

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
14 November 2025 / 23 Jamadilawal 1447H
Mengecap Syurga Melalui Ibu Bapa

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Ingatlah, dunia ini hanyalah sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Berusahalah untuk meraih syurga dengan memperoleh keredaan ibu bapa serta keredaan Allah s.w.t. Semoga Allah melindungi kita daripada segala bentuk keburukan dan membimbing kita ke jalan ketakwaan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ar-Rum, ayat 54:

Yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan (keadaan) lemah, dan kemudian, Dia menjadikan (kamu) kuat setelah lemah. Kemudian, Dia menjadikan (kamu) lemah dan beruban (tua) selepas kuat. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.”
Saudara sekalian, renungilah makna ayat ini. Dengan rahmat Allah, kita memulakan perjalanan hidup dalam keadaan lemah dan tidak berdaya. Dengan rahmat-Nya, kita membesar dan memperoleh kekuatan dan tenaga. Dan dengan rahmat-Nya juga, kita akhirnya menjadi lemah semula apabila usia meningkat senja.
Hari ini, sebahagian daripada kita masih segar dengan tenaga dan semangat muda, manakala yang lain mula kehilangan kekuatan yang pernah dimiliki.
Bagi mereka yang mempunyai ibu bapa yang kian berusia, bayangkan dan bandingkan wajah-wajah mereka sepuluh tahun yang lalu, dengan keadaan mereka hari ini. Mungkin kita dapat melihat tanda-tanda penuaan yang berlaku sama ada secara cepat atau bertahap, seperti tubuh yang semakin lemah atau rambut yang semakin memutih. Tidak kurang juga yang semakin dibelenggu sifat lupa.
Tanda-tanda penuaan ini sememangnya mengingatkan kita tentang kehidupan dunia yang fana. Namun, ia juga mengingatkan kita tentang peluang besar untuk meraih keredaan ibu bapa kita, selagi mereka masih bersama kita.
Saudara sekalian,
Apabila ibu bapa kita meniti usia senja, kita perlu menyesuaikan diri dan bersedia untuk menjaga mereka dengan penuh keihsanan, mengikut kesesuaian dan keperluan mereka yang berubah-ubah. Kita mesti bersedia dan memastikan mereka mendapat penjagaan yang terbaik. Khutbah hari ini akan berkongsi empat usulan untuk kita menzahirkan keprihatinan dan kasih sayang kepada ibu bapa yang semakin lanjut usia. Semoga ia bermanfaat.
Pertama: Menyediakan kediaman yang selamat
Bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka, lakukan penyesuaian kecil pada ruang kediaman. Pemasangan alat bantuan pergerakan seperti pemegang tangan, serta getah alas lantai yang tidak licin di tandas dan sebagainya dapat mengurangkan risiko jatuh dan kecederaan. Begitu juga halnya dengan meluaskan laluan di koridor dan bilik, serta meletakkan barangan penting di tempat yang mudah dicapai.
Kedua: Menyuburkan kerohanian mereka
Selain kesejahteraan fizikal, kita juga mesti memelihara kesejahteraan rohani mereka. Contohnya, jam dengan fungsi azan dapat membantu mereka mengingati waktu solat dan kekal terhubung dengan ibadah. Kita juga boleh memuat turun Al-Quran, hadith pilihan, zikir harian atau rakaman ceramah agama yang mereka gemari di gajet atau televisyen sebagai tontonan, agar hati mereka terus hidup dalam mengingati Allah s.w.t.
Ketiga: Membawa dunia kepada mereka
Apabila usia meningkat, kebanyakan ibu bapa kita semakin terbatas dari segi pergerakan. Oleh itu, sewajarnya kita membawa dunia luar kepada mereka. Ziarahilah mereka dengan kerap, tunjukkan kasih sayang dan pastikan mereka berasa dihargai serta sentiasa diingati.
Pastikan juga mereka berpeluang berhubung dengan rakan-rakan – sama ada melalui pertemuan fizikal atau dalam talian – supaya mereka terus aktif dalam kehidupan sosial dan rasa ceria dalam suasana seharian mereka.
Kita juga boleh membimbing dan mendorong mereka menggunakan gajet digital secara bertanggungjawab, serta menyertai kelas dalam talian atau aktiviti ringan yang sesuai dengan minat mereka. Ibu bapa wajar kekal aktif dan merasakan kehidupan yang bermakna, meskipun meniti usia senja dan tidak lagi kerap melakukan aktiviti di luar.
Keempat: Sentiasa prihatin terhadap kebajikan mereka
Penjagaan ibu bapa yang semakin berusia memerlukan perhatian yang proaktif. Contohnya, kita menyediakan senarai semakan harian atau mingguan – seperti pengambilan ubat dan penyediaan makanan – agar tiada perkara penting terlepas pandang.
Gunakan sistem pemantauan kesihatan seperti alat pengesan nadi atau tekanan darah, yang boleh memberi ketenangan kepada kita sekeluarga. Aturkan juga janji temu berkala dengan doktor atau pakar penjagaan kesihatan dan bantu mereka ke sana jika diperlukan. Jika perlu, pertimbangkan khidmat penjaga bagi memastikan mereka mendapat perhatian dan penjagaan sewajarnya.
Jemaah yang dirahmati Allah s.w.t.,
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Binasalah, binasalah, binasalah.” Apabila Baginda ditanya, “Siapakah yang binasa itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya masih hidup sehingga mereka berusia tua, namun tidak beroleh syurga (melalui berbakti kepada mereka).” (Riwayat Muslim)
Mengapa Rasulullah s.a.w. berkata demikian? Kerana ibu bapa, khususnya ketika mereka sudah tua, ibarat sungai keberkatan yang terus mengalir. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah berkhidmat kepada mereka dengan kasih sayang dan rasa hormat, nescaya ganjaran pahala akan diperoleh dengan mudah.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Dahulu, kita dipimpin ibu bapa ketika mula bertatih. Satu hari nanti, mungkin kita pula yang akan melakukan yang sama, membantu mereka berjalan dengan yakin dan tenang. Dahulu, mereka menyuapkan makanan ketika kita lapar. Kelak, insya-Allah kita pula yang akan menyuapkan mereka dengan suapan penuh kasih sayang dan rahmah.
Apabila waktu itu tiba, ingatkan mereka, betapa besar nilai mereka dalam hidup kita, betapa banyak kebaikan yang telah mereka curahkan dan betapa sejatinya kasih sayang kita kepada mereka. Pastikan mereka berasa dihargai dan disayangi, kerana masa akan berlalu dan detik-detik itulah yang akan menjadi kenangan paling berharga buat kita nanti.
Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita semua kekuatan untuk memuliakan ibu bapa sebagaimana yang selayaknya dan semoga Dia menghimpunkan kita bersama mereka, serta orang-orang yang kita kasihi di syurga tertinggi, di mana kita tidak akan terpisah lagi. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

