

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
13 Februari 2026 / 25 Syaaban 1447H
Ketibaan Ramadan – Kepentingan Membuat Persediaan

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Usah tertipu dengan sangkaan bahawa kehidupan esok masih pasti menjadi milik kita. Sedangkan satu-satunya kepastian dalam hidup ini adalah kematian.
Sidang jemaah yang dimuliakan,
Bulan Ramadan bakal menjelang. Mungkin inilah Ramadan yang terakhir kita. Maka janganlah kita mensia-siakannya. Sambutlah Ramadan dengan persediaan rohani dan jasmani, dipandu dengan niat yang ikhlas. Inilah fokus khutbah hari ini.
Bagaimanakah persiapan dan persediaan kita menyambut kedatangan Ramadan?
Saudaraku, sebagai Muslim, kita sering diingatkan supaya membuat persiapan. Allah berfirman dalam Surah al-Hashr, ayat 18:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap jiwa melihat apa yang telah disediakannya untuk hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”
Sidang jemaah sekalian,
Apakah telah terlewat untuk kita membuat persiapan? Bagaimanakah caranya kita masih boleh mempersiapkan diri sebelum kedatangan bulan Ramadan? Di sini, khutbah memberikan dua usulan untuk dipertimbangkan:
Pertama: Usah berlengah-lengah
Kita sering menunggu ketibaan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan ibadah dan meninggalkan tabiat buruk.
Namun, kita tidak boleh terus bertangguh. Jika ajal datang sebelum kita bertemu Ramadan, adakah alasan “menunggu Ramadan” itu membantu kita ketika berdiri di hadapan Allah?
Sesungguhnya, amat tidak wajar kita menangguhkan taubat dan perubahan diri, dengan meletakkan harapan pada hari esok yang belum pasti.
Oleh itu, marilah kita mulakan langkah itu dari saat ini. Perbaiki solat. Kuatkan hubungan dengan Allah s.w.t. Luangkan masa membaca dan mentadabbur al-Quran. Berusahalah meninggalkan tabiat dan akhlak yang buruk.
Saudaraku, persiapan Ramadan tidak bermula dengan ketibaan anak bulan, tetapi ia bermula dengan perubahan kita dari detik ini.
Ingatlah, Ramadan bukanlah sekadar ibadah sebulan, tetapi latihan rohani dan jati diri untuk sepanjang kehidupan. Matlamat kita ialah memupuk perubahan yang kekal, bukan semangat yang bersifat sementara.
Kedua: Melakar matlamat dan rancangan yang jelas
Tetapkanlah matlamat yang jelas dan rancanglah secara praktikal. Bulan Ramadan adalah terhad dan masanya sangat berharga. Tanyakan sekarang juga: Adakah kita ingin menjadi seorang yang lebih berhati-hati sebelum berbicara? Adakah kita akan berjaya menundukkan nafsu serakah ketika waktu senang atau di kala ujian melanda?
Bagaimana pula matlamat rohani kita dalam bulan yang mulia ini? Adakah kita ingin lebih kerap solat berjemaah di masjid atau bersama keluarga? Adakah kita ingin mengkhatamkan al-Quran? Atau menghidupkan qiyamullail? Bagaimana dapat kita mencapai setiap matlamat kita ini?
Pada masa yang sama, fikirkan bagaimana kita dapat mengimbangi ibadah dengan tanggungjawab harian terhadap keluarga, tugas dan kecemerlangan dalam pembelajaran.
Perancangan yang jelas akan membantu kita kekal fokus dan istiqamah sepanjang Ramadan.
Saudaraku sekalian,
Ramadan adalah bulan keberkatan dan keampunan. Pintu rahmat dibuka luas dan dosa diampunkan bagi mereka yang bertaubat dengan ikhlas. Menjadi kerugian jika kita melepaskan peluang ini tanpa merancang dan mencapai perubahan diri.
Marilah kita bersungguh-sungguh membuat persediaan, agar Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik dalam hidup kita.
Semoga Allah memberkati kita dengan kesempatan bertemu Ramadan agar kita dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.

Khutbah Kedua

