collections khutbah Doa Nabi Musa: Mensyukuri Pemberian Tuhan
Doa Nabi Musa: Mensyukuri Pemberian Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

11 November 2022 / 16 Rabiulakhir 1444H

  
Doa Nabi Musa: Mensyukuri Pemberian Tuhan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Al-Quran mengandungi pelbagai kisah Anbiya terdahulu yang penuh dengan pengajaran. Minggu ini, kita akan menelusuri kisah Nabi Musa (a.s.) serta menghayati isikandung doanya.

Sebagai seorang Nabi yang digelar “Kalimullah”, iaitu yang berbicara secara langsung dengan Allah (s.w.t.), terdapat banyak doa-doa yang diamalkan oleh Nabi Musa (a.s) di dalam al-Quran. Antara doa tersebut adalah firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: “Maka Musa lalu memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan". [Al-Qasas:24]

Saudara dan saudari,

Terdapat beberapa faedah yang boleh diraih dari doa yang baru saya baca tadi. Antaranya:

Pertama: Ia menzahirkan sikap merendahkan diri.

Walaupun Nabi Musa (a.s.) merupakan seorang utusan Allah, Baginda tetap merendahkan diri di hadapan Allah (s.w.t.) untuk memohon dan meminta kepada-Nya.

Lihat perkataan yang digunakan Nabi Musa untuk menggambarkan dirinya ketika berdoa iaitu “fakir” yang bermaksud “sangat berhajat”. Inilah hakikat seorang hamba yang bermohon kepada Tuhannya. Baginda mengakui dirinya sebagai seorang hamba yang tiada daya dan upaya dan meyakini Tuhannya sebagai Tuhan yang Maha Memberi dan yang Mencukupkan. Ia merupakan salah satu antara adab-adab dalam berdoa, iaitu untuk merendahkan diri ketika berdoa.

Kedua: Ia menzahirkan kepentingan perasaan syukur.

Sebuah doa yang lahir dari kerendahan diri akan menimbulkan perasaan syukur yang amat tinggi dalam diri seorang hamba. Bersyukur dengan segala jenis pemberian yang diberi. Ini kerana setiap pemberian itu merupakan satu anugerah dan juga amanah dari yang Esa. Sebagaimana Nabi Musa (a.s.) menyatakan dalam doa tadi, kesediaannya untuk menerima apa sahaja pemberian Tuhan kepadanya.

Tidak mengira. Tidak merungut. Kerana orang yang sangat berhajat kepada sesuatu pasti akan menghargai setiap pemberian yang diberi, berbeza dengan orang yang angkuh yang tidak mensyukuri malah menuntut yang lebih. Apabila seseorang hamba tadi mengakui dirinya tiada daya dan upaya, maka setiap pemberian itu akan dihargai dan disyukuri. Apatah lagi ia datang dari Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Saudara dan saudari,

Perhatikan hadis Nabi (s.a.w.) berikut:

‏ مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْعُو بِدُعَاءٍ إِلاَّ آتَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ أَوْ كَفَّ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهُ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ

Yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang berdoa dengan suatu doa kecuali Allah akan mengabulkan apa yang dimintanya atau memalingkannya dari keburukan yang semisalnya, selama dia tidak berdoa yang mengandungi dosa atau pemutusan silaturahmi.” [Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi]

Itulah hakikat doa, di mana tidak semua yang kita minta akan diberi dan tidak semestinya yang diberi itu yang kita minta. Dia sahaja yang mengetahui hikmah dan sebab di sebalik setiap pemberian. Sebagai orang yang beriman, kita percaya bahawa setiap pemberian itu merupakan yang terbaik untuk diri kita walaupun kadangkala hikmahnya belum kelihatan.

Sebagai contoh, lihat sahaja kepada kurniaan Allah kepada Nabi Musa a.s. setelah beliau memanjatkan doa tersebut. Beliau telah diundang menjamu di rumah Nabi Syuaib (a.s.). Walaupun pada saat tersebut, keperluan Nabi Musa sebenarnya lebih daripada sekadar satu jamuan. Beliau baru sahaja melarikan diri dari bumi Mesir. Tiada tempat berteduh. Tiada sumber pendapatan. Akan tetapi beliau tidak merungut, bahkan menerima undangan tersebut. Hasilnya, Allah (s.w.t.) telah membuka peluang baginya untuk bertugas bersama Nabi Syuaib (a.s.) serta bernikah dengan anak gadisnya.

Marilah sama-sama kita meneruskan berdoa kepada Allah (s.w.t.) dengan segala kerendahan hati dan keikhlasan diri. Kuatkan tekad dan tawakal, pada waktu yang sama berusaha dan berikhtiyar tanpa putus asa. Semoga kita tergolong di dalam hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan reda di atas setiap anugerah dan pemberian oleh-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.