collections khutbah Istita’ah dalam ibadah
Istita’ah dalam ibadah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

22 Mei 2026 / 5 Zulhijjah 1447H

Istita’ah Dalam Ibadah

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita dan sekalian jemaah haji istita’ah – iaitu kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan tuntutan Islam dengan sebaik mungkin dan diterima ibadat serta amal soleh kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286:

Yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya…”

Saudara, lazimnya, ayat ini dikaitkan dengan konteks ujian kehidupan; iaitu Allah tidak membebani kita dengan sesuatu ujian melainkan kita mampu memikulnya. Ini adalah pendekatan yang memfokuskan pada pendidikan rohani.

Pada masa yang sama, para ulama tafsir terdahulu seperti Imam Al-Qurtubi dan Imam At-Tabari berpandangan bahawa ayat ini merujuk kepada kemampuan seseorang melaksanakan sesuatu ibadah yang disyariatkan. Kemampuan inilah yang dirujuk sebagai istita’ah dalam urusan ibadah.

Saudara-saudara sekalian,

Konsep istita’ah yakni berkemampuan atau berupaya itu terkandung dalam setiap rukun Islam selepas dua kalimah syahadah. Sebagai contoh, kita diharuskan solat dalam keadaan duduk sekiranya tidak mampu untuk berdiri. Dalam ibadah puasa, seorang yang sakit dikecualikan daripada berpuasa.

Ibadah zakat pula hanya diwajibkan ke atas mereka yang mempunyai kemampuan dan menepati syarat-syarat haul dan nisab zakat. Manakala dalam ibadah haji – ia hanya diwajibkan apabila seseorang memenuhi keupayaan fizikal, mental, kewangan dan pengurusan perjalanan.

Semua ini menunjukkan bahawa rukun-rukun Islam memudahkan kita untuk beribadah. Tidakkah ini menjadi bukti keluasan rahmat Allah s.w.t.?

Saudaraku, Allah s.w.t. mengingatkan kita tentang keterbatasan manusia dan keluasan rahmat-Nya dalam Surah An-Nisa’, ayat 28:

Yang bermaksud: “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu; dan manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.”

Saudara yang dikasihi sekalian,

Apabila kita berdepan dengan kesukaran mengerjakan ibadah kerana tiada atau kehilangan kemampuan (istita’ah), penting untuk kita mengingati tiga perkara berikut:

Pertama: Istita’ah adalah sebahagian daripada ketentuan Allah

Seseorang boleh kehilangan keupayaan fizikal, kestabilan kewangan atau kemampuan mental pada bila-bila masa.

Sekiranya berdepan dengan ujian ini, yakinlah bahawa kehilangan istita’ah juga adalah ketentuan Allah. Seorang mukmin tidak menghadapi ketentuan Allah dengan rasa tidak puas hati, sebaliknya dengan sabar, mensyukuri nikmat keupayaan yang pernah dan masih dimiliki, serta memperbanyak doa dengan penuh keikhlasan.

Kedua: Kekurangan istita’ah tidak bermakna kekurangan peluang beramal

Kehilangan kemampuan untuk melakukan sebahagian ibadah tidak bermakna seseorang tidak dapat mendekatkan diri kepada Allah. Manakala mempunyai kemampuan tidak semestinya bererti seseorang berada begitu dekat dengan Allah.

Contohnya, seseorang yang tidak mampu melakukan ibadah korban kerana faktor kewangan tidak bermakna peluang pahala terlepas daripada jangkauannya. Kemungkinan sifat sabar, syukur dan keikhlasannya dalam ibadah lain tidak kurang hebatnya pada pandangan Allah s.w.t.

Ketiga: Kekurangan istita’ah bukan bermakna kurangnya kasih sayang Allah

Ada yang mungkin merasakan dirinya kurang dicintai Allah apabila dibandingkan kemampuan diri sendiri dengan orang lain. Keterbatasan dalam ibadah, seperti hilang keupayaan fizikal untuk mengerjakan haji setelah giliran yang dinanti-nantikan tiba, kadangkala dikaitkan dengan tanda hilangnya kasih sayang Allah. Wal ‘iyazu Billah. Kefahaman sebegini sama sekali tidak tepat.

Dalam situasi ini, yakinlah bahawa hanya Allah yang mengetahui hikmahnya. Barangkali ia berlaku untuk menyucikan hati, memperingat kealpaan yang tidak disedari atau mempersiapkan jiwa sebelum lebih banyak pintu rahmat dibuka. Seandainya kita tidak mampu memahami hikmahnya, yakinlah bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Semua ini pada hakikatnya adalah tanda kasih sayang Allah yang sangat indah kepada kita.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Bersesuaian dengan tibanya musim haji, mimbar ingin mengingatkan bahawa ibadah haji hanya diwajibkan kepada mereka yang memiliki istita’ah, yakni kemampuan dari segi fizikal, kewangan, mental dan juga pengurusan.

Sesungguhnya ibadah haji itu pada hakikatnya adalah undangan daripada Allah. Sekiranya undangan tersebut masih belum kelihatan, janganlah kita berputus asa daripada rahmat Allah. Janganlah pula kita bersangka buruk pada-Nya. Ingatlah pada sepotong hadis qudsi yang bermaksud: “Aku (Allah) sebagaimana sangkaan hamba-Ku pada-Ku, dan aku bersamanya ketika dia mengingati Aku” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Saudara sekalian,

Sebagai penutup, marilah kita panjatkan doa kepada Allah agar sentiasa diberikan peluang dan istita’ah yakni kemampuan untuk beribadah dan melakukan kebaikan dengan semampunya dan sebaiknya. Pada masa yang sama, hulurkanlah juga doa agar jemaah haji di tanah suci sentiasa berada di dalam naungan Allah dan dijauhkan dari sebarang kegenjotan mahupun keburukan. Akhir sekali, berdoalah juga kepada Allah ‘Azza wa Jalla agar kita juga diberikan istita’ah untuk menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci satu masa nanti. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua