

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
10 Julai 2026 / 24 Muharram 1448H
Kesihatan: Amanah & Nikmat Yang Sering Terabai

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Semoga kita dikurniakan ketetapan iman dan ketaatan yang berterusan agar beroleh keredaan Allah s.w.t. Amin, ya Rabbal 'Alamin.
Saudara yang dikasihi,
Kehidupan kita diwarnai dengan pelbagai nikmat dan amanah.
Harta yang kita miliki, masa yang dipinjamkan, semua ini adalah amanah yang kita galas. Namun, terdapat satu lagi amanah yang mana sekiranya ia terjejas, kesemua tanggungjawab yang lain juga akan turut terkesan.
Hadirin sekalian, kita diamanahkan untuk menjaga kesihatan.
Ya, kesihatan diri dan tubuh badan. Inilah amanah, inilah juga nikmat. Malangnya, inilah juga nikmat yang sering diabaikan ramai manusia dan hanya mula ditangisi setelah kehilangannya.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Terdapat dua nikmat yang ramai manusia melalaikannya: kesihatan dan masa lapang.” (Al-Bukhari)
Renungkan hal ini: ketika sihat, kita menginginkan pelbagai perkara seperti hiburan, keseronokan dan sebagainya. Namun, apabila jatuh sakit, adakah kita masih menginginkan semua itu?
Jawapannya, tentu sekali tidak. Sebaliknya, yang diimpikan seseorang yang sedang sakit hanyalah satu perkara, kesihatan.
Saudara yang dikasihi,
Kesihatan adalah kunci bagi menjalani kehidupan Islamik, seperti beribadah kepada Allah s.w.t. serta berkhidmat kepada makhluk ciptaan-Nya. Marilah bersama kita renungkan tiga panduan Islam yang boleh membantu kita memelihara kesihatan.
Pertama: Mengamalkan sikap bersederhana
Allah berfirman dalam Surah Al-A'raf, ayat 31:

Yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah pada setiap kali kamu ke masjid, dan makanlah serta minumlah, dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Firman Allah “janganlah kamu melampaui batas” mengisyaratkan nilai kesederhanaan, yakni bersederhana dalam semua aspek kehidupan. Dalam soal penjagaan kesihatan, sikap bersederhana bermaksud kita menjaga tubuh badan sebagai menjunjung amanah Allah, tanpa mengabaikannya dan tidak pula menjadikannya satu obsesi.
Dalam pemakanan, kita memilih makanan yang halal lagi berzat. Dalam menjaga hak tubuh badan, kita berusaha mendapatkan rehat yang cukup dan mendapatkan rawatan apabila diperlukan.
Kedua: Mengambil langkah pencegahan
Islam menganjurkan kita bersikap proaktif dan bukannya reaktif dalam menjaga kesejahteraan diri. Ini termasuklah menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala atau tahunan, bersikap prihatin terhadap rekod perubatan dan kesihatan keluarga, serta tidak berlengah untuk mendapatkan rawatan apabila berdepan dengan isu kesihatan, walaupun ia kelihatan kerdil atau remeh.
Selain pemeriksaan perubatan, pencegahan juga adalah satu lagi langkah proaktif. Ia berkait rapat dengan pilihan yang kita buat setiap hari: apakah jenis makanan atau minuman kita hari ini? Berapa jam diluangkan untuk menatap skrin komputer atau telefon pintar, sama ada kerana alasan kerja, sekolah dan sebagainya? Adakah kita amalkan senaman regangan atau ‘stretching’ setelah beberapa jam duduk di meja pejabat?
Perkara-perkara ini mungkin kelihatan kecil, namun secara kesuluruhannya, ia menjadi perisai yang menghindari penyakit, selain merupakan cara untuk menghargai amanah menjaga tubuh badan yang telah Allah kurniakan kepada kita.
Ketiga: Melihat kesihatan sebagai ibadah yang berterusan
Apabila kita menjaga amanah kesihatan tubuh badan dengan penuh kesedaran dan keikhlasan, kita berharap agar memperoleh ganjaran, sama seperti amal ibadah yang lain. Bukankah nikmat kesihatan ini juga yang membolehkan kita melaksanakan ibadah dengan sempurna? Ini kerana ibadah tidak terhad pada tikar sembahyang.
Menikmati hidangan dengan mengambil kira kesihatan jangka panjang dan keperluan zat pemakanan, adalah ibadah. Bagi pelajar, masa rehat yang mencukupi agar tubuh dan minda kekal cergas bertenaga, juga adalah ibadah. Bagi yang telah berkeluarga, kekuatan yang kita miliki untuk memimpin tangan ahli keluarga yang kita sayangi apabila mereka keuzuran dan
memerlukan bantuan, juga adalah ibadah.
Saudaraku,
Marilah kita mengambil berat dan bersikap sungguh-sungguh dalam menjaga kesihatan kita, agar kita dapat beribadah kepada Allah dengan lebih sempurna dalam pelbagai bentuknya.
Bagi yang masih sihat dan cergas, peliharalah amanah kesihatan dengan sebaiknya. Janganlah diabaikan amanah ini.
Bagi mereka yang sedang diuji dengan penyakit pula, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. Teruskan berusaha mendapatkan rawatan dan menjaga kesihatan mengikut yang termampu. Hiasi diri dengan kesabaran dan tawakal. Yakinlah bahawa setiap kesulitan yang dihadapi dengan sabar tidak akan disia-siakan oleh Allah, bahkan menjadi sebab diangkat darjat dan dihapuskan dosa.
Semoga Allah s.w.t. terus mengurniakan kesihatan kepada kita dan insan yang kita kasihi, serta memelihara kita daripada segala penyakit, musibah dan bencana. Dan bagi mereka yang sedang diuji dengan kesakitan, semoga Allah s.w.t. mengurniakan kesembuhan dan mengangkat segala penderitaan. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua

