collections khutbah Mencontohi Sifat Baginda (s.a.w): Berserah Kepada Allah (s.w.t)
Mencontohi Sifat Baginda (s.a.w): Berserah Kepada Allah (s.w.t)

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 Oktober 2022 / 2 Rabiulakhir 1444H


Mencontohi Sifat Baginda (s.a.w): Berserah Kepada Allah (s.w.t)

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dalam erti kata yang sebenarnya, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan sedemikian, kita tergolong dikalangan hamba-hamba-Nya yang diredai-Nya.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Tawakal atau berserah diri kepada Allah (s.w.t) merupakan satu sifat yang sangat mulia di sisi Allah sepertimana yang terakam di dalam Al-Quran. Allah (s.w.t) berfirman:

 Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka bertawakal (berserah).” (Surah Al-Anfal:2)

Imam Ibnu Rajab (r.h) mengatakan: “Tawakal ialah penyandaran hati dengan jujur kepada Allah (s.w.t) dalam upaya memperolehi segala kebaikan dan menolak segala kemudaratan, di dalam urusan dunia mahupun akhirat.”

Tawakal mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam dan termasuk amalan yang paling mulia. Bahkan, kesempurnaan iman dan tauhid tidak dapat dikecapi melainkan dengan kesempurnaan tawakal terhadap Allah (s.w.t).

Namun, masih ada yang beranggapan bahawa usaha seseorang manusia itu boleh menafikan atau melemahkan sifat tawakal seorang hamba kepada Allah.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Tawakal tidaklah bertentangan dengan usaha dan ikhtiar. Imam al-Ghazali dalam ‘Ihya Ulumuddin menjelaskan, tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap melarikan diri bagi golongan yang tidak ingin berusaha atau gagal usahanya. Akan tetapi tawakal ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan. Bahkan dia berusaha semampu mungkin lalu berserah diri kepada Allah yang akan menentukan natijahnya.

Rasulullah (s.a.w) menekankan kesempurnaan tawakal yang tidak mungkin terpisah dari usaha yang diperlukan, dalam sabdanya:

لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Yang bermaksud: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi kamu rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung. Ia keluar di waktu pagi dalam keadaan perut kosong dan pulang di waktu petang dalam keadaan kenyang.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah (s.a.w) sendiri berusaha dengan gigih dalam dakwahnya. Baginda tidak menyerah terus tanpa berusaha serta merancang, kerana itu bukanlah cara untuk mencapai kejayaan. 

Para Jemaah yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam menjalani kehidupan ini, setiap manusia pasti menginginkan kejayaan. Manusia diciptakan oleh Allah (s.w.t) dengan kecenderungan untuk mencintai kemajuan dan menghindari kemunduran. Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita tidak mampu untuk melaksanakan tanggunjawab kita, baik terhadap Allah mahupun sesama makhluk-Nya, tatkala keperluan asas kita tidak dipenuhi.

Oleh itu, hendaklah kita mengambil langkah-langkah yang sesuai di dalam dunia yang tidak menentu dan kian mencabar ini agar kekal relevan dalam bidang kerjaya kita. Demi mencapai kemajuan, bagi keluarga dan masyarakat kita.

Kerana tawakal itu memacu seseorang itu untuk lebih giat bekerja dan berusaha, agar menjadi seseorang yang produktif dalam membuahkan hasil yang maksimal. Pada waktu yang sama, hati seseorang itu berserah kepada Allah (s.w.t).

Maka hendaklah kita cepat menyesuaikan diri dan membina kecekapan baru dengan mempertingkatan kemahiran diri, melalui kursus-kursus yang tersedia ada. Hendaklah kita mengerahkan segala keupayaan untuk menjayakan setiap bidang yang kita ceburi, disusuli pula dengan berserah kepada Allah. Agar kita menjadi orang-orang yang berjaya di dunia mahupun di akhirat. Sambil muhasabah diri, dengan terus berusaha dan berdoa secara istiqamah. Mereka tidak akan pernah berputus asa kerana mereka yakin dengan penerimaan doa-doa mereka oleh Tuhan yang Maha Esa.

Semoga kita sentiasa tergolong dikalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa beriman kepada-Nya, beramal dengan perintah-Nya dan bertawakal kepada-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.