collections khutbah Ithar – Kemuncak sifat berjiwa besar
Ithar – Kemuncak sifat berjiwa besar

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 April 2026 / 21 Syawal 1447H

Ithar – Kemuncak Sifat Berjiwa Besar

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita beristiqamah dalam ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Semoga ketakwaan membimbing niat, tutur kata dan perbuatan kita ke arah kemuliaan dan kecemerlangan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Apakah erti ithar? Ithar ialah sifat berjiwa besar, mendahulukan keperluan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Ia merupakan kemuncak kemurahan hati, memberi walaupun diri sendiri dalam keadaan memerlukan. Sifat ini kian terhakis dalam dunia yang sering mengutamakan kepentingan diri. Mujurlah Islam, agama yang kita anuti ini mengajarkan nilai ithar, nilai yang lebih mulia dan menjadi pakaian mukmin sejati sebagaimana dirakamkan dalam Surah al-Hashr, ayat 9:

Yang bermaksud: “Dan mereka (Ansar) yang telah mendiami kota tersebut (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (golongan Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Mereka tidak menaruh keinginan dalam hati terhadap apa yang diberikan (kepada golongan Muhajirin), bahkan mereka mengutamakan (golongan Muhajirin) atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang dipelihara daripada sifat bakhil dirinya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Allah memuliakan golongan Ansar yang berjaya mencapai kemuncak ithar. Kenapa demikian? Kerana golongan Ansar sentiasa memberikan keutamaan kepada golongan Muhajirin dalam banyak perkara, walaupun mereka sendiri dalam keadaan daif dan memerlukan. Mereka bukan sahaja menawarkan tempat tinggal, bahkan berkongsi harta, rumah, makanan, tanah dan sumber kehidupan. Inilah sifat tidak mementingkan diri yang lahir daripada iman yang tulus dan kasih kerana Allah – sifat yang begitu mulia sehingga dirakamkan dalam Al-Quran. Persoalannya sekarang, bagaimanakah caranya agar kita juga boleh mencapai tahap kemuliaan ini?

Sidang hadirin sekalian,

Khutbah hari ini ingin menggariskan tiga panduan dalam menghayati ithar.

Pertama: Ithar bermula dengan menyuburkan empati

Ithar lahir daripada keupayaan merasai keadaan orang lain – memahami kesusahan dan keperluan mereka seolah-olah ia adalah keperluan kita sendiri. Apabila hati dipenuhi empati, sifat ithar akan hadir dengan sendirinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila kita mula memikirkan situasi orang lain, kita menginginkan kebaikan, kemudahan dan keberkatan buat mereka sebagaimana kita inginkan untuk diri kita sendiri – di situlah bermulanya ithar.

Kedua: Mulakan ithar di rumah, kemudian luaskan kepada masyarakat

Tempat pertama dan utama untuk mengamalkan ithar ialah dalam keluarga. Di sinilah hubungan paling mencabar, tetapi juga paling besar ganjarannya. Akhlak sebenar terserlah melalui

cara kita menyantuni orang yang terdekat.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku.” (Riwayat Ibn Majah)

Ithar dalam keluarga boleh dizahirkan melalui amalan harian.

Contohnya, dalam suasana Syawal ini, mungkin kita menawarkan hidangan kegemaran kita kepada anak-anak kecil yang ingin mencuba untuk pertama kalinya. Begitu juga sifat ringan tulang, bersedia membantu kerja rumah walaupun kita sendiri dalam keletihan, atau kesediaan mendengar luahan hati ahli keluarga walaupun dilanda kesibukan.

Ithar tidak berhenti di rumah. Pengamalannya perlu diluaskan sehingga menjadi norma masyarakat. Sebagaimana kita mengutamakan keluarga, kita juga perlu berusaha memudahkan jiran, rakan sekerja dan anggota masyarakat.

Contohnya, apabila kita menemui tempat letak kereta, tetapi terlihat pula warga emas atau ibu bapa dengan anak kecil sedang mencarinya. Secara spontan, sifat ithar akan memilih untuk memberikan ruang tersebut kepada mereka yang lebih memerlukan. Ithar bererti mengutamakan keperluan mereka berbanding keselesaan kita, walaupun ini bermakna kita perlu berjalan lebih jauh. Pengorbanan yang nampak kecil ini adalah besar di sisi Allah.

Ithar juga menuntut kita melakukan perkara yang betul.

Contohnya, meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan, tidak menyusahkan orang lain dengan menghalang laluan atau mengambil hak mereka. Memilih untuk berjalan sedikit jauh demi mengelakkan kesulitan kepada orang lain juga adalah tanda keprihatinan dan kawalan diri.

Ketiga: Ikhlaskan niat dalam ithar

Cabaran terbesar ithar bukan pada sesuatu perbuatan, tetapi pada keikhlasan di sebalik perbuatan tersebut. Cabaran ini boleh bertambah berat lagi apabila sifat ithar kita tidak dihargai atau tidak dibalas dengan sewajarnya. Di sinilah syaitan akan membisikkan rasa ketidakpuasan hati!

Tuan-tuan, perhatikan firman Allah s.w.t. menggambarkan sikap orang yang ikhlas dalam Surah al-Insan, ayat 9, yang bermaksud: “Sesungguhnya kami memberi kamu makan kerana Allah. Kami tidak mengharapkan daripada kamu sebarang balasan atau ucapan terima kasih.”

Inilah sikap yang perlu kita tanam. Bersikap ithar kerana Allah semata-mata, tanpa mengharapkan penghargaan manusia.

Sama ada dalam keluarga atau masyarakat – walaupun tidak dihargai – ia tidak seharusnya melemahkan semangat kita. Niat kita mesti kekal tulus, hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah s.w.t.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita melatih diri untuk memberi dengan ikhlas, mendahulukan orang lain kerana Allah, serta mengamalkan ithar dalam kehidupan dan kita mulakan di dalam keluarga masing-masing. Semoga kita terus menemukan ketenangan, sama ada usaha kita dihargai atau tidak.

Mudah-mudahan Allah menjadikan kita dalam kalangan mereka yang berkata: “Kami memberi kerana Allah,” dan mengurniakan ganjaran atas usaha kita dalam menghayati sifat ithar. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua