

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
2 January 2026 / 12 Rejab 1447H
Memulakan Langkah Dengan Istiqamah

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Ketakwaan yang menjadi cerminan hidup kita, yang menjadi bukti kesetiaan kepada perintah Allah, dan yang menyemai kesabaran dan keimanan dalam menempuh perjalanan ini hingga ke akhir hayat. Ketahuilah bahawa sebaik-baik bekalan dalam hidup ini bukanlah harta, pangkat atau kejayaan duniawi, tetapi pendirian yang istiqamah terikat dengan Allah dalam setiap keadaan. Ketakwaan yang sejati tidak dibina dengan lonjakan sesaat, tetapi dengan istiqamah sepanjang hayat. Ia bukan hasil emosi yang sementara, tetapi natijah kesetiaan yang berterusan. Maka sesiapa yang benar-benar ingin memelihara ketakwaannya, dia perlu terus istiqamah dalam pendiriannya — dalam ketaatan, dalam kebaikan, dan dalam usaha memperbaiki diri walaupun langkahnya kelihatan kerdil.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita kini melangkah ke tahun baharu 2026, dan pada masa yang sama, kita juga sedang berada dalam bulan Rejab — salah satu bulan yang dimuliakan Allah. Saya mengesyorkan kita semua melihat kesempatan bertemu dengan bulan Rejab ini sebagai undangan Ilahi, untuk kita menilai kembali arah perjalanan hidup kita, bukan sekadar dari sudut pencapaian keduniaan, tetapi juga yang lebih utama, dari sudut kedudukan kita di sisi Allah.
Izinkan saya melontarkan satu soalan sebagai cerminan bersama: Berapa banyakkah perkara baik yang pernah kita mulakan dengan penuh semangat, tetapi malangnya terhenti di tengah jalan? Apakah sebabnya hadirin sekalian? Ia adalah kerana kita tidak sempat membina kekuatan untuk terus bertahan.
Di sinilah agama memperkenalkan satu nilai besar yang sering kita sebut, tetapi begitu sukar untuk benar-benar dihidupkan: iaitu istiqamah.
Allah s.w.t. berfirman di dalam ayat 30, surah Fussilat:

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah,’ kemudian mereka beristiqamah, para malaikat akan turun kepada mereka dengan membawa ketenangan (dan berkata) ‘jangan kamu takut, jangan kamu bersedih, dan bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan.’”
Ayat ini memperlihatkan bahawa iman, bukan sekadar pengakuan, tetapi dibuktikan dengan istiqamah — daya tahan dalam melakukan ketaatan dan kebaikan, serta kesungguhan untuk meningkatkan mutu keperibadian kita pada setiap masa.
Sidang hadirin,
Kehadiran tahun baharu dan bulan Rejab mengingatkan kita bahawa kehidupan rohani bukan perancangan jangka pendek. Ia adalah perjalanan yang panjang. Kejayaan rohani tidak dibina atas ledakan emosi yang bersifat sementara, tetapi atas langkah-langkah kecil yang dilakukan secara konsisten, walaupun ketika semangat sedang menurun dan keadaan tidak sempurna.
Islam tidak menuntut kesempurnaan yang terhasil dengan segera. Yang dituntut ialah kekentalan dalam melalui liku-liku perjalanan hidup.
Maka, apakah langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk membina istiqamah dalam kehidupan yang penuh tuntutan ini?
Pertama, mulakan dengan arah dan tujuan yang jelas, bukan sekadar semangat.
Ramai di antara kita yang bekerja keras, menetapkan sasaran kemajuan dalam bidang kerjaya, kewangan, pendidikan dan keluarga dengan penuh perancangan. Ini adalah contoh hala tuju yang jelas. Perkara yang sama juga wajar diterapkan dalam urusan agama. Istiqamah bermula dengan niat yang dibulatkan: bahawa setiap usaha kita, sama ada di rumah, di pejabat, di sekolah, atau di masjid, adalah untuk mencari keredaan Allah, kerana kita adalah hamba Allah!
Dengan niat yang jelas, seorang ayah menyediakan nafkah dari sumber yang halal untuk keluarganya. Dengan tujuan yang jelas, seorang ibu secara konsisten mendidik anaknya dengan penuh kesabaran. Perkara yang sama dihayati oleh seorang pelajar yang sentiasa mendirikan solatnya walaupun dibebani dengan jadual akademik — semuanya berjalan di atas jalan istiqamah.
Kedua, bina kebiasaan yang berterusan, bukan sekadar azam yang besar.
Perancangan yang tuntas adalah budaya masyarakat kita. Dari jadual bas dan MRT, kepada tarikh mesyuarat, jadual peperiksaan persekolahan — semuanya menuntut tahap disiplin yang tinggi. Disiplin yang sama juga wajar kita terapkan dalam kehidupan rohani.
Istiqamah tidak dibina dengan perubahan drastik, tetapi dengan kebiasaan kecil yang konsisten, seperti: dengan beberapa ayat al-Quran setiap hari walaupun hanya seminit sebelum keluar bekerja; zikir ringkas dalam perjalanan ; sedekah kecil secara tetap, sama ada secara fizikal atau melalui pemindahan digital (digital transfer); serta berusaha menjaga sangka baik dalam hubungan seharian, sama ada dengan rakan sekerja, jiran, atau ahli keluarga. Kebiasaan-kebiasaan kecil inilah yang membina daya tahan iman apabila ujian mendatang.
Ketiga, sandarkan perjalanan ini kepada Allah, bukan kepada kebolehan diri semata-mata.
Ramai yang bersemangat ketika memulakan perjalanan, tetapi letih di pertengahan jalan, kerana mereka memikul segalanya secara bersendirian, terlupa meletakkan pengharapan kepada Tuhan. Istiqamah yang sebenar lahir daripada tawakkul —kesedaran bahawa kita bergerak dengan bantuan Allah. Maka, jangan biarkan doa menjadi sekadar penutup ibadah, tetapi jadikan ia sumber kekuatan:

“Ya Allah! tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Sidang Jumaat,
Para ulama menyebut: “Rejab ialah bulan penyemaian benih, Sya‘ban adalah bulan penyiramannya, dan Ramadan adalah bulan penuain.” Ayuh, jangan kita lepaskan musim menyemai ini tanpa tanaman benih istiqamah.
Mudah-mudahan Allah memberkati kita di bulan Rejab dan Sya‘ban, dan mempertemukan kita dengan Ramadan dalam keadaan iman yang lebih teguh, hati yang lebih tenang, dan kehidupan yang lebih bermakna. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

