Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
16 Mei 2025 / 18 Zulkaedah 1446H
Sidang Jumaat yang saya kasihi,
Dengan keberkatan hari Jumaat ini, marilah kita perbaharui azam untuk memperkukuh ketakwaan dalam diri dan keluarga kita. Semoga rumahtangga yang terbina atas dasar takwa akan mencapai kehidupan yang bahagia untuk semua.
Ini sesuai dengan doa yang diajarkan Allah s.w.t. untuk kita bacakan sebagai pemimpin keluarga dalam Surah Al-Furqan, ayat 74:
Yang bermaksud: "Dan mereka yang berkata: ‘Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan-pasangan dan keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.’"
Pada minggu lalu, kita diingatkan bahawa pernikahan adalah salah satu bentuk ibadah yang memerlukan usaha berterusan daripada pasangan. Minggu ini, khutbah ingin memberikan tumpuan pada pentingnya keutuhan dan keeratan hubungan suami isteri, kerana mereka saling melengkapkan, sesuai dengan panduan Al-Qur’an dalam Surah Al-Baqarah, ayat 187:
Yang bermaksud: “Mereka (para isteri) adalah pakaian bagimu, dan kamu (para suami) adalah pakaian bagi mereka.”
Tuan-tuan sekalian, Imam Jalaluddin As-Sayuthi dalam kitabnya Tafsir Al-Jalalain memberikan komentar mengenai kiasan kata ‘pakaian’ pada ayat ini, antaranya:
Pertama, pasangan suami isteri diibaratkan sebagai satu dakapan, yakni dakapan yang melambangkan kasih sayang, kepercayaan, kebergantungan dan keamanan. Pasangan kita adalah tempat kita mengadu dalam suka mahu pun duka. Inilah rumahtangga yang dibina atas lafaz “aku mencintaimu kerana
Allah”.
Kedua, suami isteri diibaratkan seperti pakaian kerana mereka saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain. Mereka adalah rakan kongsi dalam perjalanan hidup. Saling mendengar, membantu, menyokong, dan meringankan urusan antara satu sama lain dalam menghadapi tekanan dan cabaran kehidupan.
Bagaimana kita boleh mewujudkan dan terus mengekalkan keeratan rumahtangga?
Izinkan saya berkongsi tiga kelaziman yang boleh menjadikan kita pasangan yang berkasih sayang, begitu intim dan erat, seperti yang digambarkan Al-Quran:
Kelaziman pertama: Berkomunikasi dengan penuh hormat dan menjadi pendengar yang baik.
Kelaziman ini menjadikan setiap perkataan kita lebih mudah difahami, selesa untuk dipertimbangkan dan diterima. Komunikasi yang penuh dengan kelembutan suara, pemilihan kata-kata yang sopan, serta intonasi yang penuh kasih sayang.
Ia memberi kesan yang mendalam kepada pasangan kita. Selain itu, memilih masa yang sesuai untuk menyampaikan sesuatu mesej juga merupakan faktor penting bagi mencapai komunikasi yang berkesan.
Pada masa yang sama, kita juga perlu melatih diri untuk menjadi pendengar yang baik. Kita mendengar apa yang disampaikan dengan teliti, dan memberi ruang agar setiap ucapan disempurnakan sebelum mencelah.
Perhatikan juga gerak gaya atau gerak isyarat wajah dan tubuh kita seperti ekspresi muka, isyarat tangan, anggukan kepala dan mengangkat bahu. Kesemua perbuatan tersebut terkandung makna yang tersirat, tanpa perlu kita melafazkannya.
Yakinlah, bahwa kekhuatiran, ketidakpuasan hati dan seumpamanya boleh lenyap dengan hanya satu sesi komunikasi yang baik. Kita dan pasangan kita akan merasa diri lebih dihormati dan dihargai.
Kelaziman kedua: Berkongsi amanah kehidupan berkeluarga.
Alam rumahtangga memerlukan usaha dan kerjasama yang sepenuhnya daripada kedua belah pihak. Baik dari aspek menguruskan tugasan rumah, mendidik anak-anak, hinggalah mengurus kewangan keluarga, semuanya perlu digalas bersama. Perkongsian amanah ini akan menyemai sifat saling menghargai dan mempercayai, di samping mengurangkan tekanan yang timbul sekiranya amanah rumahtangga hanya ditanggung oleh satu pihak sahaja. Sesungguhnya, ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah r.a. pernah menjelaskan bagaimana Baginda s.a.w. turut membantu meringankan keperluan keluarganya, dan Baginda s.a.w. akan keluar menunaikan solat apabila sudah masuk waktunya.
Kelaziman ketiga: Syura dalam membuat keputusan.
Syura atau berunding adalah antara kelaziman terpenting dalam kehidupan berumah tangga. Ia memberi ruang bagi pasangan merasa terlibat dalam membuat keputusan yang bersangkutan dengan masa depan mereka. Pendekatan ini mencerminkan rasa saling hormat dan menghargai peranan pasangan kita. Ia juga dapat mengelakkan timbulnya salah faham, rasa tidak puas hati dan ketegangan rumah tangga, sekaligus mengeratkan hubungan suami isteri dan mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam kehidupan seharian.
Sebagai penutup, saya dengan rendah hati menyeru mereka yang bergelar suami, untuk bersama-sama menghayati amanah yang Allah pertanggungjawabkan ke atas kita selaku ketua keluarga.
Junjunglah amanah ini dengan sebaik mungkin, layani ahli keluarga dengan penuh mawaddah dan rahmah, dan sentiasalah berdoa kepada Allah, agar kita dikurniakan pasangan dan keturunan yang menjadi penyejuk mata, dan supaya kita semua menjadi pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa. Amin ya Rabbal ‘Alamin.