collections khutbah Islam dan Adab Bertetangga
Islam dan Adab Bertetangga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 Oktober 2026 / 5 Jamadilawal 1448H

Islam dan Adab Bertetangga

 

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang istiqamah. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Salah satu ajaran Rasulullah s.a.w. adalah keprihatinan terhadap jiran tetangga. Baginda s.a.w. pernah bersabda: “Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran, sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan diberikan hak untuk mewarisi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mengapakah kita perlu berbuat baik kepada jiran kita? Mengapakah Allah menjadikannya sebagai salah satu tanda keimanan? Allah s.w.t. berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 36:

Yang bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat, dan jiran yang jauh...”

 

Jemaah yang dikasihi sekalian,

Allah menciptakan manusia untuk hidup bersama. Selain daripada keluarga, siapakah yang hidup paling dekat dengan kita? Itulah jiran kita. Allah s.w.t. maha mengetahui apa yang menyuburkan hati kita dan apa yang menyatukan insan. Dengan hikmah-Nya, Allah s.w.t. menjadikan hak tetangga dan layanan yang baik terhadap jiran sebagai tanda keimanan, yang menyatukan hati kita dan menjadikan hidup lebih bermakna.

Dalam hidup berjiran, kita dapat melihat diri satu sama lain yang sebenar. Tetangga kita dapat melihat kita keluar dan pulang ke rumah. Mereka mendengar cara kita bertutur dengan keluarga, dan mereka dapat memerhati bagaimana kita menangani cabaran dan ujian.

Oleh itu, akhlak yang kita paparkan menggambarkan ajaran Islam kepada tetangga kita. Mereka mungkin tidak mempelajarinya daripada ceramah agama, tetapi melalui nilai dan adab yang kita pamerkan dalam kehidupan seharian.

 

Jemaah yang dirahmati sekalian,

Bagaimanakah kita dapat menjadi jiran yang baik? Perhatikan tiga cara mudah berpaksikan ajaran Nabi Muhammad s.a.w.:

 

Pertama: Ambil tahu tentang mereka

Menjadi jiran yang baik bermula dengan mengiktiraf kehadiran mereka. Apabila bertemu, senyumlah dan sapalah dengan ucapan mudah. Ini sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. yang menganjurkan agar kita memulakan langkah bertegur sapa dan menyebarkan ucapan salam, agar bertaut kasih sayang.

 

Kedua: Berkongsi makanan kita dengan mereka

Rasulullah s.a.w. juga pernah berpesan: “Apabila engkau memasak kuah, perbanyakkanlah airnya, dan berikanlah sebahagian daripadanya kepada jiran-jiranmu.” (Riwayat Muslim) Perhatikan, saudara. Yang dinilai bukanlah jenis makanannya mahupun jumlah hidangannya, tetapi niat dan ingatan di sebalik setiap perbuatan kita terhadap jiran tetangga.

 

Ketiga: Hulurkan bantuan apabila mereka memerlukannya

Selain keluarga, jiran adalah orang pertama yang membantu dan sepatutnya dibantu. Apabila seseorang ditimpa kesusahan, bantuan dari luar mungkin memakan masa, tetapi jiran ada bersiap siaga. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak sempurna iman seseorang yang kenyang, sedangkan jirannya kelaparan.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Renungkan, saudara. Adakah kita sanggup hidup dalam kesenangan, sedangkan jiran tetangga kita dibiarkan dalam kesusahan? Atau, adakah ini ruang yang boleh kita perbaiki sebagai menyahut seruan iman?

 

Jemaah sekalian,

Kita boleh memilih siapa yang diundang masuk ke rumah kita. Namun, kita tidak dapat memilih siapakah jiran tetangga kita. Inilah ketentuan Allah, dan Islam telah meletakkan hak buat insan yang bergelar jiran ini.

Oleh itu, jagalah hak tetangga dengan sebaiknya. Semoga Allah s.w.t. terus menjaga hubungan kita dan mengurniakan kita keharmonian dan kasih sayang. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

 

Khutbah Kedua​​​​​​​