Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
10 Jun 2022 / 10 Zulkaedah 1443H
Rumahtangga – Tanggungjawab Bersama
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.
Saudara dan saudari,
Allah (s.w.t.) telah mencipta manusia dan menentukan baginya peranan dan tanggungjawab yang pelbagai. Setiap manusia dicipta mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Isteri memiliki tanggungjawab dan peranannya. Suami juga memiliki tanggungjawab dan peranannya yang tertentu.
Perhatikan firman Allah (s.w.t.) dalam surah al-Talaq ayat 7:
Ertinya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak membebani seseorang melainkan yang diberikan Allah kepada-Nya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Maka memberi nafkah, merupakan tanggungjawab. Termasuk perbelanjaan kos sara hidup seperti tempat tinggal, makanan, pakaian dan sebagainya. Bahkan termasuk juga antara nafkah keluarga, adalah untuk memastikan bahawa anak-anak memiliki pengajian yang mencukupi.
Saudara dan saudari,
Dalam konteks kita di Singapura hari ini, usaha mencari nafkah kadangkala dikongsi sama dengan isteri, demi membantu melaksanakan tanggungjawab menyediakan keperluan hidup. Bak kata pepatah Melayu “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”
Sebagai contoh, kisah yang berlaku antara pasangan suami isteri di zaman Nabi (s.a.w.), iaitu Zainab dan Abdullah bin Mas’ud (r.a.) kerana Abdullah bin Mas’ud (r.a.) tergolong dalam golongan yang memerlukan, sementara si isteri pula daripada golongan bangsawan yang memiliki harta. Kadangkala si isteri yang membantunya dalam menyediakan keperluan keluarga.
Walau bagaimana sekalipun ketetapannya serta persetujuan antara pasangan, ingin saya tegaskan bahawa tanggungjawab kehidupan bekeluarga, merupakan tanggungjawab bersama.
Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Setiap di antara kamu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinannya.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]
Sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab, dia perlu memainkan peranan yang aktif dalam kehidupan mereka. Ini termasuk meluangkan masa untuk bersama mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, sering berkomunikasi bersama mereka, dan mengambil berat akan hal-ehwal dan perkembangan mereka secara fizikal, sosial, termasuk juga keperluan agama serta pembelajaran mereka.
Saudara,
Tanggungjawab mengurus anak-anak, tidak hanya terhad kepada ibu sahaja. Bahkan kajian membuktikan, bagaimana pentingnya peranan ayah di dalam keluarga. Dan kesan yang positif terhadap anak-anak, sekiranya ayah turut memainkan peranan bersama.
Lihatlah pengajaran dan nasihat yang dibawa oleh seorang sahabat bernama Salman al-Farisi (r.a.) kepada saudaranya, Abu Darda’ (r.a.) yang dikenali dengan kesungguhannya dalam melakukan ibadah sehingga tidak mengendahkan tanggungjawab yang lain. Melihat keadaanya, Salman menasihati beliau dan berkata: “Sesungguhnya bagi Tuhanmu hak ke atasmu, dan bagi dirimu hak ke atasmu, dan bagi keluargamu hak ke atasmu, maka berilah setiap yang mempunyai hak akan haknya.” [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari].
Setiap daripada kita pasti akan disoal tentang tanggungjawab kita di akhirat kelak. Adakah kita telah memenuhi dengan cermat dan adil pada setiap hak yang ada di bawah tanggungan kita? Adakah kita telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan seorang ayah dengan sempurna? Jika ya, maka kita bermohon kepada Allah (s.w.t.( supaya mengekalkan kita dalam istiqamah, dan jika tidak, maka belum lagi terlambat untuk kita memperbaiki dan melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab kita.
Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) untuk memberikan kita taufiq dan hidayah dalam menjalankan amanah kita di dunia ini dengan sebaiknya dan mengampunkan segala kecuaian dan kekurangan yang terdapat dalam usaha kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم.
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
Saudaraku,
Ibadah korban merupakan Sunnah Kifayah yang sangat digalakkan bagi setiap keluarga yang mampu untuk melakukannya. Ia merupakan salah satu ibadah yang amat digalakkan pada bulan Zulhijjah. Marilah kita rebut peluang ini untuk melaksanakannya menerusi usaha sama masjid tempatan. Penempahan boleh dilakukan melalui portal www.ourmasjid.sg/korban dan maklumat lanjut boleh didapati di Facebook MUIS atau di kaunter masjid.
Semoga Allah (s.w.t.) menerima ibadah korban kita dan menjadikan ia sebagai wasilah dan sebab bagi kita mendapatkan ganjaran dan Syurga-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.