusnya membuat kita lebih berjaga-jaga agar tidak melanggar batasan Allah dengan sengaja.
Mengapakah pendekatan galakan dan amaran ini, sesuai untuk membimbing naluri manusia? Kenapa perlu ada kedua-duanya, dan bukan hanya galakan, atau amaran sahaja?
Bayangkan, analogi ibu bapa yang berusaha mendidik anak menjadi insan yang baik. Sekiranya mereka membenarkan anak itu melakukan apa sahaja yang diinginkan, tanpa sebarang bimbingan atau peringatan, kemungkinan, anak itu akan gagal mengenal akhlak dan pekerti yang luhur.
Sebaliknya juga, sekiranya ibu bapa terlalu keras dalam mendidik anak, dengan hanya memberi amaran dan ancaman, tanpa sebarang galakan dan kata-kata perangsang, besar kemungkinan itu hanya akan mematahkan semangat anak tersebut.
Begitulah juga pendekatan galakan dan amaran dalam mendidik jiwa manusia. Galakan atau kata-kata yang membenarkan sahaja, jika tidak diselangi amarandan peringatan, akan menyebabkan insan tidak terangsang untuk melakukan kebaikan, dan mungkin terdorong melakukan kemaksiatan, kerana tertipu dengan anggapannya bahawa rahmat Allah mudah dikecapi, walaupun mereka tidak berusaha mendapatkannya.
Sebaliknya, amaran keras yang berlarutan, tanpa sebarang galakan yang membangkitkan semangat untuk melakukan ketaatan, hanya akan membuat insan berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t. setelah terjebak dalam sesuatu kesilapan, sama ada yang disengajakan atau pun tidak.
Ini menunjukkan keseimbangan ajaran Islam, yang menekankan aspek meletakkan usaha (effort) dan sikap bertanggungjawab (self-accountability). Orang yang mengharapkan keredaan dan rahmat Allah perlu berusaha ke arah tersebut. Manakala mereka yang berusaha sedaya upaya mentaati perintah Allah, atau mungkin telah melanggar batasanNya, perlu bertanggungjawab dan bakal menerima balasan yang setimpal dengan amalan mereka.
Kedua-dua pendekatan galakan dan amaran ini, dirumuskan dalam sepotong hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sekiranya orang yang kufur itu mengetahui segala rahmat yang ada di sisi Allah, nescaya dia tidak akan berputus asa daripada mendapatkan syurga. Dan sekiranya orang beriman itu mengetahui azab yang ada di sisi Allah, nescaya dia tidak akan merasa aman daripada neraka.” (Al-Bukhari)
Pertama: Pendekatan ‘galakan’ mendorong kita untuk terus melakukan kebaikan.
Seorang Mukmin yang sedar tentang ganjaran Allah akan sentiasa mengejar kebaikan. Dia memberi perhatian terhadap keluarga, mendidik mereka dengan baik, bersikap amanah dalam melaksanakan tugas, dan memelihara hubungan baik sesama manusia. Di samping itu, dia menjaga amalan dan hubungannya dengan Allah, dan segera memohon keampunanNya apabila tersilap. Semua ini dilakukan dengan penuh harapan supaya dapat mengecap keredaan dan kasih sayang
Allah s.w.t.
Kedua: Pendekatan ‘amaran’ mendidik kita untuk sentiasa berhati-hati daripada melakukan kesilapan.
Seorang Mukmin yang sedar tentang akibat dosa akan berusaha secara sedar untuk menjauhi kesalahan. Dia tidak meninggalkan solat dengan sengaja, tidak menipu atau merosakkan hubungan, dan tidak menindas atau menzalimi orang lain. Dia sedar bahawa rahmat Allah datang melalui usaha yang diletakkannya.
Ketiga: Mengimbangi antara ‘galakan’ dan ‘amaran’ demi mencapai kemaslahatan.
Dalam mendidik diri dan menyampaikan nasihat kepada ahli keluarga, taulan, dan masyarakat, seorang Mukmin harus mengimbangi pendekatan targhib dan tarhib, seperti yang dijelaskan awal tadi. Keseimbangan tidak bermakna kita menggunakan pendekatan yang sama bagi setiap individu. Sebaliknya, ia bermaksud memberikan galakan atau amaran dengan kadar yang sesuai dengan keadaan individu atau golongan tertentu.
Rumusannya, marilah kita mengamalkan pendekatan yang seimbang dalam memperbaiki diri, dan mengajak manusia ke arah kebaikan, dan menjauhkan mereka daripada keburukan.
Galakan, apabila disampaikan dengan hikmah dan keikhlasan, mampu memberi inspirasi kepada perubahan yang berkekalan. Pada masa yang sama, amaran, apabila dilakukan dengan penuh keihsanan, dapat menggariskan batas-batas yang ditetapkan oleh agama.
Teruskanlah berdoa semoga Allah s.w.t. memberikan kita semangat untuk kekal istiqamah dalam menjaga amalan dan mengerjakan ketaatan. Pohonkanlah juga agar Allah memenuhi doa dan harapan kita untuk mencapai keredaan dan kasih sayang-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.