collections khutbah Doa Nabi Zakaria: Jangan Pernah Berputus Asa
Doa Nabi Zakaria: Jangan Pernah Berputus Asa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

18 November 2022 / 23 Rabiulakhir 1444H

  
Doa Nabi Zakaria: Jangan Pernah Berputus Asa

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari berhadapan dengan cubaan dan ujian dari Allah (s.w.t). Tidak kira latar belakang, apa jua jabatan, pekerjaan dan di mana kita berada, kita tetap akan diuji di dalam kehidupan ini. Kadar dari ujian tersebut juga berbeza-beza, sehingga kadangkala beratnya ujian tersebut dicampuri oleh perasan menyerah dan berputus asa. Kerana semakin tinggi kedudukan seseorang itu di sisi Allah, semakin hebat ujian seseorang itu, seperti ujian yang dihadapi oleh para Anbiya’.

Saudara dan saudari,

      Nabi Zakaria (a.s) juga diuji. Beliau sangat bimbang apabila dirinya belum lagi dikurniakan seorang anak. Nabi Zakaria bukan saja inginkan zuriat yang menjadi penyejuk mata buat keluarganya, tetapi beliau inginkan zuriat yang baik. Demikian yang Allah rakamkan dalam Surah Maryam ayat 4 hingga 5:



Yang bermaksud: “Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu. Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku. Dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak.”

Daripada doa ini kita dapat perhatikan dua adab yang dipaparkan Nabi Zakaria (a.s) ketika berdoa kepada Allah.

Yang pertama: Menzahirkan kelemahan diri kepada Allah (s.w.t). Apabila berdoa, tunjukkan diri kita sangat lemah dan hanya Allah yang Maha Kuat. Lihatlah bagaimana Nabi Zakaria (a.s) menyebutkan satu persatu keadaan dirinya yang sudah berusia serta memiliki kelemahan jasmani tertentu. Kerana merendahkan diri ketika berdoa, merupakan antara adab seorang hamba dengan Tuhannya.

Yang kedua: Tunjukkan kepada Allah (s.w.t) bahawa kita telah melakukan amal kebaikan dengan ikhlas. Lalu, menjadikan amalan tersebut sebagai perantaraan untuk mendekatkan diri kita dengan Allah (s.w.t). Demikianlah yang dilakukan oleh Nabi Zakaria (a.s) apabila dia mengatakan bahawa dia tidak pernah bosan berdoa kepada Allah (s.w.t).

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t) lalu menjawab doa dan rintihan Nabi Zakaria (a.s) ketika dia sedang bermunajat kepada Allah (s.w.t).

Nabi Zakaria (a.s) lalu dikurniakan seorang anak yang juga seorang Nabi iaitu Nabi Yahya (a.s). Begitu indah hidup kita apabila kita sentiasa berfikir tatkala kita memanjatkan doa kita menyedari bahawa Allah itu Maha Hidup dan Maha Mendengar. Maka kita tidak akan merasa sendirian kerana yakin Allah (s.w.t) sentiasa mengambil berat terhadap doa-doa kita dan tidak berputus asa mengharapkan rahmat Allah.

Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi (s.a.w) bersabda:

يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ فَلاَ أَوْ

 فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي

Yang bermaksud: “Akan dikabulkan doa seseorang di antara kamu selagi mana dia tidak tergesa-gesa untuk dikabulkan dengan mengucapkan: “Aku telah berdoa, namun doaku belum dikabulkan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jangan kita beranggapan bahawa Nabi Zakaria (a.s) beroleh keistimewaan ini hanya kerana dia seorang Nabi. Tetapi kita perlu fokus pada usaha dan ikhtiar yang telah Al-Quran perincikan. Kita perlu fahami bahawa mukjizat para Nabi adalah rentetan daripada usaha yang gigih. Fokus kita adalah usaha yang gigih serta mencari ikhtiar dan sikap tidak berputus asa yang dipaparkan Nabi Zakaria (a.s) untuk berdoa kepada Allah (s.w.t) tanpa rasa jemu.

Semoga kita menjadi hamba kepada Ar-Rahman yang yakin dengan ketentuan-Nya dan bakal menerima bantuan serta kurniaan dari-Nya sambil meraih pahala sabar sementara menantikannya. Amin Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.