collections khutbah Doa Seorang Berpuasa
Doa Seorang Berpuasa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

8 Apr 2022 / 6 Ramadan 1443H


Doa Seorang Berpuasa

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Dengan hadirnya bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.), dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang memperolehi rahmat dan pengampunan-Nya. Amin.

Saudara dan saudari,

Ramadan merupakan peluang yang amat berharga bagi seorang Muslim untuk mendekatkan dirinya kepada Allah (s.w.t.).  Kerana bulan yang mulia ini, adalah bulan anugerah di mana Allah (s.w.t.) telah membuka luas pintu rahmat dan kasih sayang-Nya.


Diantara amalan yang digalakkan di bulan Ramadan adalah berdoa. Ini kerana, berdoa itu adalah sebuah ibadah yang amat tinggi nilainya di sisi Allah (s.w.t.). Doa itu sifatnya khusus dan amat peribadi, ianya mengukuhkan keyakinan serta hubungan seorang hamba dengan Tuhan yang Maha Pencipta. Firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka mendapat petunjuk.  Surah Al-Baqarah ayat 186

Saudara dan saudari,

Doa dan Ramadan tidak dapat dipisahkan, buktinya? Ayat yang baru sahaja kita baca ini adalah ayat yang datang setelah ayat yang menceritakan tentang kewajipan berpuasa. Bahkan, di sana terdapat banyak sekali doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah (s.a.w.) sepanjang kita berpuasa di bulan yang mulia ini. Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah (s.a.w.) yang menyatakan bahawa doa seseorang yang berpuasa itu tidak tertolak, yakni makbul di sisi Allah (s.w.t.). (Mafhum hadis riwayat Imam Ahmad)

Saudara dan saudari,

Pentingnya doa sehingga Rasulullah (s.a.w.) mewasiatkan beberapa doa untuk diamalkan oleh para sahabat. Di antara doa yang baginda wasiatkan kepada seorang sahabat iaitu Mu’adz bin Jabal (r.a.) ialah doa yang berbunyi:

اللّهُـمَّ أَعِـنِّي عَلـى ذِكْـرِكَ وَشُكْـرِك، وَحُسْـنِ عِبـادَتِـك

Yang bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku untuk sentiasa mengingatimu, bersyukur kepadamu dan (sentiasa) beribadah dengan sebaik mungkin.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada sahabat ini menggambarkan kepada kita betapa pentingnya bagi seorang Muslim untuk memohon kekuatan di dalam hal yang berkaitan dengan keimanan dan ibadah, kerana hidayah itu milik Allah. Mohonlah bantuan dari Allah (s.w.t.) agar kita diberikan sifat istiqamah di dalam melaksanakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan, sentiasa dimudahkan untuk melakukan kebaikan serta dilindungi dari keburukan serta kemaksiatan.

Selain dari itu, Rasulullah (s.a.w.) juga mengajar kita agar mendoakan orang lain, dan Allah (s.w.t.) menjadikan itu diantara sebab dimakbulkan doa dan disampaikan hajat seseorang.

Maka panjatkanlah doa khusus mahupun umum, bagi mereka yang kita kenali ataupun tidak, agar mereka yang sedang diuji oleh Allah (s.w.t.) dengan kemiskinan dilapangkan rezekinya, yang diuji dengan penyakit diberikan kesembuhan, dan yang lagi diuji dengan kesusahan diberikan jalan keluar oleh Allah (s.w.t.) serta dimudahkan semua urusan.

Semoga Allah (s.w.t.) menerima segala amalan, diampunkan setiap dosa & kekurangan serta digolongkan bersama mereka yang bergembira di syurga-Nya yang tertinggi. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي ولَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.