collections khutbah Erti Kasih Sayang & Rahmat Seorang Ibu
Erti Kasih Sayang & Rahmat Seorang Ibu

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

6 Mei 2022 / 4 Syawal 1443H


Erti Kasih Sayang & Rahmat Seorang Ibu

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga dengan segala amal kebaikan yang kita kerjakan beroleh ganjaran di sisi Allah (s.w.t.).

Saudara dan saudari,

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawasanya, "Rasulullah (s.a.w) pernah mencium Al-Hasan bin Ali dan disamping beliau ada (seorang sahabat bernama) Al-Aqra' bin Habis yang sedang duduk, lalu al-Aqra' berkata: "Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun. Maka Rasulullah (s.a.w.) memandangnya dan bersabda: "Barangsiapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Jelas daripada hadis ini bahawa Nabi (s.a.w.) ingin mengajar umatnya bagaimana sifat rahmat dan kasih sayang perlu untuk dizahirkan dalam keluarga. Melahirkan sifat rahmat terhadap seorang anak merupakan unsur yang sangat genting dalam pembentukan watak dan keperibadian seorang anak.

Saudara dan saudari,

Tidak dinafikan bahawa sifat rahmat diantara kalimat yang banyak diulangi dalam Al-Quran jika dibandingkan dengan kalimat yang lain. Bahkan, sifat rahmat merupakan sifat pertama dimana Allah (s.w.t.) mengenalkan diri-Nya kepada hamba-hamba-Nya dalam surah Al-Fatihah.

Segalanya membawa maksud bahawa sifat ini patut dijadikan asas bagi interaksi kita sesama manusia. Lebih-lebih lagi dalam hubungan kita di dalam keluarga.

Namun, sifat rahmat dalam konteks pendidikan anak, bukanlah bererti seorang ibu ataupun ayah itu perlu memenuhi segala keinginan dan permintaan seorang anak dengan alasan “kasihan” tanpa mengambil kira kemaslahatan anak tersebut, sama ada kemaslahatan dunia mahupun di akhirat. Sifat rahmat ayah dan ibu terhadap anaknya, sepatutnya mendorong anak itu kepada jalan yang diredai oleh Allah (s.w.t.) dan bukan jalan yang dimurkai oleh-Nya. Itu lah hakikat rahmat yang sebenar.

Sudah pasti setiap ibu dan ayah menginginkan keselamatan bagi anaknya. Dari itu, mereka tidak akan memenuhi permintaan anaknya, sekiranya terdapat kemudaratan padanya. Misalnya, menghalang anak daripada mengambil bahan makanan atau minuman yang memudaratkan merupakan manifestasi bagi sifat rahmat kerana ia menjamin kemaslahatan anak itu dan bukan sebaliknya.

Saudara dan saudari,

Teguran dan pencegahan terhadap perkara yang mungkar dalam pendidikan anak merupakan diantara prinsip yang diajar oleh Islam. Bahkan ia juga merupakan manifestasi perasaan rahmat. Sebagai contoh, kadangkala Tuhan itu menegur kesilapan hamba-Nya dan tidak membiarkannya terus sesat. Diberi kepadanya ujian kehidupan, musibah datang melanda. Biar hamba itu kembali sedar akan kekurangan diri. Biar hamba itu kembali terjaga daripada kealpaan dan kelalaian.

Maka begitu juga teguran yang sepatutnya sentiasa wujud di dalam kehidupan berkeluarga.


Namun, teguran tersebut hendaklah berhikmah tanpa mengherdik ataupun mencaci. Teguran hendaklah menjamin dan mencapai kemaslahatan yang lebih besar untuk membentuk keperibadian anak yang teguh pada nilai-nilai positif dalam hidupnya. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: “Kalian adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala kemungkaran, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah lebih baik bagi mereka. Diantara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Al-Imran: 110)

Semoga Allah (s.w.t.) menjadikan kita orang-orang yang bersikap rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita dan mempermudahkan bagi kita untuk mencontohi teladan yang Nabi (s.a.w.) telah tunjukkan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.