collections khutbah  Ke Arah Kelestarian Alam Sekitar
 Ke Arah Kelestarian Alam Sekitar

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 Mei 2022 / 18 Syawal 1443H


 Ke Arah Kelestarian Alam Sekitar

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan gigih dalam menjalani tanggungjawab sebagai hamba Allah. Amin.

Saudara dan saudari,

Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita memikul amanah terhadap alam sekitar yang merupakan sebahagian dari kurniaan Tuhan yang sering kita nikmati. Ini termasuk cara penggunaan yang baik yang memberi kesan positif pada diri sendiri, orang lain dan persekitaran kita. Seperkara ini, Nabi (s.a.w.) telah bersabda:

لاَ يَغْرِسُ رَجُلٌ مُسْلِمٌ غَرْسًا وَلاَ زَرْعًا فَيَأْكُلَ مِنْهُ سَبُعٌ أَوْ طَائِرٌ أَوْ شَىْءٌ إِلاَّ كَانَ لَهُ فِيهِ أَجْرٌ

Yang bermaksud: “Tidaklah seorang muslim menanam tanaman kemudian sebahagian dari pohon itu dimakan binatang, burung atau yang lainnya, melainkan ia memperolehi pahala.” [Hadis riwayat Imam Muslim]

Saudara dan saudari,

Beginilah gaya hidup kelestarian yang digalakkan oleh agama. Iaitu sebagai muslim, kita berusaha memastikan alam ini terjaga dengan baik hingga dapat memanfaatkan manusia dan makhluk ciptaan Allah (s.w.t.) yang lain. Amalan terpuji ini pastinya mendatangkan pahala kepada dirinya. Kerana kita berikhtiar untuk memastikan bumi ini selamat dari sebarang pencemaran dan kerosakan. Usaha ini seiring dengan apa yang diperintah Allah (s.w.t.) di dalam al-Quran:

Yang bermaksud: “..dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” [Al-Qasas: 77]

 

Saudara dan saudari,

Sebagai manusia, kita sering leka untuk melestarikan nikmat Tuhan lebih-lebih lagi apabila kita tidak menghadapi sebarang kesusahan dan kesulitan. Ditambah pula jika kita tidak merasakan atau melihat sebarang kesan positif bagi usaha baik yang boleh dilakukan seperti berjimat dalam penggunaan air.

Sebagai contoh, kita boleh mengambil pelajaran dari sebuah hadis riwayat Ibnu Majah bahawa Nabi (s.a.w.) pernah memberitahu bahawa pembaziran boleh berlaku dalam berwuduk walaupun diambil dari sungai yang mengalir. Jika diperhatikan, impaknya dapat dilihat apabila ia dilakukan oleh ramai orang dan dalam jangka masa yang panjang. Dari itu, jangan sekali-kali kita memandang rendah terhadap usaha persendirian yang kita laksanakan dalam menjaga alam serta sumber yang ada. Kerana bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit. Kerana sekiranya usaha ini dipandang remeh, maka berlakulah implikasi buruk disebabkan kelalaian atau kurang bertanggungjawab terhadap penjagaan alam ini.

Saudara dan saudari,


Kita perlu prihatin dan mengetahui cara penjagaan alam dengan baik. Di samping penggunaan air, segala jenis barangan dan makanan yang diambil juga perlu diperhatikan. Jika tidak diurus dengan sewajarnya, ia boleh menyebabkan pembaziran yang dilarang agama. Allah (s.w.t.) berfirman di dalam al-Quran:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” [Al-Isra’: 27]

Kita juga mungkin telah menyaksikan atau mengetahui betapa besarnya kesan-kesan yang berlaku apabila penjagaan nikmat Tuhan ini diabaikan. Pembaziran telah memberi kesan kepada perubahan iklim.

Oleh itu, marilah kita berusaha sebaiknya dengan menggunakan hanya apa yang kita perlu dalam rutin seharian kita. Kitar semula apa yang masih boleh dimanfaatkan, serta berjimat cermat dengan kelebihan nikmat yang Allah (s.w.t.) kurniakan.

Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang memelihara bumi Allah ini dengan penuh amanah agar dapat menimbulkan kemakmuran di dalamnya bagi umat manusia hari ini dan akan datang. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.