

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
12 Disember 2025 / 21 Jamadilakhir 1447H
Jalinan yang Menjana Ketenangan

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Hiasilah diri kita dengan iman kepada Allah dan akhlak murni terhadap sekalian makhluknya. Berikan hak dan laksanakan tanggungjawab kita kepada mereka yang selayaknya. Semoga Allah s.w.t. terus memberikan kita ketenangan dan ketetapan iman sehingga ke penghujung nyawa. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bagi ramai antara kita, penghujung tahun ini adalah masa untuk kita merehatkan diri, badan dan fikiran. Setelah bertungkus lumus sepanjang tahun dengan tugasan, pembelajaran dan sebagainya, kadangkala kita terlepas pandang dan kurang memberi tumpuan terhadap kebajikan serta maslahat diri kita sendiri.
Apabila kita dapat berehat sejenak, meniti hari dengan lebih santai, tanpa kerisauan kerana dikejar rutin harian, insya-Allah kita akan bangkit lebih segar dan dapat melakukan setiap perkara dengan lebih peka dan penuh penghayatan. Dalam urusan dunia, kita akan lebih tenang, lebih memberikan tumpuan pada kesihatan, kebajikan diri, ketenangan minda dan seterusnya.
Dalam urusan akhirat pula, solat dan semua ibadah yang kita kerjakan akan terasa lebih manis dan bermakna, lantas ia lebih berkesan dalam memberikan kita ketenangan yang sewajarnya sebagai orang beriman. Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman, dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:

Yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah (zikrullah). Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
Saudara yang dirahmati Allah,
Benar, kita harap bahawa kesibukan kita selama ini telah dicurahkan ke arah kebaikan. Semoga ia diterima di sisi Tuhan. Namun, ada kalanya, kita juga perlu untuk memberi hak kepada diri kita untuk keluar sejenak dari kesibukan tersebut, demi kebaikan diri kita dan kebajikan orang-orang yang kita kasihi. Apakah sandaran kata-kata saya ini?
Izinkan saya berkongsi sepotong hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim dalam hal ini. Sila amati kisah berikut:
Pada zaman Rasulullah s.a.w., terdapat seorang wanita yang berbicara tentang keadaan suaminya. Suaminya adalah seorang yang baik, begitu rajin dan sungguh-sungguh dalam melakukan amal soleh. Beliau berpuasa setiap hari tanpa putus dan menghabiskan setiap malam dengan ibadah qiamullail. Namun, disebabkan kesungguhannya itu, beliau tidak pernah bersama dan bergaul dengan isterinya, sebagaimana kebiasaan dalam hubungan suami isteri.
Apabila perkara ini disampaikan kepada Rasulullah s.a.w., Baginda meminta penjelasan daripada lelaki itu. Lelaki tersebut mengesahkan kepada Nabi s.a.w. bahawa beliau berpuasa setiap hari dan berqiamullail setiap malam. Lalu apakah teguran Rasulullah s.a.w. kepada beliau? Baginda s.a.w. menyuruh beliau supaya merenggangkan hari puasanya dan berehat pada sesetengah malam.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, tubuhmu mempunyai hak ke atas dirimu. Matamu mempunyai hak ke atas dirimu. Dan isterimu juga mempunyai hak ke atas dirimu.”
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Jelas daripada hadis tadi bahawa menurut prinsip Islam, tidak menjadi sesuatu kesalahan, malah kadangkala menjadi keperluan dan besar manfaatnya, untuk kita mengurangkan dan mengatur kesibukan. Sejajar dengan ini, mimbar ingin menyarankan tiga hubungan atau jalinan yang wajar diberi tumpuan, terutama di kala kita ambil masa merehatkan diri di penghujung tahun ini:
Pertama: Jalinan kita dengan Allah s.w.t.
Dalam kesibukan kita, ada kalanya hubungan kita dengan Allah s.w.t. menjadi renggang, tanpa disedari. Contohnya, kita menjaga solat, tetapi kita solat dengan seringkas mungkin, kurang khusyuk dan bergegas kembali kepada pekerjaan dan tugas masing-masing. Pada musim cuti ini, perlahankanlah solat dengan penuh tumakninah. Hayati setiap takbir, bacaan dan doa yang kita lafazkan dalam solat. Jadikan ia detik untuk menghadirkan hati, bukan sekadar menyempurnakan tuntutan.
Jika sepanjang tahun kita kurang membaca Al-Quran atau beramal, gunakanlah masa ini untuk menjalin semula hubungan kerohanian. Mulakan dengan amalan sunnah yang ringan, seperti Solat Dhuha, memperbanyakkan selawat dan berzikir apabila mengembara dan mengagumi bumi ciptaan Ilahi. Lakukanlah mengikut kadar kemampuan. Ingatlah, yang lebih utama bukanlah bilangan atau kuantiti, tetapi mutu atau kualiti dalam setiap amalan.
Kedua: Menjaga kebajikan diri sendiri
Saudara, selain hubungan kita dengan Allah s.w.t., kita juga perlu memberi perhatian kepada kebajikan diri sendiri, seperti yang disebutkan dalam hadis tadi.
Kadangkala kita terlalu sibuk mengejar tugasan dan tanggungjawab sepanjang tahun, sehingga kita sendiri tidak sempat berhenti dan bertanya: Apakah yang kita sendiri perlukan? Apakah perkara yang telah lama diabaikan?
Setiap daripada kita mempunyai cabaran berbeza. Ada yang bergelut dengan tekanan kerja mahupun tugasan akademik yang berat, sehingga menjejas kesihatan mental dan emosi.
Memberi tumpuan kepada keadaan diri sendiri bukan tanda kelemahan. Bahkan, ia tanda kesedaran bahawa tubuh dan jiwa ini adalah amanah yang perlu dipelihara. Gunakanlah waktu ini untuk memperbaiki semangat dalaman, memulihkan tenaga dan mengembalikan ketenangan jiwa. Ini kerana seorang mukmin yang sentiasa segar dan kuat jasad, emosi dan fikirannya akan lebih mampu berkhidmat kepada agama, masyarakat dan dirinya sendiri.
Ketiga: Jalinan dengan keluarga dan orang tersayang
Dalam kesibukan kita sepanjang tahun, masa dengan keluarga sering mudah terkorban. Sedangkan keluarga adalah asas kehidupan dan kesejahteraan.
Pada waktu ini, fikirkan bagaimana kita boleh merapatkan semula hubungan dengan keluarga. Luangkan masa untuk bertanya khabar, melakukan aktiviti bersama dan menghadirkan diri dengan sepenuh perhatian. Masa ini boleh menjadi titik permulaan untuk menghidupkan kembali suasana kasih sayang dan kemesraan. Jadikanlah keluarga sebagai medan pertama kita menzahirkan akhlak mulia, kesabaran dan kebaikan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Penghujung tahun ini ialah ruang untuk kita berhenti sejenak dan mengembalikan ketenangan. Perkukuhkanlah hubungan kita dengan Allah s.w.t., jaga kebajikan diri dan dekatkan semula hubungan dengan keluarga dan insan tersayang.
Semoga dengan kita memanfaatkan masa ini sepenuhnya, Allah s.w.t. menyuburkan iman kita, menenangkan jiwa kita, dan membuka pintu kebaikan dan keberkatan dalam kehidupan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

