collections khutbah Korbankan keakuan, kukuhkan kekitaan
Korbankan keakuan, kukuhkan kekitaan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

29 Mei 2026 / 12 Zulhijjah 1447H

Korbankan Keakuan, Kukuhkan Kekitaan

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Taati segala perintah-Nya dan hindari segala tegahan-Nya. Semoga Allah s.w.t. menerima segala ketaatan yang kita persembahkan kepada-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Saudara yang dirahmati Allah,

Pada musim Aidiladha ini, ramai di kalangan umat Islam yang melakukan ibadah korban. Di sebalik penyembelihan haiwan korban, tersirat roh pengorbanan yang lebih besar – iaitu kesediaan untuk mengorbankan sifat mementingkan diri sendiri serta mendahulukan kebaikan orang lain. Inilah mesej utama khutbah pada hari ini.

Saudaraku,

Perhatikan kisah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s., di mana kita melihat satu contoh pengorbanan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Nabi Ibrahim a.s. telah lama berdoa memohon zuriat, dan permintaannya hanya diperkenankan setelah baginda menjangkau usia lanjut. Allah s.w.t. mengurniakan baginda seorang anak yang sangat dicintai, iaitu Nabi Ismail a.s. Tetapi, apabila Nabi Ismail meningkat remaja, datang pula perintah Allah s.w.t. yang amat berat. Firman Allah s.w.t. dalam Surah As-Saffat, ayat 102:

Yang bermaksud: “Maka ketika (anaknya) sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, beliau berkata: ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pandanganmu?’ (Nabi Ismail) Berkata: ‘Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan (kepadamu). Insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk dalam kalangan orang-orang yang sabar.’”

Saudara sekalian,

Andai kedua-dua Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. mengutamakan kepentingan diri sendiri, barangkali mereka tidak akan terdorong melaksanakan perintah tersebut. Nabi Ibrahim a.s. mungkin sahaja mengabaikannya kerana tidak bersedia mengorbankan anak kesayangan yang begitu lama dinantinya. Manakala Nabi Ismail a.s. pula mungkin sahaja membantah kerana usianya yang masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang.

Kesimpulannya, ayat ini bukan sekadar menceritakan tentang keimanan dan ketaatan utuh dua beranak ini terhadap perintah Allah. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail juga mempamerkan sifat sedia mengorbankan kepentingan diri sendiri demi mencapai sesuatu kebaikan atas dasar perintah Allah s.w.t. dan mencapai keredaan-Nya.

Saudara sekalian,

Inilah roh Aidiladha yang perlu kita hayati dalam kehidupan seharian kita. Dunia hari ini semakin cenderung kepada sikap individualistik. Ada yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga tidak lagi peka terhadap kesusahan orang lain.

Mungkin sahaja, kita yang lebih kerap bertanya: “Apa yang aku dapat?” tetapi jarang bertanya: “Apa yang orang lain perlukan daripadaku?”

Sedangkan Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam Surah Al-Hasyr pula, Allah s.w.t. memuji golongan Ansar atas sifat mereka yang ringan tulang menghulurkan bantuan kepada orang lain sekalipun mereka juga dalam keadaan memerlukan.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

Untuk menghidupkan roh pengorbanan ini, mimbar ingin menekankan dua pengajaran utama:

Pertama: Belajarlah melihat dari sudut pandang pihak yang memerlukan

Banyak kerosakan di merata dunia berpunca daripada sifat tamak dan terlalu mengutamakan diri sendiri. Hari ini, ada yang sanggup menindas demi mengaup keuntungan. Ada juga yang terlalu berkira untuk membantu walaupun mempunyai kemampuan. Ada yang bersikap tidak peduli terhadap kesusahan dan kemelaratan insan.

Sedangkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin bukanlah seorang yang kenyang sedangkan jiran di sampingnya berada dalam keadaan kelaparan.” (Riwayat Abu Ya’la)

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar hari ini, ramai yang sedang bergelut dengan kos kehidupan, tekanan pekerjaan dan beban kewangan. Justeru, masyarakat yang kukuh bukan dibina atas sikap mementingkan diri sendiri, tetapi dengan sikap saling membantu dan saling menguatkan.

Bantuan tidak semestinya merupakan satu sumbangan yang besar. Ia mungkin sekadar dengan bertanya khabar, membantu ahli keluarga yang keletihan, berkongsi rezeki, atau mengukirkan senyuman mahupun melafazkan kata-kata yang baik. Kebaikan yang kecil tetapi dilakukan dengan ikhlas mampu mengukuhkan hubungan sesama manusia.

Kedua: Islam mengajar kita tentang keseimbangan

Mengutamakan orang lain tidak bermaksud kita mengabaikan diri sendiri. Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam Surah Al-Isra, ayat ke-29 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (terlalu kedekut), dan jangan pula engkau menghulurkannya secara berlebihan (terlalu boros), nanti engkau akan menjadi tercela dan menyesal.”

Islam mendidik kehidupan yang seimbang. Apabila kita mampu mencapai keseimbangan ini, kebajikan diri sendiri akan terjaga, dan mereka yang di sekeliling kita turut sama merasakan manfaatnya. Kehidupan menjadi lebih tenang, keluarga menjadi lebih harmoni dan masyarakat menjadi lebih kukuh dalam kesatuan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Aidiladha mengingatkan kita bahawa pengorbanan yang paling sukar kadangkala terletak pada sifat mengutamakan kepentingan diri sendiri. Oleh itu, sesuai dengan panduan agama, bersamalah kita melatih diri supaya dapat melihat keperluan orang lain, serta mencapai keseimbangan dalam menjaga maslahat diri sendiri serta insan di sekeliling.

Semoga kita menjadi insan yang sentiasa menyebarkan rahmah dan kebaikan, mengutamakan manfaat bersama dan membina umat yang kukuh dan disulami kasih sayang. Amin, ya Rabbal‘Alamin.

Khutbah Kedua