collections khutbah Menghadapi Ujian dalam Kehidupan 
Menghadapi Ujian dalam Kehidupan 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 Februari 2023 / 19 Rejab 1444H


Menghadapi Ujian dalam Kehidupan 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t), dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Bertakwalah kepada Allah sewaktu kesenangan mahupun kesempitan. Semoga kita meraih keredaan Allah (s.w.t.) dengan sifat takwa.

Ma’asyiral muslimin rahimakumullah,

Ujian merupakan sunnatullah dalam kehidupan. Ada manusia yang diuji dengan kesenangan dan kemewahan. Keadaan ini mudah membawa perasaan lupa kepada yang lain, angkuh, sombong, berbangga dan perasaan cukup dengan diri sendiri. Ini seperti yang digambarkan Allah (s.w.t) di dalam Al-Quran:

Yang bermaksud: “Maka adapun manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan diberikan nikmat, beliau akan berkata: "Tuhanku telah memuliakan daku!" [Al-Fajr:15]

Ada pula yang diuji dengan kesusahan dalam pelbagai bentuknya - kehilangan nyawa, manusia yang disayangi, kesakitan, kesempitan hidup, dan sebagainya. Kesusahan boleh membawa perasaan sedih, hiba, dan putus harapan. Perhatikan firman Allah (s.w.t) yang berikut:

Yang bermaksud: “Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, lalu dia berkata: "Tuhanku telah menghinakan daku!" [Al-Fajr:16]

Saudaraku, oleh itu jangan kita mudah terpedaya dengan suasana kehidupan, sama ada keadaan senang mahupun susah. Kerana kesenangan ataupun kesusahan adalah satu ujian. Tiada keadaan yang kekal buat insan. Semuanya akan berakhir pada satu ketika. 

Tetapi yang kekal hanyalah amalan kebaikan dan sumbangan bakti yang dilakukan, kerana ia meninggalkan kesan yang luas. Firman Allah (s.w.t):

Yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”

Saudara sekalian,

Kita jelas menyaksikan ujian di hadapan mata kita. Sama ada terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Dunia ini adalah pentas yang memaparkan reaksi manusia tatkala senang atau susah. Kita sering menyaksikan pelbagai bentuk bencana dan kesengsaraan. Minggu ini sahaja, kita telah menyaksikan dengan penuh kesedihan keadaan di Turkey dan Syria yang dilanda bencana gempa bumi yang amat dahsyat. Begitu banyak nyawa yang terkorban. Dengan sekelip mata, seorang anak menjadi yatim piatu, isteri menjadi janda, harta benda musnah. Begitu takdir dan kekuasaan Allah yang boleh merubah keadaan kita tanpa sempat kita sedari.

Bagi kita yang melihat dari jauh pula, naluri kita sebagai manusia membangkitkan perasaan ihsan dalam diri kita untuk membantu mereka yang terjejas. Insha-Allah, akan ada peluang-peluang yang bersesuaian untuk meringankan kesakitan mereka melalui sumbangan dan khususnya doa yang ikhlas daripada kita. 

Selain daripada memanjatkan doa bagi saudara mara kita yang menghadapi kesulitan, kita juga boleh membantu mereka melalui sumbangan ikhlas kita. Pastikan, saudaraku, sumbangan kita disalurkan kepada badan-badan rasmi yang terdaftar dan yang telah mendapatkan keizinan untuk mengumpul dana tersebut. Ia untuk memastikan bahawa dana yang ingin diberikan sampai kepada mereka yang berhak.

Dengan itu, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) sedang mengadakan kutipan derma untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan bagi gempa bumi yang melanda Turki dan Syria. 

Gempa bumi yang dahsyat itu telah mengakibatkan lebih 12,000 jiwa terkorban, dan lebih 30,000 orang cedera. Lebih 5,000 buah bangunan juga telah dilaporkan roboh atau mengalami kerosakan. Tambahan pula, suhu cuaca musim sejuk membuat keadaan lebih mencabar lagi bagi mereka yang telah kehilangan rumah atau terpaksa berada di tempat terbuka yang sejuk kerana bimbang akan kesan-kesan susulan gempa bumi.

Sumbangan ikhlas anda akan menyokong bantuan bencana yang dijalankan dan keperluan segera mereka yang terjejas. 

Anda boleh menderma melalui tabung-tabung di masjid ini yang menunjukkan kutipan bagi gempa bumi di Turki dan Syria. 

Anda juga boleh menyumbang melalui wadah dalam talian atau online. Maklumat lanjut boleh didapati di lelaman web dan media sosial Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF).

Mudah-mudahan Allah (s.w.t) meringankan beban yang dihadapi mereka, dan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka dalam menghadapi ujian ini. Amin.

Saudaraku,

Pada aspek yang lain, dunia juga masih berhadapan dengan peperangan, ketidak-adilan dan kebencian sesama umat manusia. Sehingga dalam sebahagian situasi, hilang perasaan hormat menghormati di antara kelompok agama dan budaya.

Dalam keadaan inilah, kita perlu berpegang teguh dengan panduan dan nilai agama. Apakah sikap kita sebagai orang beriman, berhadapan dengan situasi yang tidak disenangi? Adakah kita menambahkan beban dan keburukan? Ataupun kita berusaha untuk membawa obor kebaikan, dengan memperelokkan hubungan sesama manusia dan menabur rahmah dan keihsanan?

Jika ada insan yang hilang sifat kemanusiaannya dan sanggup menghina agama orang lain, membakar kitab suci, orang yang beriman tidak harus bertindak balas sama sepertinya. Orang yang beriman meniru kebaikan, dan menambah kebajikan. Tanggungjawab kita adalah untuk berusaha menghiasi diri dengan ajaran kitab suci kita. Biar kita menjadi Al-Quran yang berjalan di muka bumi. Kita memperjuangkan ajaran Al-Quran pada setiap nafas kita. 

Begitulah ajaran dan sikap Rasulullah (s.a.w) dalam semua keadaan – sama ada ketika umat Baginda berada dalam keadaan susah dan tertindas, mahupun ketika senang dan berkuasa. Baginda tidak pernah memilih jalan kebencian, kezaliman atau keganasan. Sebaliknya, Baginda menyuruh kita agar kekal beristiqamah di atas landasan rahmah, keihsanan, dan kebaikan. 

Renungkanlah saudara sekalian, dan perbaikilah usaha kita membawa rahmah dan keihsanan. Semoga kita dapat terus berpegang teguh dengan ajaran dan Sunnah Baginda (s.a.w) dalam setiap pergerakan dan tingkah laku kita.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.