collections khutbah Kelembutan Jiwa: Penawar Ketegangan
Kelembutan Jiwa: Penawar Ketegangan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 November 2026 / 10 Jamadilakhir 1448H

Kelembutan Jiwa: Penawar Ketegangan

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kelembutan tingkah laku, lisan dan hati bagi mencerminkan keindahan Islam. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kita hidup pada zaman yang sering diwarnai dengan naratif permusuhan, kebencian, perpecahan dan konflik. Sementara keluhuran budi bicara dan kelembutan hati pula kian sukar dirasai. Di tengah-tengah ketandusan sifat rahmah ini, seorang mukmin merasa resah dan mungkin juga bersoal: “Bagaimanakah kita dapat menjadi pembawa kedamaian pada zaman yang penuh konflik dan sengketa?”

Mari kita merujuk teladan Nabi s.a.w. Seorang sahabat bernama Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa seorang lelaki Badwi berjumpa Nabi s.a.w., lalu menarik selendang Nabi s.a.w. dengan sangat kuat sehingga meninggalkan kesan di lehernya. Lelaki itu menuntut agar Nabi s.a.w. memberinya harta.

Bagaimanakah respons Nabi s.a.w. kepada kekasaran tersebut? Adakah beliau marah, mengherdik, atau membalas dengan cara yang sama? Anas r.a. berkata: “Baginda menoleh kepadanya, sambil tersenyum, lalu mengarahkan agar lelaki itu diberikan sesuatu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Subhanallah, hadis ini cukup menyentuh hati dan mengingatkan kita tentang keindahan hati dan akhlak Nabi s.a.w. Walaupun dikasari, beliau tidak membalas dengan kekerasan, atau menjadikan sifat kasar lelaki itu alasan untuk membalasnya dengan kekasaran juga. Sebaliknya, Nabi s.a.w. menunjukkan sifat yang menjadi penawar ketika berlaku ketegangan, iaitu kelembutan.

Saudaraku,

Cara manusia berinteraksi berada di luar kawalan kita. Namun, kita boleh sahaja memilih respons yang terbaik untuk membalasnya. Ini bersesuaian dengan panduan Al-Quran dalam Surah Ali-Imran, ayat 159:

Yang bermaksud: “Maka dengan rahmat Allah, engkau (wahai Muhammad) bersikap lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap kasar dan keras hati (kepada mereka), tentulah mereka akan menjauhkan diri daripadamu. Maka maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka...”

Sungguhpun begitu, kelembutan jiwa Nabi s.a.w. tidak bererti kita perlu bersikap pasif dan menanggung penderitaan dalam diam. Kelembutan tidak bermakna kelemahan, bahkan ia sebenarnya adalah kekuatan. Kekuatan apa, hadirin sekalian? Kekuatan menahan marah dan kemampuan untuk bersabar.

Nabi s.a.w. memiliki kekuatan fizikal dan kedudukan sosial untuk menghukum Badwi tersebut. Tetapi Nabi s.a.w. memilih untuk bersabar kerana tahu lelaki itu bertindak atas dasar kejahilan, bukan kerana berniat jahat. Namun apabila batasan dilanggar atau golongan yang lemah ditindas, Nabi s.a.w. adalah orang pertama yang berdiri tegas menuntut keadilan.

Saudara, izinkan khutbah berkongsi dua peringatan bagi memupuk kelembutan dalam pergaulan kita.

Pertama: Kelembutan ialah satu pilihan yang diutamakan

Kita boleh berbeza pandangan tanpa berlaku biadab. Kita boleh membalas setiap provokasi dengan kelembutan dan bukan kekasaran, dan kita boleh mempertahankan prinsip tanpa mengorbankan sifat rahmah. Kelembutan menuntut kita memberikan respons dengan hikmah walaupun dalam keadaan yang sukar.

Kedua: Empati melahirkan kelembutan

Bagaimanakah kita menzahirkan kelembutan, terutama kepada mereka yang tatacara atau pandangannya tidak kita fahami? Salah satu caranya ialah dengan menyedari keterbatasan pandangan kita, dan belajar melihat sesuatu menerusi perspektif insan lain.

Sebagai contoh, seorang yang bersikap kasar tidak semestinya bermakna dia berlaku biadab atau sombong, kerana kita tidak mengetahui apa yang telah membentuk pandangan dan peribadinya. Kita melihat tingkah lakunya, tetapi kita terhijab dari mengetahui perjalanan hidupnya. Ini menjadikan kita lebih cermat dan tidak cepat menghukum. Sebaliknya, kelembutan menjadi pilihan pertama kita ketika memberikan respons.

Inilah pendekatan Rasulullah s.a.w. ketika berdepan seorang Badwi yang menyakiti baginda. Baginda memahami bahawa Badwi itu terdesak dan memerlukan bantuan. Maka baginda senyum dan memerintahkan agar bantuan dihulurkan.

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Dunia hari ini cukup sarat dengan naratif permusuhan, kebencian, perpecahan dan konflik. Kita tidak memerlukan suara-suara yang hanya menyemarakkan api persengketaan. Kita memerlukan lebih ramai insan yang menjadi penawar, dan membawa naratif keharmonian dan ketenangan.

Oleh itu, marilah kita meneruskan perjalanan pembawa obor kedamaian, yang telah dimulakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w., sentiasa menzahirkan kelembutan dan empati, walaupun dikelilingi aura negatif yang tidak diingini.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hikmah dalam mencernakan kelembutan dalam kehidupan seharian. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Khutbah Kedua