collections khutbah Khutbah Aidiladha: Menelusuri hikmah dalam pelaksanaan ibadah
Khutbah Aidiladha: Menelusuri hikmah dalam pelaksanaan ibadah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Aidiladha

27 Mei 2026 / 10 Zulhijjah 1447H

Menelusuri Hikmah Dalam Pelaksanaan Ibadah

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah mengurniakan kepada kita nikmat iman dan Islam. Segala kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana dipertemukan dengan satu lagi hari kebesaran dalam agama, iaitu Aidiladha. Semoga ia menjadi pemangkin serta membantu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Baru semalam, jutaan umat Islam daripada seluruh dunia, termasuk jemaah Haji dari Singapura, berkumpul di Arafah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima.

Dalam suasana seumpamanya pada tahun kesepuluh (10) Hijrah, Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah Wada’ di Arafah, lalu Allah berfirman, dalam Surah Al-Ma’idah ayat 3:

Yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku meredai Islam sebagai agamamu.”

Dengan penyempurnaan ibadat Haji sebagai rukun agama yang kelima, setelah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat fardhu lima waktu sehari, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan zakat, maka Allah menyampaikan perintahnya bahawa agama Islam telah disempurnakan buat umat Nabi-Nya, s.a.w.

Para ulama tafsir seperti Imam Al-Baydawi, Ibn ‘Āshūr dan Al-Shātibi, menjelaskan bahawa kesempurnaan Islam yang dimaksudkan adalah pada prinsip-prinsip umum (kulliyyāt) dan asas-asas panduan yang membimbing manusia dalam segenap ruang kehidupan.

Islam datang bersamanya prinsip, nilai dan dasar-dasar agama yang menentukan apa yang halal dan apa yang haram, yang bersifat kekal sepanjang masa dan zaman. Inilah maksud firman Allah “akmaltu lakum dīnakum” – kesempurnaan yang memberi kehidupan kepada syariat, bukan kelesuan mahupun kejumudan. Kesempurnaan dalam bentuk prinsip-prinsip, nilai- nilai serta hukum-hukum asas, membolehkan umat Islam di mana sahaja mereka berada, pada bila-bila masa, untuk mencari huraian dan melayari kehidupan dengan penuh keyakinan.

Hadirin dan Hadirat yang dikasihi sekalian,

Di antara prinsip dan nilai ini juga, yang menjamin kelestarian dan keberkesanan ajaran Islam, adalah pada sifat rahmah dan kemudahannya. Ini kerana, Allah Maha Mengetahui akan keterbatasan, perubahan keadaan serta cabaran yang dihadapi oleh hamba-Nya sepanjang zaman. Oleh itu, syariat tidak diperkenalkan untuk menyukarkan manusia, tetapi untuk membimbing mereka mendekati Allah s.w.t. dengan penuh hikmah, keseimbangan dan kemudahan.

Allah s.w.t. mengingatkan kita dalam Surah al-Haj ayat 78:

Yang bermaksud: “Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan ke atas kamu dalam agama ini sebarang kesempitan.”

Dan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

Yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran ke atas kamu.”

Nabi Muhammad s.a.w. juga bersabda:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya agama ini bersifat mudah, dan tidaklah seseorang mempersulitkan agama melainkan dia akan ditewaskan olehnya.” (Riwayat An-Nasa’i)

Dalam hadis yang lain, dijelaskan bahawa apabila Rasulullah s.a.w. diberi dua pilihan, Baginda akan sentiasa memilih yang lebih mudah selagi ia tidak membawa kepada dosa. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sidang jemaah sekalian,

Ini yang dapat kita lihat dalam ibadah haji juga. Ibadat yang melibatkan jutaan umat manusia, yang mengambil tempoh masa yang panjang, dalam keadaan dan cuaca yang amat mencabar.

Adakah agama sengaja membiarkan umatnya menghadapi kesukaran dan kepayahan, atas dasar semuanya adalah ujian dan cabaran kehidupan?

Nabi s.a.w. sendiri pernah menjelaskan kepada para sahabat ketika menghadapi kesukaran dalam melaksanakan manasik haji:

Yang bermaksud: “Lakukanlah sahaja, dan tidak mengapa (tiada dosa atau kesempitan).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ibadah haji hari ini lebih tersusun dan dikawal dengan lebih rapi dan ketat, kerana jumlah jemaah yang jauh lebih ramai.

Kemajuan dimanfaatkan untuk membantu jemaah haji melaksanakan ibadah dengan lebih selamat dan teratur. Namun perubahan ini pastinya tidak mengubah hakikat ibadah haji itu sendiri.

Begitu juga dalam banyak ibadat lain, termasuk ibadah korban.

Jika dahulunya ia dilakukan dan diagihkan di kalangan masyarakat setempat, namun pada hari ini, ia turut dilaksanakan di pelbagai tempat di merata dunia bagi mengutamakan golongan yang lebih memerlukan, sekaligus memenuhi roh ibadah korban untuk membantu mereka yang berada dalam kesempitan hidup.

Penyesuaian yang diperlukan dalam menterjemahkan ajaran agama dalam kehidupan seharian adalah sebahagian dari syariat Islam itu sendiri. Bahkan, para ulama telah mengingatkan, bahawa hukum bagi sesuatu keadaan tidak boleh bersandarkan karangan dan penulisan dalam kitab yang terputus dari situasi sebenar kehidupan.

Bayangkan – jika syariat hanya terikat pada satu bentuk pelaksanaan yang jumud dan sempit, pasti manusia akan berhadapan dengan kesukaran dalam melaksanakan ketaatan dan menzahirkan ketakwaan dalam situasi yang berbeza-beza.

Sedangkan Allah s.w.t. mengetahui bahawa zaman dan keadaan akan terus berubah, manakala cabaran yang dihadapi manusia akan berbeza-beza.

Maka syariat Islam datang dengan keluasan yang membolehkan ibadah terus mekar dalam pelbagai keadaan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Di sinilah kita dapati manusia sering terjebak antara dua pelampauan.

Ada yang bersikap ifrat, iaitu terlalu jumud dan kaku sehingga menolak sebarang bentuk penyesuaian, seolah-olah agama tidak memberi ruang kepada perubahan keadaan. Ia berfikiran sempit sehingga membataskan dan mengecilkan ruang yang asalnya luas dalam syariat.

Dan ada pula yang bersikap tafrit, iaitu meremehkan hukum-hakam agama sehingga mengabaikan prinsip-prinsip dan hukum-hukum jelas yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Ia mencari alasan tanpa sandaran kukuh untuk menghalalkan apa yang jelas haram, hanya kerana ingin mengikut hawa nafsunya.

Sedangkan yang dipilih dan dianjurkan agama adalah jalan pertengahan. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 143:

Yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat yang seimbang, agar kamu menjadi saksi bagi umat manusia, dan agar rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu...”

Jalan pertengahan ini, atau “Wasatiah” bukan menggadaikan prinsip agama. “Wasatiah” itulah antara prinsip agama. Ia adalah keseimbangan yang lahir daripada kefahaman yang mendalam terhadap kesempurnaan syariat ini, bahawa ia teguh pada prinsip, tetapi luas dalam pelaksanaan.

Sidang jemaah sekalian,

Keseimbangan ini dapat dilihat dalam kehidupan seorang Muslim yang memahami agamanya dengan baik. Ia tidak menjadikan agama sebagai beban, dan tidak pula menjadikannya ringan tanpa prinsip dan panduan. Sebaliknya, ia menjadikan agama sebagai cahaya yang membimbing langkah dalam menghadapi perubahan zaman.

Allah s.w.t. mengajar kita keseimbangan dalam kehidupan – dalam ibadah, dalam perbelanjaan, dalam urusan makanan halal dan haram, dan dalam seluruh urusan hidup – agar kita tidak terjatuh ke dalam pelampauan.

Atas dasar kefahaman ini, Aidiladha mengajar kita makna pengorbanan yang lebih luas. Ia bukan sekadar menyembelih haiwan korban, tetapi juga kesediaan untuk tunduk kepada petunjuk Allah s.w.t., meskipun ia memerlukan kita menyesuaikan diri dengan keadaan, tanpa mengorbankan prinsip.

Maka terdapat tiga pengajaran besar yang perlu kita hayati.

Pertama: Memperdalam ilmu agama dengan kefahaman yang menyeluruh

Ilmu bukan sekadar mengetahui hukum halal dan haram, tetapi memahami tujuan dan hikmah di sebalik sesuatu hukum. Kita perlu beralih daripada semata-mata bertanya, “Boleh atau tidak boleh?”, kepada soalan yang lebih meluas dan mendalam: “Apakah tujuan dan matlamat (atau maqasid) di sebalik ajaran ini?”“Apakah nilai yang ingin dicapai, dan bagaimana dapat ia diamalkan dalam realiti kehidupan tanpa melanggar nas yang jelas?” “Apakah pertimbangan yang perlu diambil dalam menilai sesuatu keadaan dan situasi?”

Kedua: Meyakini bahawa penyesuaian yang berasaskan ilmu adalah sebahagian daripada keindahan syariat

Penyesuaian bukan kelemahan agama, tetapi tanda keluasan rahmat Allah s.w.t. Umat yang memahami ini akan menjadi umat yang lebih yakin, lebih tenang, dan lebih anjal menghadapi cabaran zaman.

Ketiga: Memperluas makna pengorbanan kepada sumbangan buat umat manusia

Umat Islam tidak hidup untuk dirinya sendiri. Pengorbanan kita hari ini melepasi batasan peribadi kepada insan sekeliling, dan seluruh umat manusia. Dalam dunia yang berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, ketegangan sosial dan salah faham terhadap Islam, umat Islam perlu tampil sebagai sumber rahmat, hikmah dan penyelesaian.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Aidiladha ini mengingatkan kita bahawa Islam adalah agama yang sempurna dalam prinsipnya, luas dalam rahmatnya dan seimbang dalam pendekatannya.

Maka marilah kita menjadi umat yang berilmu dalam memahami agama serta yakin dalam mengamalkannya. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita umat yang teguh imannya, benar kefahamannya dan indah akhlaknya dalam menzahirkan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua