collections khutbah Memelihara Diri Daripada Ajaran Sesat
Memelihara Diri Daripada Ajaran Sesat

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 November 2020 / 12 Rabiulakhir 1442H

Memelihara Diri Daripada Ajaran Sesat

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan usaha kita untuk mempelajari ilmu agama, ia bakal diterima yang Maha Esa, serta dikurniakan keberkatan dalam kehidupan. Amin.

Saudaraku,
Perhatikan firman Allah (s.w.t.) yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah. Aku tidak mengingin daripada mereka untuk memberikan rezeki ataupun untuk memberi makanan kepadaKu.” (Surah al-Dzariyat, ayat 56-57).

Ayat ini mengingatkan kita akan maksud dan tujuan kehidupan. Setiap detik dalam kehidupan ini saudaraku, selagimana nyawa ini dikandung jasad, sebenarnya merupakan peluang untuk kita mendekatkan diri dengan Allah (s.w.t.). Sama ada melalui amal ibadah, amalan soleh, amal kebajikan dan sebagainya.

Sehinggakan ketika kita mempelajari ilmu agama, ia seharusnya menjadi punca dan sebab kita semakin dekat dengan Tuhan. Ilmu membantu kita untuk memahami agama ini, sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Ilmu memberi panduan kepada kita untuk menuruti Nabi (s.a.w.), agar amal ibadah yang kita laksanakan, sesuai dengan cara yang diajarkan Nabi (s.a.w.).

Maka ilmu yang tepat akan mendekatkan lagi diri kita dengan Tuhan. Menjadikan kita insan yang semakin menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat. Semakin erat hubungan kita sesama insan, rakan taulan dan keluarga. Dan bukan sebaliknya, dengan lebih menyendiri serta mengasingkan diri.

Saudaraku,

Sebagai panduan buat diri kita bersama, ingin saya berkongsi bersama anda beberapa lagi ciri ajaran sesat, serta ajaran yang mengelirukan yang perlu anda ketahui. Sebagai panduan buat diri kita semua. Juga sebagai lanjutan bagi beberapa ciri yang telah disentuh pada dua khutbah yang sebelum ini.

Saudaraku,

Antara ciri yang biasanya terdapat pada pelbagai ajaran sesat, (sepertimana dinyatakan dalam buku Noktah Hitam), adalah terdapatnya dakwaan sama ada daripada guru ataupun pengikutnya, bahawa dirinya menerima wahyu ataupun ilham yang tertentu. Lalunya dia akan mendakwa bahawa wahyu ataupun ilham tersebut memberi sejenis arahan agama. Maka melaluinya, beliau akan mengubah suai beberapa hukum-hakam agama serta tatacara ibadah, yang telah kita warisi daripada Nabi (s.a.w.), kepada apa yang disangkanya lebih mudah serta lebih sesuai. Melalui dakwaan ilham-ilham yang diterima, beliau juga akan mula mengawal kehidupan pengikut-pengikutnya.

Sebahagian yang lain pula kerap membuat ramalan. Seperti meramalkan bila berlakunya kiamat, ataupun malapetaka serta bencana alam yang tertentu. Segalanya bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai, serta menambahkan jumlah pengikutnya.

Sedangkan akidah yang kita yakini menetapkan bahawa tiada yang mengetahui yang ghaib melainkan Allah. Dan setelah kewafatan Nabi (s.a.w.), tiada seorang insan pun yang berhak untuk mengakui bahawa beliau menerima wahyu daripada Allah (s.w.t.). Perhatikan hadis Nabi (s.a.w.) yang seharusnya menjadi pegangan hidup kita, agar kekal terpelihara daripada segala jenis kesesatan. Hadisnya bermaksud: “Aku tinggalkan bagi kamu dua perkara, yang mana kamu tidak akan sesat, selagimana kamu berpegang dengannya. Ia adalah kitab Allah (iaitu al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya.” (Hadis riwayat Imam Malik).

Saudaraku,
Ajaran Islam ini telah lama sempurna daripada segi akidah, ibadah, kemuliaan akhlak, begitu juga pada segala prinsip ajaran agama. Nabi (s.a.w.) meninggalkan kepada kita satu panduan yang begitu jelas sekali. Sehinggakan tidak ada yang tersembunyi dalam agama ini. Panduan menuju kepada Tuhan telah diberikan. Amalan ibadah serta kerohanian untuk mempertingkatkan keimanan juga telah disertakan. Maka menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memastikan bahawa ajaran agama yang diterimanya merupakan ajaran yang benar lagi tepat.

Semoga dengan keikhlasan kita semua dalam menuntut ilmu, Allah (s.w.t.) bakal mengurniakan kepada kita ilmu yang bermanfaat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.