collections khutbah Islam & Kesejahteraan Diri
Islam & Kesejahteraan Diri

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

9 Oktober 2026 / 27 Rabiulakhir 1448H

Islam & Kesejahteraan Diri

 

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Sidang Jumaat sekalian,

Pepatah Arab menyatakan: “Seseorang yang tidak memiliki sesuatu perkara, tidak (akan mampu) memberikan perkara tersebut.” Sebuah bekas yang kering lagi kosong tidak boleh mencurahkan air ke dalam bekas yang lain.

Begitulah juga dengan hati kita. Jika jiwa kita sendiri sedang dilanda kegersangan, tidak mungkin dapat kita curahkan kedamaian, kehalusan dan ketulusan kasih sayang kepada insan di sekeliling kita. Hakikatnya, kehidupan yang serba pantas kerap memaksa diri sentiasa kelihatan bertenaga, sehingga kadangkala kita terpaksa mengetepikan dan mengabaikan keletihan emosi atau burnout.

 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Emosi seperti kelesuan mahupun kesedihan bukanlah tanda kelemahan iman. Al-Quran merakamkan bahawa para nabi turut melalui pasang surut emosi, daripada kepiluan Nabi Muhammad s.a.w. apabila dicerca kaumnya, kepada perasaan cemas Nabi Musa a.s. ketika berdepan ahli sihir Firaun. Perhatikan firman Allah s.w.t. dalam Surah Taha, ayat 67-68:

Yang bermaksud: "Maka (yang demikian menjadikan) Musa (a.s.) merasa takut dalam hatinya. Kami berfirman kepadanya: ‘Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi (mengatasi mereka dengan kemenangan).’"​​​​​​​

Renungkan saudara, bahawa Allah s.w.t. mengiktiraf perasaan gementar tersebut. Kemudian, Allah s.w.t. memberikan suntikan ketenangan pada ayat yang berikutnya. Oleh itu, kita tidak wajar terus memendam dan menafikan emosi yang dialami, sehingga jiwa kita menjadi tertekan dan tandus, kerana pasang surut emosi itu adalah fitrah manusiawi yang diiktiraf oleh Allah s.w.t.

 

Saudaraku yang dimuliakan,​​​​​​​

Islam prihatin terhadap penjagaan kesejahteraan diri. Ia bukanlah bererti kita mementingkan diri sendiri, bahkan ianya adalah asas untuk kita terus saling menyantuni. Di sini, mimbar mengusulkan dua langkah dalam menjaga kesejahteraan diri sendiri dan juga sesama kita:

Pertama: Titik sempadan yang menjaga hak tubuh badan​​​​​​​

Di sebalik kemajuan yang kita nikmati pada hari ini, terdapat juga cabaran dalam menjaga sempadan yang sihat antara ruang kerja dan ruang rehat. Maklumat dan notifikasi sering menjengah di mana sahaja kita berada. Namun, usahlah kita biarkan tugasan menceroboh waktu rehat dan ruang privasi sehingga kita gagal untuk hadir sepenuhnya bersama orang tersayang.

Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak ke atas dirimu, matamu mempunyai hak ke atas dirimu, dan pasanganmu juga mempunyai hak ke atas dirimu.” (Riwayat Al-Bukhari) Inilah tuntutan syariat agar kita kekal sejahtera.

 

Kedua: Latih diri untuk hadir dan sedia mendengar​​​​​​​

Sebagai masyarakat yang sering memberi penekanan kepada impak dan hasil, kadangkala kita terburu-buru memberi nasihat atau solusi. Namun, kita mungkin terlepas peluang membina jambatan emosi yang mampu melahirkan ketenteraman yang lebih bermakna.

Lihat sahaja reaksi Sayyidatina Khadijah r.a. apabila Rasulullah s.a.w. pulang dalam keadaan gementar dan ketakutan selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira. Beliau tidak membalas dengan terus menawarkan solusi, tetapi terlebih dahulu menghadirkan diri dengan penuh kasih sayang apabila Baginda s.a.w. meminta agar dirinya diselimuti. Beginilah contoh terbaik dalam langkah kita memberi respon terhadap isu yang melibatkan tekanan emosi.

 

Saudara yang dirahmati Allah,​​​​​​​

Bersamalah kita memelihara kesejahteraan minda dan tubuh badan, bermula dengan diri sendiri, disusuli dengan insan yang terdekat seperti keluarga, rakan dan tetangga. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita ketenangan serta memelihara kita semua di bawah naungan-Nya sentiasa. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

 

 

Khutbah Kedua​​​​​​​