collections khutbah Israk dan Mikraj – Iktibar Tentang Masa
Israk dan Mikraj – Iktibar Tentang Masa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 Januari 2026 / 26 Rejab 1447H

Israk dan Mikraj – Iktibar Tentang Masa

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Taati setiap perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Bukalah mata hati kita kepada tanda-tanda kebesaran-Nya. Semoga iman sentiasa terpahat dalam hati kita hingga ke penghujung usia. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khutbah Jumaat lepas telah membincangkan tentang pentingnya menghayati sirah Rasulullah s.a.w. Sebagai lanjutan, khutbah minggu ini pula mengajak kita bersama meneliti peristiwa Israk dan Mikraj – salah satu peristiwa agung yang dirakamkan dalam sirah Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. telah merakamkan peristiwa ini dalam ayat pertama Surah Al-Isra’:

Yang bermaksud: “Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Hadirin sekalian, mukjizat yang berlaku pada Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan tersebut adalah sesuatu yang tidak mudah diterima akal. Sehinggakan, terdapat segelintir manusia ketika itu berpaling dan menolak kebenarannya.

Perjalanan darat yang melebihi jarak 1500 kilometer disempurnakan dalam masa semalaman. Kemudian, Baginda s.a.w. diangkat ke Sidratul Muntaha, menembusi tujuh lapisan langit, bertemu dengan para nabi dan rasul yang terdahulu, menerima amanah solat lima waktu secara langsung daripada Allah dan seterusnya kembali ke Makkah.

Hadirin yang dimuliakan,

Antara sebab mengapa peristiwa Israk dan Mikraj ini sukar diterima oleh sebahagian manusia pada ketika itu, selain daripada faktor jarak perjalanan yang terlalu jauh, adalah faktor masa.

Namun, walaupun masa perjalanan tersebut dianggap mustahil pada perkiraan manusia, ia tidak mustahil bagi Allah ‘azza wa jalla. Itulah hakikat sebuah mukjizat – ia membuktikan keterbatasan akal manusia, sekaligus mempamerkan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t. Oleh yang demikian, ayat tersebut dimulakan dengan lafaz “Subhana”, bererti Maha Suci dan Maha Agung Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Antara iktibar yang kita perolehi daripada peristiwa Israk dan Mikraj adalah tentang kepentingan nilai masa. Satu malam yang biasa bagi setiap insan yang lain, berehat dan tidur dengan lena, namun buat Rasulullah s.a.w., ia adalah malam yang amat luar biasa. Satu malam yang melahirkan seribu pengertian dan pedoman, menjadi titipan buat kita hingga ke akhir masa.

Dalam kita memperingati peristiwa Israk dan Mikraj ini, mimbar mengajak kita semua merenungkan dua perkara tentang nilai masa sebagai peringatan bersama:

Pertama: Setiap insan diberikan nikmat masa yang sama, namun nilainya bergantung pada penggunaannya.

Saudara, Islam memberikan kepentingan kepada nilai masa. Allah bersumpah dengan pelbagai bentuk masa dalam Al-Quran. Ini termasuk lafaz: Wal-‘Asr, Wal-Fajr, Wad-Dhuha, Wal-Lail, dan seumpamanya. Hakikatnya, ia mengingatkan kita bahawa masa adalah nikmat yang amat berharga.

“Cepatnya masa berlalu!”, “Sekejapnya dah nak masuk Ramadan!” Itulah antara ucapan yang sering kita dengar. Tanpa disedari, memori yang kita rasakan masih segar pada hari ini, rupanya sudah setahun atau sedekad berlalu.

Benar sidang hadirin sekalian, setiap insan diberikan nikmat masa yang sama: dua puluh empat jam sehari. Tetapi nilainya berbeza antara setiap individu, kerana cara mereka mengurus masa juga berbeza.

Sebagai contoh, dalam persiapan kita menuju Ramadan, adakah kita mencari masa untuk mengulangkaji hafalan atau memperkemas bacaan Al-Quran? Atau kita masih melengahkan dengan alasan “nanti boleh buat”? Fikirkanlah.

Apabila setiap perkara dilakukan dengan penuh kesedaran akan nilai masa, ia mampu menghasilkan perubahan besar dalam jangka panjang.

Kedua: Usah mengeluh terhadap yang lampau, tetapi manfaatkan masa yang masih tersedia dengan sebaiknya.

Masa yang telah berlalu tidak mungkin kembali. Tetapi masa yang masih ada di hadapan kita adalah peluang untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Oleh itu, aturlah masa kita dengan  sebaiknya. Dan masa adalah nikmat atau sumber (resource) yang amat bernilai dan berguna sekiranya kita bijak menguruskannya.

Renungkan pula bagaimana kita menggunakan masa di alam maya. Hari ini, kita meluangkan banyak masa di media sosial.

Tanyakan kepada diri: Adakah ia menambah nilai kepada iman dan kehidupan kita? Atau mungkin sahaja ia sekadar menjadi hiburan yang membawa kepada ketandusan jiwa?

Saudara yang dirahmati Allah,

Dalam Surah Ibrahim, ayat 24 hingga ayat 25, Allah memberikan satu perumpamaan tentang perbuatan baik dan hubungannya dengan masa, di mana ia membawa maksud bahawa: Setiap kebaikan adalah ibarat pohon yang baik. Ia menumbuhkan hasil pada setiap masa. Kebaikan yang kita tanam pada hari ini, walaupun kecil, namun kita berharap akan terus melahirkan manfaat sepanjang masa.

Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang menghargai masa agar memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanpa kita sedari, sudah hampir 3 tahun saudara-saudara kita di Gaza menderita di bawah cengkaman kezaliman. Walaupun dipisahkan jarak, kita masih boleh lagi membantu mereka melalui doa dan usaha kita bersama.

Baru-baru ini, Yayasan Rahmatan Lil Alamin melancarkan kempen “Bantuan Untuk Gaza” bagi membantu masyarakat di sana. Kempen ini, yang akan berterusan hingga 31 Mac tahun ini, bertujuan membangunkan fasiliti asas seperti pusat teduhan, klinik, serta dapur masyarakat.

Ayuh, kita hulurkan bantuan mengikut kemampuan sebagai tanda rahmah dan ihsan. Semoga Allah mengangkat setiap penderitaan dan memulihkan kesejahteraan bagi kita semua. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.