collections khutbah Kehidupan Dunia: Medan Ujian Untuk Manusia
Kehidupan Dunia: Medan Ujian Untuk Manusia

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Aidilfitri

21 Mac 2026 / 1 Syawal 1447H

Kehidupan Dunia: Medan Ujian Untuk Manusia

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Pada pagi yang penuh barakah ini, kita berkumpul untuk meraikan kejayaan mempertingkatkan ketakwaan menerusi amal ibadah sepanjang bulan Ramadan. Kita bersyukur kepada Allah s.w.t. atas pelbagai nikmat yang dikurniakan, terutama sekali nikmat keimanan yang terasa segar semula atas curahan rahmat dan kasih sayang-Nya sepanjang Ramadan.

Alhamdulillah! Kita telah dapat menyaksikan masjid-masjid dimakmurkan dan dipenuhi jemaah dari segenap lapisan – dari yang kecil mahupun dewasa, lelaki dan wanita, ramai yang berlumba-lumba mengejar rahmat Allah s.w.t. Wadah media sarat dengan pengisian agama. Hubungan kita dengan Al-Quran terasa akrab semula, dan alunan bacaan serta perkongsian tadabbur Al-Quran menghidupkan jiwa dan deria.

Kita telah menzahirkan kebersamaan dalam menyiapkan dan berkongsi juadah berbuka, mendekati golongan yang berkeperluan, serta menghulurkan infak dan sumbangan. Tidak lupa juga, semangat golongan belia untuk sama terlibat – kesemua ini menimbulkan rasa optimis bahawa roh dan semangat agama terus mekar dalam masyarakat kita. Semoga dengan izin Allah, semangat ini akan terus terpelihara buat generasi-generasi yang seterusnya.

Jemaah yang dikasihi Allah,

Kejayaan kita menyempurnakan ibadah pada bulan Ramadan bukan hanya bergantung kepada usaha diri kita sendiri sahaja.

Sebaliknya, ia adalah atas rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. terhadap sekalian hamba-hambanya. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda, dalam sepotong hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim, bahawa tiada seseorang pun yang akan memasuki syurga disebabkan amalannya, melainkan kerana limpahan rahmat Allah s.w.t.?

Ayuh, pada pagi yang mulia ini, kita renungkan tanda-tanda rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. kepada kita. Renungkan setiap nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita walau pun tanpa kita minta. Allah s.w.t. telah mengurniakan kita nikmat iman dan Islam. Allah s.w.t. telah memberikan kita nikmat tenaga, kelapangan masa, kemurahan rezeki dan sebagainya.

Allah s.w.t. juga telah menganugerahkan kita nikmat ketenangan dan kesejahteraan, agar kita dapat menghidupkan agama dengan penuh kesungguhan. Kesemua ini adalah bukti rahmat dan cinta Allah s.w.t. terhadap kita. Lantas, bagaimanakah boleh kita cerminkan ketakwaan dan kesyukuran terhadap segala nikmat ini?

Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap perkara yang Allah s.w.t. tetapkan dalam kehidupan manusia – umurnya, rezekinya, agamanya – merupakan ujian dan tanggungjawab ke atas dirinya. Manusia dicipta supaya diuji, dan seluruh kehidupan adalah ujian. Firman-Nya dalam Surah Al-Mulk, ayat ke-2:

Yang bermaksud: “(Dialah) Yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya antara kamu, dan Dialah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Sidang Jemaah yang dikasihi,

Pada pagi ini, mimbar ingin berkongsi dua pengajaran utama berkaitan ujian kehidupan, agar kita dapat memahaminya dan menghadapinya dengan cara yang diredai Allah s.w.t.

Pertama: Setiap insan diuji dengan cara yang berbeza

Benar hadirin hadirat sekalian, kebelakangan ini sahaja, kita melihat bahawa di kalangan masyarakat Islam di merata dunia, ada yang menjalani ibadah Ramadan dalam suasana ketegangan dan ketakutan. Suasana yang biasanya meriah dan aman bertukar suram dan kesunyian.

Pastinya, kita juga terkesan dengan ujian yang sedang mereka hadapi. Kita berdoa agar Allah s.w.t. memelihara mereka yang tidak bersalah dan memulihkan keamanan. Kita juga terus yakin terhadap ketentuan Allah bahawa pasti terdapat hikmah di sebalik setiap kejadian.

Namun, sebagaimana kesusahan dan kemelaratan adalah ujiannikmat dan kesenangan juga merupakan ujian. Ada di kalangan manusia diuji dengan kesusahan dan kemelaratan.

Manakala yang lain pula diuji dengan kesenangan dan kemewahan. Oleh itu, sekiranya kita tidak menghadapi setiap kesusahan itu, jangan pula kita sangka bahawa Tuhan tidak menguji kita. Sebaliknya, jika kita hidup dalam suasana nikmat dan kesenangan, percayalah bahawa segala nikmat yang kita kecapi juga adalah satu bentuk ujian daripada Allah s.w.t.

Usahlah kita tertipu dengan menyangka bahawa nikmat dan kesenangan yang kita miliki bererti kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Yang menentukan darjat seseorang di sisi Allah, sama ada hidupnya dipenuhi kesenangan atau kesusahan, adalah takwa yang tersemat di dalam jiwa. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”

Saudara sekalian, alhamdulillah, kita adalah masyarakat yang telah dilimpahkan banyak nikmat oleh Allah s.w.t. Di saat insan lain menderita dan sengsara, kita masih lagi berteduh di bawah naungan keamanan dan kesejahteraan atas izin Allah s.w.t. Kita masih lagi mempunyai kelapangan dari segi kewangan. Kita masih lagi cukup dari segi bekalan dan keperluan. Kita masih boleh merancang dan memikirkan masa depan. Tahap pengajian terus semakin tinggi, dan kita terus menjalankan kehidupan beragama tanpa kerisauan tentang keselamatan diri.

Semua ini adalah nikmat yang besar dan dalam masa yang sama, ia juga adalah ujian yang akan dipertanggungjawabkan.

Kadangkala, bukan kesusahan yang melemahkan iman, tetapi keselesaan yang mudah melalaikan. Bukan kekurangan yang membuat kita semakin jauh, namun rasa cukup yang membuat kita semakin lupa.

Oleh itu, ayuh fikirkan: Apakah yang harus kita lakukan dengan semua nikmat yang Allah anugerahkan? Bagaimana dapat kita mencerminkan ketakwaan dan kesyukuran, sekaligus menghargai amanah yang telah Allah berikan? Terutama sekali, setelah melalui madrasah Ramadan, hendaklah kita terus bermuhasabah dan pastikan: Apakah nilai-nilai murni yang kita kecapi di bulan Ramadan yang perlu terus dihidupkan dalam menguruskan nikmat serta ujian yang Allah berikan?

Saudara saudari sekalian,

Ini membawa kita kepada pengajaran kedua iaitu: Reaksi terhadap ujian menentukan kejayaan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin; semua urusannya adalah baik baginya. Apabila dia mendapat kesenangan, ia bersyukur, itu baik baginya; dan apabila dia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga baik baginya (Riwayat Muslim) Hadis ini menitikberatkan reaksi seorang Mukmin ketika menghadapi kedua-dua bentuk ujian – apabila menerima nikmat dan berita gembira, atau ketika ditimpa musibah dan kecelakaan.

Apabila menghadapi ujian, seorang Muslim tidak akan berdiam diri, cepat berputus asa mahupun rasa cemas secara berlebihan dalam suasana ujian dan kegawatan. Dia terus menjaga hubungannya dengan manusia, mencari peluang untuk memperbaiki keadaan dan menabur ihsan. Dia terus meletakkan keyakinannya kepada Allah, memohon bantuan dan bimbingan-Nya, serta terus berusaha dan mengorak langkah, mempersiapkan diri untuk hari-hari yang akan datang.

Allah s.w.t. telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155:

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, serta kekurangan harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Ayat ini menjelaskan bahawa reaksi yang dituntut daripada orang Mukmin apabila menghadapi kesusahan adalah untuk bersabar. Seorang Mukmin tidak melihat ujian sebagai satu kegagalan. Sebaliknya, ujian dilihat sebagai satu peluang untuk meraih ganjaran daripada Allah s.w.t., serta cuitan agar kembali mendekatkan diri dan meletakkan pergantungan kepada-Nya.

Inilah kejayaan buat Mukmin yang ditimpa ujian dan kesusahan.

Mukminin dan mukminat sekalian,

Sebagai Muslim yang hidup dalam keadaan lebih baik, jika dibandingkan dengan sesetengah saudara kita di negara lain, adalah menjadi tanggungjawab kita menerima nikmat Allah s.w.t. dengan bersyukur. Para ulama menjelaskan bahawa syukur ke atas nikmat itu tidak terletak pada lidah sahaja.

Perhatikan huraian berikut:

Pertama, rasa syukur harus terbit dari hati yang yakin dan pasti bahawa setiap kelebihan dan nikmat datang daripada Allah. Hanya kepada-Nya kita meletakkan doa dan harapan.

Kedua, rasa syukur perlu diucapkan melalui lidah. Dengan ucapan ‘alhamdulillah’, kita mengiktiraf Si Pemberi iaitu Allah, dan mengharapkan keberkatan nikmat yang diberi.

Ketiga, rasa syukur perlu dicerminkan melalui perbuatan kita.

Setiap kelebihan yang kita terima adalah amanah daripada Allah. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap nikmat yang kita miliki. Apakah yang kita lakukan dengan nikmat keamanan, kesejahteraan, kebebasan, pendidikan, rezeki dan pendapatan yang Allah berikan selama ini?

Saudara yang dirahmati Allah s.w.t.

Mimbar ingin mengambil peluang pada hari mulia ini untuk berpesan agar kita meneruskan amal kebaikan, serta memelihara nilai-nilai murni seperti rahmah dan ihsan menjangkaui bulan Ramadan, sebagai tanda syukur kita kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam Surah Saba’, ayat 13:

Yang bermaksud: "Beramal-lah wahai keluarga Daud sebagai tanda bersyukur!"

Sidang muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Gunakanlah segala nikmat yang Allah kurniakan sebagai bukti kesyukuran kita, dengan terus berbuat kebaikan dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Bergembiralah kita pada hari ini sebagaimana yang diajarkan Rasulullah s.a.w. Namun dalam kegembiraan ini, jangan kita lupa bahawa setiap nikmat adalah ujian. Jadikan setiap nikmat yang kita terima sebagai jalan untuk kita lebih tunduk, lebih memberi dan menebarkan ihsan.

Semoga Allah memelihara keamanan dan kesejahteraan, memberikan kita kekuatan dan ketenangan, serta menerima segala amalan yang telah kita lakukan.

Khutbah Kedua