collections khutbah Mengharapkan Hidayah Daripada Tuhan
Mengharapkan Hidayah Daripada Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

4 Disember 2020 / 19 Rabiulakhir 1442H

Mengharapkan Hidayah Daripada Tuhan

 Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah mengabulkan segala doa kita. Amin.

Saudaraku,

Tiada ibadah yang lebih mudah yang dapat kita lakukan untuk mendekatkan diri kita dengan sang pencipta, daripada berdoa. Bahkan, Nabi (s.a.w.) pernah bersabda bahawa tiada perkara yang lebih mulia daripada berdoa kepada Allah (s.w.t.). (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Melalui berdoa, ia menzahirkan penghambaan kita kepada Allah. Sebagai hamba, kita merintih dan mengadu kepada-Nya memohon pertolongan dan hidayah. Doa menjadi sumber bimbingan dan memberi kekuatan rohani. Ia menyuntik semangat pada diri insan, bagi mengharungi suka dan duka kehidupan. Oleh itu saudara, khutbah pada bulan ini akan berkongsi beberapa doa di dalam al-Quran serta hadis. Mudah-mudahan melaluinya, Allah (s.w.t.) akan memberkati kehidupan kita serta mencurahkan rahmat-Nya.

Saudaraku,

Antara doa yang diajarkan Nabi (s.a.w.) berbunyi:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Yang bermaksud: “Ya Allah kami memohon hidayahMu, ketakwaan, kesucian, dan kecukupan.” (Hadis riwayat Imam Ibn Majah).

Antara isikandung doa yang baru saya bacakan tadi, merupakan doa seorang Mukmin agar dikurniakan petunjuk Ilahi. Mungkin ada yang bertanya, sekiranya saya sudah mendapat hidayah Tuhan, apakah masih ada keperluan untuk meminta hidayah?

Melalui doa ini, Nabi (s.a.w.) mengajarkan kita untuk tidak berhenti daripada mengharapkan petunjuk Ilahi. Kerana bagi mereka yang beriman, Allah pasti menambahkan lagi hidayah-Nya buat mereka. Firman-Nya pada surah Maryam ayat ke-76:

Yang bermaksud: “Dan Allah akan menambah hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk. Dan amal-amal soleh yang kekal itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.”

Begitulah rahmat dan kasih sayang Tuhan yang sentiasa melimpah ruah bagi hamba-hamba-Nya. Tatkala Allah (s.w.t.) menambahkan hidayah-Nya, jiwa seorang Mukmin akan merasa tenang, keimanannya dimantapkan, pemahaman ilmu agama ditambahkan. Inilah maksud penambahan hidayah buat mereka yang beriman.

Namun saudaraku, tambahan daripada berdoa memohon hidayah, Allah turut menuntut agar setiap individu untuk berusaha mencari petunjuk-Nya. Sekiranya yang kita dambakan adalah ilmu pengetahuan, maka seharusnya terdapat usaha untuk menuntut ilmu. Sekiranya yang kita inginkan adalah ketenangan jiwa, maka apakah langkah-langkah yang kita ambil untuk meningkatkan mutu ibadah kita?

Saudaraku,

Pada saat-saat yang mencabar ini, berhadapan dengan penularan wabak yang masih berterusan, kita seharusnya dengan lebih lagi bersungguh-sungguh memanjatkan doa kepada Tuhan. Tambahan dari itu, seperti yang dituntut agama untuk berusaha, kita meneruskan dengan menuruti segala langkah keselamatan yang disarankan. Kita juga menuruti panduan keagamaan yang diberi para ulama, demi mengelak penularan wabak daripada berlaku di tempat pengibadatan.

Sebagai contoh, beberapa penyesuaian telah dilaksanakan pada sebahagian amalan keagamaan demi memastikan keselamatan jemaah masjid, serta kesejahteraan masyarakat kita secara umumnya.

Segala usaha yang kita laksanakan ini, berlandaskan kepada prinsip serta nilai agama. Pada minggu hadapan pula, sejajar dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Singapura, masjid-masjid di Singapura akan bermula melaungkan azan pada jam 12.50pm, bagi solat Jumaat sahaja. Iaitu sebelum tergelincirnya matahari. Ia bagi menjamin ruang serta peluang yang mencukupi bagi beberapa ramai mungkin jemaah untuk melaksanakan solat Jumaat, secara selamat dengan menjaga langkah-langkah keselamatan.

Keputusan fatwa tersebut bukanlah merupakan satu perkara yang baru. Bahkan ia bersandarkan kepada amalan Baginda (s.a.w.) sendiri. Bagaimana Nabi (s.a.w.) pernah mengawalkan solat Jumaat ketika ada keperluan tertentu. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Maka dengan panduan agama tersebut, diharapkan amalan keagamaan kita di Singapura akan kekal berterusan, walaupun dengan beberapa penyesuaian yang tertentu. Semoga Allah (s.w.t.) sentiasa mengurniakan kita hidayah serta rahmat-Nya, serta mempermudahkan bagi kita segala urusan kita insyallah. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.